Setiap kali berlaku kecemasan atau kerosakan di atas jalan raya, akan muncul trak tukang tunda menawarkan khidmat bantuan. 

Ramai yang dah terkena dengan taktik sebegini, diketuk dengan caj bayaran tarik yang tinggi atau kereta yang ditunda pula dibawa entah ke bengkel milik siapa. Bila nak dibawa balik, rupa-rupanya kereta dah siap dibuka. 

Laju sindiket sebegini buat kerja.

Banyak masalah yang dihadapi sebenarnya lebih mudah ditangani sekiranya kita tahu apakah manfaat sebenar yang ada dalam setiap polisi insurans atau takaful perlindungan kenderaan kita.

Berikut adalah 5 faedah yang boleh ada dan ramai tak perasan kewujudannya.

1. Tunda kereta guna panel syarikat

perkhidmatan trak tunda panel insurans

Sekiranya anda berhadapan kemalangan atau kerosakan di jalan raya, pemandu sebenarnya boleh mendapatkan bantuan tunda kereta panel insurans. 

Kebanyakan skim menawarkan faedah ini dalam kaedah berbeza-beza. Ada syarikat yang menawarkan pembayaran semula sekiranya kereta anda perlu ditunda oleh pihak ketiga.

Kebanyakan skim pula menawarkan faedah tunda secara percuma, 24 jam sehari bergantung kepada jenis situasi.

Bagi kes kemalangan, tundaan boleh dilakukan agar kenderaan dan pemandu dapat terus ke balai polis bagi melakukan laporan sebelum ke bengkel panel yang telah ditetapkan. 

Dalam kes kerosakan yang mengakibatkan kenderaan tidak boleh digerakkan, tundaan boleh dibuat untuk membawa kenderaan anda ke bengkel; sama ada bengkel panel atau bengkel yang anda pilih, asalkan jarak di antara lokasi kejadian dengan bengkel tidak melebihi jarak yang ditetapkan.

2. Bantuan bateri mati, tayar pancit dan minyak habis

bateri mati

Zaman sekarang, kes bateri padam akibat kegagalan memadamkan lampu depan kenderaan sudah berkurangan kerana kewujudan sistem mengingatkan kita tentang lampu menyala. 

Walau bagaimanapun, bukan semua model ada fungsi di atas.

Kadangkala bila kita tergopoh-gapah, memang boleh berlaku kita terlupa memadamkan lampu baik depan atau bahagian dalam kenderaan, sehinggakan kenderaan tidak lagi boleh dimulakan.

Sekiranya anda berdepan masalah ini, solusinya cuma ada dua. Lakukan permulaan lompat/jumpstart atau ganti bateri. Jangan takut, panel pelindung memang menawarkan bantuan sekiranya anda berhadapan masalah ini.

Juruteknik yang dilantik boleh hadir ke lokasi anda bagi melakukan jumpstart sekiranya anda tiada peralatannya dan boleh juga melakukan pembaikian kecil, sekiranya melibatkan masalah pendawaian kereta. 

Bagaimanapun, kebanyakan syarikat menawarkan had masa ketetapan servis ini. Bagi polisi penulis, kehadiran juruteknik untuk membantu hanya percuma untuk 2 jam pertama. Selebihnya akan dikenakan caj kepada kita.

Selain masalah elektrikal, masalah tayar pancit, penggantian tayar dan minyak habis juga ada.

Untuk pemandu yang habis minyak, servis penghantaran minyak adalah percuma. Hanya kos minyaknya anda kena bayar semula.

3. Bantuan berkaitan kunci

kereta terkunci dari dalam

Kami yakin tak ramai pernah berhadapan masalah kehilangan kunci atau tertinggal kunci dalam kereta.

Sekiranya kejadian berkaitan kunci menimpa anda, pastikan anda hubungi dahulu pengendali perlindungan kenderaan anda. 

Semakin banyak syarikat pengendali takaful/insurans menawarkan perkhidmatan perlindungan kunci, sama ada melalui manfaat asas ataupun sebagai manfaat tambahan. 

Kebiasaanya perlindungan berkaitan kunci berkait kepada 2 faedah utama. Yang pertama adalah bantuan untuk membuka pintu kenderaan, sekiranya anda tidak ada akses kepada kunci kereta atau tertinggal dalam kereta.

Kedua adalah skim bayaran semula sekiranya anda memerlukan penggantian kunci kereta baru. Kunci kereta zaman sekarang harganya memang boleh gila dibuatnya.

4. Perlindungan nyawa dalam kemalangan

kemalangan perlindungan pampasan

Jika zaman dahulu insurans atau takaful kereta hanya melindungi nilai kenderaan yang dibeli kita, kini banyak syarikat pengendali polisi menawarkan pelan perlindungan diri beserta dalam pakej polisi.

Sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan terkorban nyawa pemegang polisi atau pemandu dalam kenderaan yang dilindungi, pampasan perlindungan hayat boleh dituntut waris. 

Walaupun nilainya tidaklah setinggi mana, kami yakin amaun yang ada akan tetap dapat membantu waris atau pihak keluarga.

Berdasarkan polisi penulis sekarang, ada perlindungan kemalangan bernilai RM15,000 yang akan dibayar sekiranya malang menimpa. Anda cuba semak polisi anda, mana tahu ada juga.

5. Pampasan ketiadaan kenderaan

terima bayaran pampasan

Pemandu yang dah biasa memandu, bila tak ada kenderaan - memang seakan 'patah kaki' rasanya kan? 

Dalam sistem perlindungan kenderaan negara kita, wujud satu polisi yang dinamakan sebagai CART atau 'compensation for assessed repair time', yang bertanggungjawab mewujudkan garis panduan pampasan bagi pemandu ketika berdepan ketiadaan kenderaan akibat pembaikian.

Perlindungan ini biasanya ditawar sebagai manfaat pilihan, membolehkan pemandu dibayar semula semua kos yang dikeluarkan untuk tujuan pergerakan mengikut jumlah hari yang telah ditetapkan secara agregat, sama ada 7, 14 atau 21 hari.

Manfaat ini boleh dimanfaatkan dalam beberapa cara.

Sekiranya anda perlu menaiki teksi ke tempat kerja setiap hari, kos yang perlu anda keluarkan boleh dituntut semula.

Dalam senario berbeza, sekiranya anda merasakan menyewa kereta lebih memudahkan urusan anda, anda boleh melakukan tuntutan ke atas kos kereta sewa yang telah anda keluarkan.

Ada juga syarikat menawarkan kepada pelanggan kereta gantian untuk diguna selagi kenderaan yang rosak belum benar-benar sedia untuk diguna. Jika ini pilihan anda, perlindungan pampasan CART tidak lagi terpakai kepada anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)