Oleh pada 02 Jan 2019 kategori

Pada tahun 1969, Amerika Syarikat telah mencipta rekod menjadi negara pertama yang menghantar manusia ke bulan. Kejayaan ini penting buat Amerika Syarikat bagi mengukuhkan statusnya sebagai sebuah negara besar ketika itu yang bersaing rapat dengan Kesatuan Soviet dalam dunia eksplorasi angkasa lepas.

Pada peringkat awal, Kesatuan Soviet mempelopori bidang ini seperti kejayaan penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas (Yuri Gagarin) dan angkasawan wanita pertama ke angkasa lepas (Valentina Tereshkova). Kejayaan pendaratan ke bulan ini seolah-olah memberi gambaran ke seluruh dunia bahawa Amerika Syarikat juga sudah begitu maju dalam bidang ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Iluminasi, apabila kami berkongsi artikel mengenai dunia eksplorasi angkasa lepas di halaman Facebook rasmi Iluminasi, kami seringkali mendapat pertanyaan mengapakah manusia tidak lagi dihantar ke bulan. Persoalan ini membuatkan kami terfikir dan mencari jawapan untuk persoalan ini.

Dengan kemajuan teknologi dan pelancaran misi-misi baru ke planet Marikh dan kajian terhadap matahari, adakah para saintis tidak lagi berminat kepada bulan? Untuk makluman juga, kali terakhir misi membawa manusia ke bulan adalah pada tahun 1972 melalui program Apollo 17, iaitu sudah lebih 40 tahun lalu.

Peruntukan untuk NASA daripada kerajaan semakin berkurang

bajet tahunan nasa

Apabila membicarakan mengenai projek mega seperti ini, kita tidak dapat lari daripada membincangkan peruntukan atau bajet kewangan yang dimiliki oleh pihak NASA. Ketika pelancaran untuk menjadi negara pertama menjejakkan kaki ke bulan, peruntukan yang diberikan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat adalah sekitar 5% daripada bajet tahunan negara.

Ketika itu, Amerika Syarikat bersaing sengit dengan Kesatuan Soviet untuk menghantar manusia pertama ke bulan dan oleh itu mereka tidak kisah berbelanja besar. Kejayaan menghantar manusia pertama ke bulan ini memberikan gambaran kepada negara lain bahawa Amerika Syarikat lebih hebat daripada Kesatuan Soviet.

Realitinya, misi menghantar manusia pertama ke bulan ini didorong atas faktor politik sahaja dan bukanlah untuk kajian sains. Perkara ini menyebabkan ramai pihak yang beranggapan bahawa misi seperti ini hanya akan membazirkan sahaja wang yang dibayar oleh rakyat Amerika Syarikat melalui kutipan cukai ini.

Kini, kerajaan hanya memperuntukkan 0.4% sahaja daripada bajet tahunan negara untuk pihak NASA. Walaupun jumlahnya mungkin lebih banyak berbanding dahulu apabila mengambil kira faktor pendapatan negara yang juga semakin meningkat, kita perlu tahu bahawa NASA juga mempunyai banyak lagi projek mega yang masih diusahakan pada masa yang sama.

Antara projek mega ini termasuklah pembinaan teleskop angkasa (James Webb Space Telescope), pembinaan sistem roket pelancar Space Launch System (SLS), misi ke matahari, planet Jupiter, planet Marikh dan banyak. Apabila peruntukan ini dibahagikan kepada projek-projek mega ini, jumlahnya menjadi kecil untuk membolehkan NASA menghantar manusia ke bulan dalam masa terdekat.

Faktor polisi politik yang berubah-ubah

trump dan nasa

Setiap Presiden Amerika Syarikat mempunyai kecenderungan kepada perkara-perkara tertentu. Sama juga halnya dalam perkara ini. Setiap Presiden Amerika Syarikat daripada George Bush, Barrack Obama dan Donald Trump mempunyai keinginan yang berbeza-beza.

Sebagai contoh, pada tahun 2004, Preseiden Bush telah mengarahkan NASA membina sebuah roket pelancar yang baru bagi menggantikan roket pelancar lama dan juga memfokuskan kepada pelancaran manusia kembali ke bulan. Maka, lahirlah program diberi nama Constellation untuk menghantar manusia ke bulan menggunakan roket Ares dan kapal angkasa Orion.

Untuk tujuan ini, NASA telah membelanjakan $9 bilion dalam tempoh 5 tahun untuk merekabentuk, membina dan menjalankan ujian bagi memastikan kejayaan projek ini. Walau bagaimanapun, setelah Presiden seterusnya iaitu Barrack Obama mengambil alih tampuk pimpinan, beliau mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi program Constellation ini.

Keputusan itu dikatakan diambil kerana kegagalan pihak NASA memberikan anggaran keseluruhan peruntukan yang diperlukan untuk meneruskan program Constellation ini. Obama mengarahkan program ini dihentikan dan mengarahkan projek pembinaan roket pelancar Space Launch System (SLS).

Apabila Presiden Trump pula mengambil alih, polisi ini sekali lagi berubah. Walaupun beliau membenarkan projek SLS diteruskan, beliau telah mengubah sedikit perancangan Obama yang ingin menghantar angkasawan ke asteroid. Trump sebaliknya mencadangkan semula penghantaran angkasawan ke bulan dan Marikh.

Perubahan demi perubahan antara seseorang Presiden dengan Presiden berikutnya ternyata membantutkan perancangan jangka masa panjang NASA. Selain kerugian masa dan tenaga kerja, NASA juga dikatakan kerugian hampir $20 bilion akibat daripada perubahan polisi yang caca-marba ini.

Usaha organisasi lain menghantar manusia ke bulan

spacex ke bulan

Mungkin anda yang tertanya, selain NASA tidak adakah organisasi lain yang mempunyai perancangan untuk  menghantar manusia kembali ke bulan? Jawapannya, ada. Antara 2 syarikat swasta yang mempunyai misi jangka masa panjang untuk ke bulan adalah SpaceX milik Elon Musk dan juga Blue Origin, syarikat milik Jeff Bezos yang merupakan pemilik syarikat E-dagang Amazon dan manusia terkaya di dunia pada ketika ini.

SpaceX pernah mengumumkan perancangan mereka untuk menghantar manusia ke bulan. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah untuk melakukan kajian sains sebaliknya berbentuk perjalanan komersial ke bulan.

Selain itu, dua buah organisasi daripada Israel SpaceIL dan Israel Aerospace Industries juga telah mengumumkan misi ke bulan mereka. Misi ini dikatakan merupakan usaha sama dengan syarikat SpaceX dimana mereka bercadang menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX.

Program Constellation - Rancangan pembinaan stesyen angkasa di bulan

manusia jejak bulan

Bagi yang tidak tahu, NASA bukanlah terus melupakan terus misi mereka untuk menhantar manusia ke bulan. Jika sebelum ini angkasawan hanya berada beberapa ketika di bulan untuk mengambil sampel dan melakukan ujikaji, NASA sebenarnya merancang untuk membina sebuah stesyen kajian di bulan.

Program yang diberi nama Constellation ini bertujuan untuk membina sebuah stesyen di angkasawan. Fungsinya mungkin seperti Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang akan membolehkan angkasawan berada lebih dalam tempoh yang lebih lama selama berbulan-bulan lamanya di bulan.

Melalui program ini, pihak NASA merancang untuk menghantar kembali manusia ke bulan menjelang pada tahun 2020. NASA dikatakan membelanjakan $35 bilion bagi pembinaan roket Ares dan kapal angkasa Orion untuk program ini. Mereka berharap teknologi yang dibangunkan untuk program ini dapat dimanfaatkan apabila mereka ingin menghantar manusia ke planet Marikh pula pada masa hadapan.

Kredit:

  1. Space.com
  2. WikiPedia
  3. Business Insider
  4. Smithsonian Mag
  5. Interesting Engineering



Hakcipta iluminasi.com (2017)