Pada 1 Disember 1948, tubuh seorang lelaki terbaring di pantai Somerton, namun penduduk yang melihatnya menganggap dia hanyalah seorang lelaki mabuk yang pengsan.

Keesokannya, pihak polis menerima panggilan daripada penduduk di situ berkenaan tubuh lelaki tersebut yang ditemui terbaring di atas pantai dalam posisi yang tenang, tidak bernyawa.

Siasatan mendapati tidak wujud sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Bedah siasat mendapati lelaki itu juga sihat sepenuhnya. Darah yang membeku dalam tubuhnya memungkinkan berlakunya kejadian dia diracun, namun tidak ditemui sebarang bahan seperti racun dalam tubuhnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada lelaki itu tidak ada sebarang tanda pengenalan diri, menghalang pihak penguatkuasa menjejaki warisnya.

Identitinya juga langsung tidak diketahui kerana semua tag pada pakaiannya sudah dibuang. Inilah permulaan kisah misteri 'lelaki Somerton' yang bakal membingungkan orang ramai selama lebih beberapa dekad.

Tamam shud!

tamam shud case

Pada 14 Januari 1949, lebih sebulan selepas tubuh itu ditemui, sebuah beg pakaian ditemui di stesen keretapi berdekatan dipercayai milik lelaki yang sama. Apa yang mereka temui hanyalah pakaian yang sudah dibuang tagnya serta benang yang berjaya dikenalpasti sama jenis dengan benang yang digunakan untuk membaiki seluar lelaki yang ditemui mati itu.

Pencarian pihak polis di sekitar kawasan tubuh itu ditemui tidak mendatangkan sebarang petunjuk, menghalang kes itu diselesaikan. Inkues berkaitan kes tersebut dimulakan pada 17 Jun 1949. Sesi inkues mendedahkan beberapa petunjuk baru namun tetap tidak berjaya membuktikan siapa sebenarnya lelaki tersebut.

Kajian lebih lanjut mendedahkan punca kematian lelaki itu adalah disebabkan racun berbentuk glucoside yang disuntik ke dalam badannya, sama ada secara sendiri atau dengan bantuan orang lain.

buku yang dikoyakkan

Semasa inkues ini berlangsung, pihak polis baharu menemui satu poket rahsia pada bahagian pinggang seluar lelaki itu.

Di dalamnya terdapat sehelai kertas yang tercetak dengan perkataan 'tamam shud.' Menggunakan bantuan penterjemah, pihak polis mengenalpasti frasa itu berasal daripada perkataan Parsi yang membawa makna 'sudah tamat.'

Hasil bantuan penyelidik mengenalpasti cebisan kertas bercetak itu diambil daripada muka surat terakhir terjemahan buku tulisan penulis syair dan ahli matematik Parsi, Omar Khayyam.

Gerakan mencari buku yang dikoyakkan itu berhasil selepas salah seorang individu yang tidak ingin dikenali menyerahkan buku itu kepada pihak polis.

Namun misteri kes ini nampaknya baru saja hendak bermula.

Misteri Rubaiyyat of Omar Khayyam

code dalam buku

Buku itu ditemui dalam ruang tempat duduk belakang sebuah kereta yang ditinggalkan, mengandungi beberapa petunjuk baru.

Satu nombor telefon ditulis dalam buku tersebut, selain daripada beberapa nombor rawak serta kod dalam bentuk teks yang dipercayai mesej rahsia.

Apa yang lebih menghairankan, individu yang menemui buku itu menjumpainya sekitar waktu yang sama tubuh itu ditemui di pantai Somerton.

Bagaimanapun dia tidak menyedari kepentingannya pada waktu tersebut. Hanya selepas pengumuman mengenainya dilakukan oleh pihak polis barulah individu itu tampil menyerahkannya - namun tidak didedahkan mengapa dia menyelongkar kereta itu yang jelas bukan miliknya.

Ujian mendapati cebisan kertas bertulis 'tamad shud' itu memang berasal daripada buku yang sama. Apa yang menghairankan penyiasat adalah huruf-huruf rawak yang ditulis dalam buku itu.

WRGOABABD
MLIAOI
WTBIMPANETP
MLIABOAIAQC
ITTMTSAMSTGAB

Nombor telefon yang ditemui dalam buku itu pula milik seorang jururawat bernama Jessica Thomson, tinggal tidak jauh daripada lokasi penemuan badan itu. Disiasat pihak polis, Jessica mengakui dia tidak kenal siapa lelaki itu dan bagaimana nombor telefonnya boleh ditemui dalam buku tersebut.

jestyn hadiahkan buku

Pihak polis mengesyaki Jessica mengenali lelaki tersebut namun tidak ada bukti mampu mengesahkannya.

Menjadi suspek utama dalam kes itu, latar belakang Jessica disiasat. Dia didapati pernah menjalinkan hubungan dengan seorang tentera bernama Alf Boxall dan tubuh yang ditemui di pantai itu diramalkan sebenarnya Alf yang telah dibunuh.

Bagaimanapun, Alf ditemui masih sihat.

Apa yang memelikkan pihak polis, Alf turut sama memiliki sebuah naskhah buku yang sama ditemui di belakang kereta itu, namun muka surat terakhirnya masih lengkap.

Apa yang lebih membingungkan, buku itu dihadiahkan oleh Jessica kepada beliau semasa mereka bercinta. 

Dikebumikan dengan 1001 misteri

pusara somerton man

Berikutan keadaan badannya yang sudah mula mereput, pihak penyiasat mengambil keputusan mengebumikan mayat lelaki itu.

Beberapa siasatan yang dijalankan sepanjang beberapa dekad kemudiannya tidak membuahkan sebarang hasil atau petunjuk baru.

Hanya pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik daripada University of Adelaide cuba merungkai misteri kes ini dengan teknologi DNA yang mereka ada.

Bagaimanapun, beberapa misteri baru disedari berlaku. Rekod berkaitan bedah siasat kes tersebut pada tahun 1948 dan 1949 didapati telah dipadamkan sementara rekod-rekod siasatan yang sepatutnya disimpan, tidak lagi mempunyai maklumat yang diperlukan.

Penyelidik terpaksa bergantung kepada gambar yang telah ditangkap dan mendapati wujud satu abnormaliti pada telinga lelaki itu yang hanya berlaku pada 1 ke 2 peratus masyarakat kulit putih. 

Selain itu, lelaki itu juga didapati mempunyai kecacatan genetik pada bahagian giginya yang digelarkan hypodontia - hanya dimiliki oleh 2 peratus jumlah populasi bumi.

jessica thompson jestyn dan robin

Rujukan dilakukan dengan membandingkan gambar anak lelaki Jessica yang bernama Robin.

Mereka mendapati Robin memiliki kecacatan serupa yang dimiliki 'lelaki Somerton'. Peluang untuk situasi ini  berlaku dianggarkan hanya dalam nisbah 1 kepada 20 juta.

Memiliki bukti yang kukuh yang diharapkan mampu menjelaskan identiti sebenar 'lelaki Somerton', penyelidik melakukan permohonan untuk membuka semula pusara beliau bagi mendapatkan sampel DNA.

Bagaimanapun, pada tahun 2011, permohonan itu ditolak kerana tidak mempunyai hujah munasabah menyokong keperluannya.

Sehingga kini kes kematian atau pembunuhan yang dikenali dengan nama 'kes Tamam Shud' yang bermakna 'sudah tamat', tidak tamat-tamat penyiasatannya.

Identiti lelaki itu sehingga kini menjadi rahsia dan banyak teori berpendapat dia adalah ayah sebenar kepada Robin dan kekasih gelap Jessica.

Kedua-duanya sebenarnya pengintip yang bekerja untuk pihak yang berbeza, seorang ejen Britain sementara Jessica ejen risikan Russia - tetapi akhirnya jatuh cinta sesama mereka.

Buku Rubaiyat of Omar Khayyam itu sebenarnya digunakan untuk mereka berkomunikasi sesama mereka, bagi mengelakkan cinta mereka diketahui semua. Semua ini hanya teori dan misteri 'Somerton Man' terus menjadi antara kes paling lama gagal diselesaikan, di Australia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)