Terdapat kira-kira 6500 bahasa yang masih dituturkan di dunia. Sebahagian daripada bahasa ini dituturkan oleh bilangan orang yang jauh lebih banyak berbanding bahasa lain.
Ini membuatkan anda perlu mempelajari bahasa yang lebih popular untuk berkomunikasi secara global. Pada hari ini, bahasa seperti Bahasa Inggeris, Cina, Arab, Perancis dan Sepanyol adalah antara bahasa popular yang dipelajari ramai.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, terdapat kesukaran untuk mempelajari beberapa bahasa popular ini. Orang dari negara berbeza melaporkan kesukaran berbeza untuk mempelajarinya.
Sebagai contoh, orang dari Eropah mendapati mereka lebih mudah untuk belajar bahasa Inggeris berbanding bahasa Cina. Begitu juga bagi orang dari Jepun yang mendapati bahasa Cina lebih mudah dikuasai berbanding bahasa Inggeris.
Mengapa ia berlaku dan faktor apakah yang mempengaruhi kesukaran mempelajari sesuatu bahasa?
Pokok Bahasa
Untuk memahami mengapa mempelajari bahasa lain mempunyai kesukaran yang berbeza, kita perlu cuba untuk memahami persamaan dan perbezaan bahasa yang dituturkan berbanding yang dipelajari.
Pokok bahasa untuk keluarga bahasa Indo-Eropah
Seorang ahli bahasa Jerman bernama August Schleicher merupakan individu pertama yang menggunakan rajah seperti pokok pada tahun 1850-an untuk mengesan asal-usul setiap bahasa.
Ahli bahasa selepas Schleicher meneruskan usaha untuk mengkaji evolusi bahasa dunia dan menyusunnya menjadi 'pokok' yang memetakan sejarah dan hubungan mereka.
Menggunakan kaedah ini, mereka dapat mengelaskan bahasa yang evolusinya lebih dekat dan mempunyai asal usul yang sama di bawah satu keluarga.
Bukan disebabkan faktor geografi
Sebagai contoh, bahasa dari keluarga Indo-Eropah merangkumi bahasa seperti bahasa Eropah dan sebahagian daripada beberapa wilayah India dan Iran.
Perkataan "mother" mengikut bahasa dalam keluarga Indo-Eropah
Dalam keluarga ini, bahasa-bahasa Eropah secara evolusinya lebih dekat antara satu sama lain dan membentuk satu sub-kumpulan manakala bahasa India pula membentuk kumpulan lain.
Berdasarkan ini, dapat dilihat bahawa bahasa Perancis dan Sepanyol mempunyai lebih banyak persamaan antara satu sama lain. Ini memudahkan mereka yang bertutur bahasa Perancis untuk belajar bahasa Sepanyol berbanding saudaranya yang lebih jauh secara evolusi seperti bahasa Hindi.
Apa yang lebih menarik, klasifikasi bahasa ini tidak banyak dipengaruhi faktor geografi. Walaupun bahasa yang dituturkan di bahagian Utara India berada di bawah keluarga Indo-Eropah, bahasa yang dituturkan di wilayah Selatan pula jatuh ke dalam keluarga 'Dravidian' yang berbeza.
Ini menyebabkan mereka yang bertutur bahasa India Utara seperti Hindi mempunyai kesukaran mempelajari bahasa India Selatan seperti Tamil walaupun tinggal dalam negara yang sama.
Ini menerangkan mengapa seseorang itu mudah mempelajari sesuatu bahasa tertentu berbanding bahasa lain.
Jarak linguistik
Teori 'pokok bahasa' ini berguna untuk memahami kesukaran mempelajari satu bahasa berbanding bahasa lain untuk individu yang sama. Namun, terdapat satu lagi fenomena di mana individu berbeza melaporkan kesukaran yang berbeza apabila mempelajari bahasa yang sama.
Kesukaran yang berbeza untuk mempelajari bahasa yang sama dapat diperhatikan pada penutur bukan bahasa Inggeris yang berhijrah ke negara yang menggunakan bahasa Inggeris.
Pakar bahasa mendapati bahawa pendatang dengan bahasa ibunda yang berbeza mempunyai kebolehan berbeza dalam mempelajari bahasa Inggeris. Mereka mencadangkan bahawa ia mungkin disebabkan bahasa asal pendatang ini mempunyai persamaan dengan bahasa Inggeris mengikut hipotesis 'pokok bahasa'.
Pakar mencipta sejenis ukuran yang dipanggil 'jarak linguistik' yang menunjukkan tahap persamaan satu bahasa berkenaan dengan bahasa yang lain. Ia dilakukan dengan mengkaji kesukaran mempelajari bahasa yang berbeza ke atas penduduk Amerika yang berbahasa Inggeris.
Mereka mendapati bahawa kecekapan pendatang dalam berbahasa Inggeris dikaitkan dengan 'jarak linguistik' bahasa ibunda mereka daripada bahasa Inggeris.
Sebagai contoh, penutur bahasa Cina yang jauh 'jarak linguistik' akan mengalami kesukaran berbahasa Inggeris dan penutur bahasa Inggeris juga akan menghadapi kesukaran yang sama dalam mempelajari bahasa Cina.
Faktor lain yang mempengaruhi pembelajaran bahasa
Selain jarak linguistik, terdapat beberapa faktor lain yang menentukan kesukaran seseorang itu mempelajari bahasa. Ini termasuklah keupayaan untuk memahami bunyi bahasa baru atau 'fonologi' bahasa itu.
Fonologi adalah sistem perhubungan kontrastif antara bunyi pertuturan yang membentuk komponen asas sesuatu bahasa itu.
Manusia secara amnya lebih baik dalam memperolehi aksen atau loghat sesuatu bahasa tempatan apabila mempelajarinya ketika usia muda. Pada usia muda, persepsi kita terhadap bunyi sesuatu bahasa lebih efektif dan ia akan menjadi kurang cekap selepas 'tempoh kritikal' atau setelah dewasa.
Ini menerangkan mengapa kanak-kanak lebih mudah mempelajari sesuatu bahasa berbanding orang dewasa jika menghabiskan tempoh masa yang sama di negara baru walaupun bertutur dalam bahasa ibunda yang sama.
Namun, orang dewasa lebih mudah mempelajari bahasa baru yang tidak memerlukan pembelajaran bunyi baharu. Tambahan pula, bahasa juga berbeza dalam susunan perkataan dan peraturan tatabahasanya seperti penggunaan jantina dan sebagainya.
Walaupun sesukar manapun sesuatu bahasa itu berbanding bahasa ibunda anda tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipelajari.