Satu teka-teki misteri yang membingungkan baru-baru ini telah memberi kesan kepada berpuluh-puluh keluarga yang menetap di kawasan Cleveland, Ohio, akhirnya selesai.

Namun, selama berminggu-minggu lamanya mereka bingung apabila tidak dapat membuka pintu kereta dan garaj menggunakan alat kawalan jauh. Misteri yang terjadi seolah-olah seperti salah satu episod drama bersiri "X-Files".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada akhir bulan April yang lepas, penduduk di bandar Olmsted Utara, Ohio, mula mendapati bahawa alat kawalan jauh kenderaan dan pintu garaj mereka berhenti berfungsi dengan serta-merta atau kadang-kala ia berfungsi tanpa diduga sama sekali.

virgina avenue olmsted utara 207

Virginia Avenue di Olmsted Utara, kawasan di mana gangguan alat kawalan jauh dilaporkan. Credit :nytimes

Apa yang menjadi lebih misteri ialah, alat kawalan jauh kenderaan mereka boleh berfungsi ketika kenderaan mereka berada di luar kawasan. Namun, apabila kembali semula ke perumahan mereka di Olmsted Utara, ia menjadi tidak berfungsi semula.

Seorang penduduk tempatan, Cory Branchick, menganggap bahawa masalah ini mungkin disebabkan bateri alat kawalan jauhnya lemah atau telah habis, jadi dia menggantikannya dengan bateri baru tetapi masalah itu tidak juga selesai.

Ketika ditemuramah stesen berita tempatan, WKYC News, Branchick memberitahu ke mana sahaja dia pergi seperti pasaraya, restoran atau gym, alat kawalan jauhnya berfungsi seperti biasa.

pintu garaj

Ada yang mencadangkan masalah itu mungkin berkaitan dengan sistem atau peralatan yang digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cleveland Hopkins, atau mungkin berkaitan dengan kesan ujikaji teknologi yang dilakukan di pusat penyelidikan NASA di kawasan itu.

Manakala para pegawai bandaraya itu pula beranggapan ia mungkin berkaitan dengan pembekal telekomunikasi dan elektrik tempatan, yang kemudiannya menghantar pekerja mereka sendiri untuk menyiasat punca yang menyebabkan terganggunya pemancar radio penduduk tempatan.

Ahli Majlis Bandar Raya Olmsted Utara, Chris Glassburn, memberitahu bahawa gangguan ini bukan disebabkan oleh peranti biasa. Dia yakin ia disebabkan peralatan kemudahan syarikat tempatan.

masalah alat kawalan jauh

Credit :local10

Walaupun dengan kesangsian itu, siasatan dari pintu ke pintu tetap dijalankan di bandar itu oleh pihak berkuasa tempatan. Malah, penduduk tempatan yang arif mengenai frekuensi radio juga menjadi sukerelawan dalam mencari punca masalah itu.

Mereka percaya sesuatu yang kuat mengganggu frekuensi radio yang digunakan oleh alat kawalan jauh mereka. Akhirnya, mereka menemui punca yang mungkin penyebab utama kepada masalah yang mengganggu penduduk bandar selama beberapa minggu.

Ia sebenarnya berpunca daripada satu alat buatan sendiri yang dicipta oleh seorang penduduk yang minat membangunkan peralatan elektronik. Dia telah mencipta satu alat khas yang membolehkannya untuk mengetahui sekiranya ada orang di tingkat atas semasa dia sedang bekerja di tingkat bawah tanah rumahnya.

alat kawalan jauh tidak berfungsi

Credit :thedrive

Menurut Glassburn yang enggan mendedahkan nama lelaki itu, dia mempunyai minat yang mendalam dalam bidang elektronik. Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan kekacauan kepada para penduduk di bandar itu.

Masalah yang berlaku adalah berpunca daripada frekuensi radio yang digunakan pada alat elektronik ciptaan lelaki itu. Perkara itu menerangkan mengapa masalah gangguan alat kawalan jauh hanya berlaku di kawasan kejiranan bandar itu sahaja tetapi tidak di tempat yang lain.

Cara peralatan itu berfungsi, ia terus mengeluarkan isyarat 315 Megahertz. Siaran yang dikeluarkan secara berterusan itu memberi kesan dengan memintas signal radio yang dipasang pada alat kawalan jauh kenderaan dan pintu garaj. Frekuensi yang biasa digunakan untuk alat kawalan jauh adalah antara 315MHz hingga 433MHz.

peranti elektronik

Credit :wkyc

Ia agak menakutkan untuk berfikir bahawa hanya satu peranti radio buatan sendiri dengan mudahnya boleh menyebabkan gangguan dan huru-hara dalam sesebuah komuniti penduduk.

Namun, penduduk di bandar Olmsted Utara kini boleh menjalani kehidupan normal seperti biasa. Glassburn berkata lagi, alat elektronik buatan lelaki itu telah dikenalpasti dan dihentikan. Tiada lagi gangguan yang disebabkan oleh alat itu.

Lelaki yang bertanggungjawab membina peralatan elektronik itu bersetuju untuk tidak lagi membuat peranti sedemikian pada masa akan datang.

Rujukan :

1.Science Alert

2.Cleveland

3.NY Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)