Terdapat sesuatu yang sangat menarik tentang kehilangan misteri dan lautan Bumi yang sangat luas "menawarkan" kawasan yang tiada penghujung untuk kejadian ini berlaku. Antara kawasan yang mengundang pelbagai teori misteri dan tak masuk akal sudah tentunya Segitiga Bermuda.
Nasib sebenar bagi kebanyakan kapal-kapal ini tidak pernah dan tidak akan diketahui, tetapi spekulasi mencadangkan bahawa ribut, lanun, pemberontakan, pengeboman tidak sengaja dan juga serangan sotong kurita raksasa mungkin bertanggungjawab terhadap peristiwa berikut.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan kisah 5 kapal yang lenyap secara misteri tanpa kesan.
1. The Patriot - Kehilangan Theodosia Burr Alston
Theodosia Burr Alston (1783-1813) adalah anak perempuan ahli politik Amerika Syarikat dan naib presiden ketiga Amerika Syarikat Aaron Burr.
Theodosia dibesarkan dalam keluarga senang pendidikan dan mendapat pendidikan yang baik. Pada tahun 1801, dia berkahwin dengan pemilik tanah kaya Joseph Alston, yang kemudiannya menjadi gabenor di South Carolina.
Malangnya, pada 1812, Theodosia kehilangan satu-satunya anak akibat demam, membuatkan dia kemurungan.
Terdesak untuk melakukan perubahan dalam hidupnya, dia menaiki kapal perang Patriot di South Carolina pada Malam Tahun Baru 1812 untuk melawat bapanya di New York.
Kapal itu meninggalkan dok dan belayar ke utara, tetapi apa yang berlaku selepas itu kekal misteri di mana ia tidak pernah tiba di New York dan tiada kesan kapal atau kru yang pernah ditemui.
Beberapa teori dan legenda telah tersebar tentang nasib Theodosia di mana sesetengah mendakwa bahawa kapal itu diserang oleh lanun sementara yang lain mencadangkan bahawa Patriot terperangkap dalam Perang 1812 dan tenggelam secara tidak sengaja.
Teori yang paling dahsyat adalah cerita yang dikemukakan oleh seorang ketua India Karankawa.
Lelaki ini mendakwa bahawa dia menyelamatkan seorang wanita yang telah dihanyutkan ke tepi pantai selepas kapal karam dan sebelum meninggal dunia, wanita itu menyerahkan sebentuk loket kepadanya yang tertera tulisan "Theodosia".
Walau apa pun teori yang dikemukakan, kita tidak akan pernah tahu cerita dan nasib sebenar kapal Patriot dan Theodosia Burr Alson selepas 200 tahun.
2. Merchant Royal - Kehilangan antara kapal paling kaya di dunia
Merchant Royal telah ditugaskan untuk mengambil khazanah dari Dunia Baru ke Sepanyol di bawah arahan Kapten John Limbrey.
Pada tahun 1641 kapal itu dimuatkan dengan lebih daripada 45,000 kilogram emas, 400 bar perak Mexico dan sejumlah besar permata berharga.
Ketika kapal tersebut memasuki perairan Inggeris, cuaca bertukar buruk dan badan kapal mula pecah membuatkan air masuk ke dalamnya.
Kapal "kakak", Dover Merchant, yang berlayar bersama-sama cuba untuk menyelamatkan kapten dan anak kapal tetapi tidak dapat mengambil apa-apa kargo. Kapal itu hilang di bawah ombak, di suatu tempat di luar pantai Land's End.
Dan sudah tentu, dengan jumlah harta yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM5 bilion itu, banyak pihak yang telah cuba mencari bangkai kapal itu yang dikenali sebagai "Eldorado dari laut."
Pada tahun 2007, dikatakan bahawa Exploration Marine Exploration mungkin telah menemui bangkai kapal itu selepas ia mendapatkan kembali 500,000 keping emas dan perak dari tapak di luar hujung barat daya Great Britain.
Ini kemudiannya dikenalpasti sebagai harta dari kapal Sepanyol, sekaligus bermaksud bahawa kekayaan yang tidak dapat dibayangkan dari Merchant Royal masih menunggu tuannya.
3. USS Cyclops- Mangsa Segitiga Bermuda?
USS Cyclops adalah kapal besar yang dikuasakan oleh bahan bakar besi yang ditugaskan membawa arang batu dan bekalan lain yang berguna untuk Tentera Laut A.S. pada tahun 1910-an.
Pada perjalanan terakhirnya, Cyclops berlayar dari Rio de Janeiro, dengan beban penuh 10,800 tan bijih mangan dan lebih 300 orang di atas kapal.
Pada 4 Mac 1918 kapal itu dilihat buat kali terakhir ketika meninggalkan Barbados dan berlayar ke apa yang kini kita kenali sebagai Segitiga Bermuda.
Kapal itu dilaporkan hilang tanpa jejak dan kes itu dilihat sebagai misteri kerana tidak ada panggilan kecemasan dibuat serta tiada cuaca buruk dilaporkan di rantau ini.
Teori mula muncul dengan mengatakan bahawa kapal itu telah tenggelam disebabkan oleh orang Jerman, diserang oleh sotong kurita atau sotong gergasi atau menjadi mangsa pemberontakan ganas.
Pencarian Cyclops secara besar-besaran dilancarkan dengan sejumlah bot dan pesawat menjelajah kawasan itu untuk mencari serpihan kapal atau mangsa, tetapi tidak ada saki-baki dari kapal besar itu yang pernah ditemui selepas karam.
4. Witchcraft - Kapal layar mewah yang "tak boleh tenggelam"
Pada 22 Disember 1967, seorang pengembara berpengalaman dan pemilik hotel, Dan Burack bersama rakannya, Father Patrick Horgan, berlayar dalam kapal layar mewah, Witchcraft.
Malangnya, selepas hanya satu batu berlayar, pasangan itu mengalami kesulitan apabila seolah-olah kapal layar itu telah terlanggar sesuatu.
Dan Burack dengan tenang menghubungi Pengawal Pantai Miami untuk melaporkan masalah dan meminta bantuan.
Pegawai yang dihubungi itu kemudian berkata bahawa Dan Burack kedengaran seperti tidak begitu bimbang, mungkin kerana kapal layar itu dipasang dengan alat pengapungan khas yang sepatutnya membuat kapal itu tidak boleh tenggelam.
Pengawal Pantai tiba di tempat kejadian hanya 19 minit selepas panggilan itu dan terkejut kerana tidak menemui jejak kapal layar yang besar itu, serpihan, dan tiada tanda-tanda Dan Burack atau Patrick Horgan.
Sepanjang 6 hari kemudian, pencarian dilakukan di sekitar kawasan lautan seluas beratus-ratus batu persegi, tetapi tiada apa yang berjaya ditemui.
Dengan ini kapal layar Witchcraft memasuki senarai satu lagi kapal yang hilang secara misteri di Segitiga Bermuda.
5. HMS Sappho - Dianggap karam di pantai Australia
Sepanjang kerjaya selama 20 tahun, kapal Tentera Laut British HMS Sappho ditugaskan untuk menyekat perdagangan hamba di luar pantai Afrika Barat, memintas beberapa kapal yang sarat dengan hamba dan membebaskan beratus-ratus orang.
Pada tahun 1857, selepas tersalah kejar dan menaiki sebuah kapal Amerika (satu peristiwa yang menyebabkan krisis diplomatik antara Amerika dan Great Britain), kapal itu diperintahkan untuk berlayar ke Australia.
HMS Sappho sampai ke Cape Town tanpa sebarang masalah dan dari sana ia menuju ke Selat Bass di mana ia kali terakhir dilihat melewati sebuah kapal layar pada 18 Februari 1878.
Cuaca buruk dilaporkan di kawasan itu dan telah dilaporkan bahawa angin kencang menyebabkan kapal dimasuki air dan akhirnya tenggelam.
Tidak ada tanda-tanda 147 anggota kru yang pernah ditemui, tetapi khabar angin tersebar mengatakan bahawa kapten, Fairfax Moresby, telah melarikan diri dari bangkai kapal dan berjaya selamatkan diri ke sebuah pulau di luar Australia, di mana dia dikatakan telah hilang ingatannya.
Rujukan:
1. LS
2. MentalFloss
3. Grunge