Bagi seorang lelaki - dapat merenung seorang wanita yang dikasihi merupakan satu nikmat yang sangat dihargai. Seorang lelaki yang sudah merasai rasa kasih sayang wanita pastilah mengerti mengapa manusia diciptakan berpasangan.

Walau bagaimanapun, di kalangan kita ada juga individu-individu kurang upaya yang tidak dikurniakan nikmat penglihatan; tidak mampu melihat alam semulajadi serta hidupan-hidupan yang ada di dalamnya. Sukar untuk kami bayangkan diri kami, sekiranya berada dalam situasi sedemikian rupa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun ada juga lelaki yang mengalami nasib jauh berbeza - mampu melihat, mampu mendengar, lengkap segalanya; tetapi tidak pernah bernasib baik melihat kecantikan seorang wanita. Kisah yang akan kami ceritakan ini, sangat aneh bunyinya.

Dalam hidup seorang lelaki, sudah pastilah ibu menjadi wanita pertama yang akan kita kenali. Bagi Mihailo Tolotos, sepanjang usianya dia langsung tidak pernah bertemu mahupun melihat seorang manusia yang mempunyai jantina berlawanan dengannya.

Ditinggalkan ibu selepas dilahirkan

biara di pergunungan athos greece

Kisah sedih Mihailo bermula semasa dipercayai baru berusia beberapa jam. Selepas dilahirkan oleh ibu kandungnya, Mihailo ditinggalkan di depan pintu masuk biara yang terletak di kawasan pergunungan Athos, Greece pada tahun 1856.

Tiada siapa mengetahui siapakah ibu kandung Mihailo dan kenapa dia memilih untuk meminggirkan anak bayi kandungannya sebegitu segera. Bagaimana wanita itu sampai ke situ juga menjadi misteri - kerana sudah lebih 1,000 tahun bermula pada tahun 1060 - golongan wanita dilarang daripada masuk ke dalam kawasan biara.

Biara yang terletak di Gunung Athos itu merupakan sebuah biara lama, sehingga kini mengamalkan tradisi larangan kepada wanita. Sekiranya ada rombongan mahu mengunjungi biara itu, hanya 100 orang penganut Ortodoks Greek dan 10 orang bukan Ortodoks dibenarkan hadir - tanpa seorang pun wanita.

Semua pelawat lelaki perlu mendapatkan permit bagi membolehkan mereka menaiki feri yang akan membawa mereka ke jeti sebelum memulakan pendakian anak tangga ke pintu masuk biara.Tradisi larangan kepada wanita ini sebenarnya diwujudkan bagi membolehkan semua penganut ajaran Ortodoks Greek melindungi diri mereka dan ikrar mereka untuk kekal teruna. Hanya lelaki dan kucing yang bebas berkeliaran dibenarkan berada di kawasan biara.

Dibesarkan tanpa menjenguk dunia luar

keratan akhbar tentang mihailo

Gambar sekadar hiasan

Mihailo bernasib baik sami biara bertindak mengambil dirinya sebagai anak angkat, membesarkan dia bersama-sama dan diberikan nama yang baik. Semenjak kecil, Mihailo tinggal di dalam kawasan biara dan tidak pernah sekalipun keluar, mengabdikan dirinya dengan kehidupan biara yang sangat berdisiplin.

Jadi daripada kecil sehinggalah dia dewasa, rutin hidupnya tidak pernah berubah. Mihailo akan menerima kunjungan rombongan penganut Ortodoks yang mahu melakukan ritual keagamaan yang semuanya lelaki, mendengar kisah mereka tentang dunia luar.

Bagaimanapun, atas permintaan agama yang memerlukan dia meninggalkan segala tuntutan dunia - Mihailo memilih untuk kekal di biara, membolehkan kepercayaannya dibentuk dan dipertingkatkan. Pada tahun 1938, tanpa pernah melihat, berinteraksi dan bertemu dengan mana-mana wanita - Mihailo Tolotos meninggal dunia ditempat yang sama di mana dia ditinggalkan dan dibesarkan.

mihailo jadi tema iklan

8 tahun selepas Mihailo meninggal dunia, pada tahun 1946 - akibat perang saudara yang melanda Greece, biara yang pernah diduduki Mihailo membuka pintunya kepada mangsa peperangan, termasuklah wanita dan perempuan buat sementara sehinggalah tahun 1949.

Larangan kehadiran wanita kembali dijalankan selepas tamat perang dan diperketatkan lagi, selepas seorang wanita bernama Maria Poimenidou bertindak menyamar sebagai seorang lelaki bagi mengunjungi biara di Gunung Athos.

Selepas ditangkap dan dihalau keluar, kerajaan Greece mengetatkan undang-undang memenjarakan mana-mana wanita yang menceroboh biara Gunung Athos, dengan hukuman penjara setahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)