Oleh pada 20 Nov 2017 kategori

semangat sayangkan negara

Ramai menganggap sesebuah negara itu akan berjaya jika Perdana Menteri atau Presiden negara tersebut hebat. Namun tanpa kita sedari sebenarnya rakyat memainkan peranan lebih penting daripada pemimpin sesebuah negara itu sendiri kerana rakyat lebih ramai daripada pemimpin dan mampu membuat satu perubahan kepada negara.

Negara Jepun boleh dianggap sebagai negara yang hebat kerana rakyat negara mereka yang memainkan peranan penting dalam memajukan negara tersebut. Pemimpin hanya bertindak sebagai penunjuk arah masa depan tetapi rakyat yang mampu merealisasikan arah yang ingin ditujui tersebut. Kejayaan negara Jepun boleh direflekskan balik kepada rakyat negara mereka itu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Faktor-faktor kejayaan negara Jepun adalah disebabkan nilai-nilai yang ada kepada rakyat mereka. Mari kita lihat apakah faktor-faktor kejayaan tersebut.

1. Rajin dan Kerja Keras

orang jepun sangat rajin dengan slogan gambare ganbatte

Umum mengetahui tentang kerajinan rakyat negara Jepun dan secara purata waktu pekerjaan mereka juga merupakan antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain. Purata waktu pekerjaan di Jepun ialah 2450 jam per tahun iaitu satu nilai yang tinggi jika dibandingkan dengan Amerika (1957 jam/tahun), UK (1911 jam/tahun) dan Jerman (1870/tahun).

Seorang pekerja di Jepun mampu menghasilkan sebuah kereta dalam masa 9 hari tetapi pekerja di negara-negara lain memerlukan 47 hari untuk sebuah kereta yang mempunyai nilai yang sama. Pekerjaan yang dilakukan oleh seorang rakyat Jepun juga dikatakan bersamaan dengan 5-6 orang pekerja biasa.

Jika anda pulang dari kerja pada awal waktu, anda akan dipandang serong oleh masyarakat negara Jepun kerana ia dianggap biadap. Sebuah syarikat di Jepun akan merasakan anda sebagai seorang pekerja yang tidak diperlukan hanya kerana anda pulang ke rumah awal waktu dan ini sendiri menunjukkan betapa hebatnya budaya mereka.

Budaya ini menjadi faktor utama dalam kejayaan negara Jepun dan amat berlainan jika kita bandingkan budaya yang mereka amalkan dengan apa yang kita amalkan di Malaysia. Di Malaysia, jika kerja habis pukul 5.00 petang, kadang-kadang pukul 4.30 kita sudah pulang dengan bermacam-macam alasan yang kita berikan seperti untuk mengelak trafik, perlu mengambil anak daripada kelas petang dan sebagainya. 

2. Perasaan Malu Rakyat Jepun

samurai jepun seppuku simbolik maruah perlu dijaga

Perasaan malu merupakan satu budaya yang diturunkan dari nenek moyang mereka lagi. Pasti ramai yang mendengar kisah Samurai yang akan membunuh diri mereka jika mereka telah gagal dalam menjalankan tanggungjawab yang diletakkan ke atas mereka. Budaya ini masih lagi dipakai sehingga ke hari ini dan ini merupakan salah satu kejayaan mereka.

Harakiri iaitu budaya membunuh diri dengan menusuk pedang ke perut sudah tertanam pada Samurai ketika era Samurai Jepun jika mereka telah kalah dalam peperangan. Dalam dunia moden pula, mereka tidak lagi membunuh diri tetapi ia telah berubah sedikit sebanyak untuk menyesuaikannya dengan zaman yang mereka tinggal pada hari ini. 

Perasaan malu itu dalam berbagai bentuk pada hari ini seperti mereka tidak memotong pemandu lain di jalan raya dan sanggup mengambil jalan yang panjang hanya kerana mahu melanggar peraturan negara mereka sendiri. Mereka berasa malu jika mereka telah melakukan melanggar peraturan kerana mereka merasakan diri bahawa mereka telah mencemarkan persekitaran sekeliling dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

Banyak perbezaan dengan negara yang kita tinggal sekarang kerana di Malaysia kita tidak berasa malu sedikit pun dengan kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan malah ada di antara kita yang bangga dengan kesalah tersebut. Contohnya jika rakyat Malaysia membuang sampah merata-rata, tiada sedikit pun perasaan malu atau bersalah semasa melakukan tabiat buruk tersebut.

3. Hidup Sederhana

keluarga jepun mengamalkan hidup sederhana

Ajaran Islam sendiri amat menggalakkan kehidupan sederhana dan tidak terlalu mewah dalam perbelanjaan seperti membeli-belah di pusat membeli-belah, perbelanjaan untuk makanan dan bermacam-macam lagi. Di Jepun, rakyat mereka sudah merasakan perbelanjaan berlebihan itu satu perkara yang sia-sia dan membazir.

Sudah menjadi budaya mereka untuk berbelanja dengan apa yang perlu sahaja dan mereka juga tidak terlalu jimat sehinggakan hanya membeli barang yang murah kerana mereka juga mementingkan kualiti cumanya ia tidak sehingga terlalu membazir. Itulah maksud kesederhanaan yang diamalkan oleh masyarakat negara mereka yang menyebabkan mereka sebuah negara yang maju.

Di kebanyakkan pusat membeli belah di Jepun, rakyat negara mereka selalunya akan membeli belah pada pukul 7.30 malam kerana pada waktu ini promosi barangan setengah harga ditawarkan oleh kebanyakkan pusat membeli belah. Pusat membeli-belah ini akan ditutup pada pukul 8.00 malam dan ini menunjukkan bagaimana produktifnya mereka dalam menghargai masa kerana hanya 30 minit digunakan untuk membeli barangan harian.

Sebaliknya di Malaysia, kita banyak menghabiskan wang kepada benda-benda yang tidak diperlukan dan terlalu mewah dalam perbelanjaan. Kadang-kadang pada bulan puasa kita dapat lihat banyak makanan yang tidak habis akibat boros semasa membeli yang mana akhirnya makanan ini dibuang begitu sahaja. Jika kita dapat membudayakan kesederhanaan dalam masyarakat Malaysia, sudah tentu kemajuan dapat dikecapi di negara ini.

4. Kesetiaan

jepun setia sebab itu maju

Nilai kesetiaan ini banyak kali kita dengar setiap hari dan ia juga merupakan Rukun Negara yang kedua iaitu "kesetiaan kepada raja dan negara". Kesetiaan yang diterapkan di negara mereka memang tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara lain kerana mereka bukan sahaja setia dengan negara mereka, mereka juga setia dengan syarikat yang mereka bekerja.

Di negara Jepun, ia merupakan suatu perkara yang agak jarang berlaku jika seseorang pekerja berubah tempat pekerjaan mereka daripada satu syarikat kepada syarikat yang lain. Sistem di negara seperti Amerika dan negara-negara Eropah juga berbeza kerana kebanyakkan pekerja di negara ini banyak berhijrah tempat kerja.

Di negara Jepun juga, mudah untuk lepasan ijazah untuk mendapat kerja kerana syarikat-syarikat akan mengambil lepasan ini dan akan diterapkan nilai-nilai syarikat tersebut ke dalam diri pekerja tersebut.

Disebabkan kesetiaan yang sangat kuat diterapkan dalam diri mereka kepada syarikat dan negara mereka, ini menyebabkan mereka sanggup mengorbankan banyak perkara seperti masa dan wang mereka untuk melihat syarikat dan negara mereka untuk terus maju. Setiap pekerjaan yang mereka lakukan, mereka akan mengingati bahawa apa yang mereka lakukan itu untuk kebaikan syarikat dan negara mereka.

Berlainan pula di Malaysia, ramai juga pekerja yang berpindah tempat kerja ke syarikat dan negara lain untuk mendapat wang yang lebih lumayan. Tidak salah untuk berpindah tempat kerja tetapi jika ia selalu sangat dilakukan, ia hanya memberi kebaikan kepada diri sendiri tetapi syarikat dan negara tidak akan mendapat kebaikan tersebut.

5. Menepati Masa dan Bertimbang Rasa

jepun menepati masa sebab itu hebat

Inilah salah satu perkara yang sangat hebat tentang negara Jepun. Masa merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan oleh semua rakyat negara mereka bukan sahaja kepada pekerja, malah juga buat servis-servis seperti kereta api dan lain-lain. Mereka sangat menghargai masa walaupun sesaat dan ini menyebabkan perkara yang dilakukan mereka sangat produktif kerana tiada masa untuk "melepak".

Di Jepun, jika servis kereta api atau tren mereka hanya lambat 1 minit, pekerja tren tersebut akan pergi ke setiap penumpang dan meminta maaf kerana telah merosakkan hari mereka. Mereka juga akan memberi slip kepada pelajar sekolah dan pekerja-pekerja dan slip ini akan menerangkan yang mereka lambat kerana kesilapan servis kereta api. Ini menunjukkan betapa serius mereka menitikberatkan masa dan perihal orang lain.

Rakyat negara Jepun tidak mementingkan diri sendiri kerana budaya mereka sangat bertimbang rasa tentang orang lain menyebabkan banyak perkara mereka lakukan akan memberi faedah kepada orang lain dan bukan bertujuan untuk menyusahkan. Contohnya, mereka akan berdiri di sebelah kiri eskalator bagi memudahkan pengguna lain yang sedang tergesa-gesa untuk menggunakan eskalator di sebalah kanan.

Sebaliknya di negara Malaysia, kadang-kadang rakyat Malaysia mengambil ringan tentang masa dan selalunya kita tidak memikirkan tentang perihal orang lain. Contohnya, ramai yang tidak menepati masa apabila masa tersebut sudah dipersetujui oleh dua pihak dan istilah "on the way" sudah biasa disalahgunakan. Selain itu, ramai pemandu di Malaysia yang tidak memikirkan tentang orang lain kerana ada yang tidak memberi isyarat semasa ingin bertukar haluan dan ini boleh menyebabkan kemalangan.

6. Tidak bersifat individualistik, hanya kerjasama

orang jepun sangat bekerjasama

Budaya Jepun tidak melibatkan kehebatan seorang individu namun ia membangun sebagai sebuah negara yang sangat mementingkan kerjasama. Di syarikat-syarikat negara Jepun, sukar untuk seseorang itu menyerlah seorang diri kerana hasil kerja selalunya datang daripada hasil kesemua ahli kumpulan. Tiada sifat individualistik yang ditunjukkan oleh mana-mana pekerja Jepun kerana mereka sentiasa bekerjasama menyiapkan tugasan yang diberi.

Walaupun bekerja sebagai kumpulan, tiada seorang pun yang akan mencuri tulang kerana tiada siapa pun yang akan terlepas daripada melakukan kerja di negara ini. Jika seseorang itu suka mengelat daripada melakukan tanggungjawab, tiada syarikat di Jepun yang akan mahukan pekerja seperti itu jadi secara automatik dia hanya mampu menganggur seumur hidup jika dia tidak mengubah sikap itu.

Mereka juga akan memulaukan seseorang yang pentingkan diri sendiri menyebabkan dia sendiri sedar akan kesalahan dan terus berubah. Masyarakat Jepun juga mempunyai satu budaya yang dipanggil sebagai "rin-gi". Rin-gi ialah satu budaya di mana semua orang bersetuju dengan satu keputusan yang dibuat. Keputusan yang strategik mesti dibincang dengan "rin-gi" dan ini juga membuatkan negara mereka begitu hebat.

Kerjasama ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja malah masih kekal di sekolah dan universiti kerana sistem mereka amat menggalakkan kerjasama dalam kumpulan. Di Malaysia, banyak juga aktiviti kerjasama dilakukan namun ramai juga yang suka mengelat dan hanya datang untuk mengisi nama ketika kerja sudah siap. Ini merupakan tabiat yang harus diubah.

7. Inovatif

syarikat dan jenama kereta terkenal jepun

Jepun bukanlah sebuah negara yang banyak memperkenalkan ciptaan baru tetapi mereka bijak menginovasikan sesuatu yang sudah tercipta. Banyak syarikat-syarikat teknologi yang kita guna pakai hari ini datang dari Jepun dan syarikat-syarikat ini lebih banyak daripada negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan UK.

Kisah menarik tentang pengasas bersama Sony iaitu Akio Morita yang telah menginovasikan pita kaset. Pita kaset bukanlah ciptaan oleh syarikat Sony kerana paten ciptaan ini dimiliki oleh Phillip tetapi Sony berjaya menginovasikan ciptaan ini dan ia menjadi lebih terkenal dengan nama baru iaituWalkman. Sony Walkman pasti dimiliki oleh remaja sekitar 10 tahun lepas dan ini bukti bahawa Jepun sangat hebat dalam menginovasikan ciptaan.

Selain ciptaan pita kaset, kenderaan pacuan empat roda juga bukan ciptaan negara Jepun namun mereka sangat hebat dalam menginovasikan ciptaan sehinggakan ramai yang sangka Jepun yang banyak menghasilkan ciptaan ini. Paten pacuan empat roda dimiliki oleh Amerika Syarikat tetapi syarikat automotif negara Jepun banyak mengambil idea ini dan mengubahsuai ia menjad lebih baik.

Berikut merupakan senarai syarikat kereta Jepun yang kita guna hari ini:

  • Toyota
  • Nissan
  • Honda
  • Suzuki
  • Mazda
  • Subaru
  • Mitsubishi
  • Lexus

Berikut pula merupakan syarikat elektronik keluaran negara Jepun:

  • Sony
  • Toshiba
  • Hitachi
  • Sharp
  • Panasonic

Semua senarai ini hanya beberapa contoh daripada keseluruhan jenama-jenama keluaran Jepun. Jepun juga memegang sebahagian besar daripada pasaran teknologi. Jenama-jenama ini berjaya mengeluarkan teknologi-teknologi yang lebih berkualiti dan lebih murah daripada kebanyakkan jenama daripada negara-negara lain.

syarikat dan jenama elektronik terkenal jepun

8. Tidak mudah berputus asa

hiroshima pengeboman

Walaupun nilai-nilai yang disebutkan dalam artikel ini seperti nilai-nilai murni yang diajar ketika sekolah rendah, ia sebenar perkara patut dititikberatkan oleh sesebuah masyarakat yang mahukan kemajuan. Sikap rakyat Jepun yang tidak mudah berputus asa yang menyebabkan negara mereka begitu maju sehingga ke hari ini. Banyak kisah yang dapat refleks semula sikap rakyat mereka yang hebat.

Kisah pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat pada tahun 1945 telah menghancurkan sebahagian daripada negara mereka. Selain itu, gempa bumi besar yang berlaku di Tokyo menambahkan lagi nasib buruk yang dihadapi rakyat negara ini kerana ia telah menghancurkan banyak struktur-struktur bangunan dan jalan raya yang memerlukan baik pulih.

Ini menyebabkan negara perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membaiki semula kerosakan yang telah berlaku. Namun disebabkan sikap mereka yang tidak mudah berputus asa, tiada apa yang mustahil untuk mereka kecapi. Rakyat mereka sangat cepat belajar sesuatu perkara menyebabkan mereka cepat kembali semula ke atas landasan kecemerlangan setelah mereka jatuh akibat sesuatu musibah.

jepun sangat inovatif dan produktif

Banyak kisah-kisah menarik berkaitan tidak mudah putus asa yang datang daripada rakyat negara Jepun. Contohnya kisah pengasas Panasonic, Konosuke Matsushita yang hampir muflis pada tahun 1945 akibat pengeboman itu namun syarikat itu yang bermula dari zero kini sudah menjadi hero kerana Panasonic kini digunakan di seluruh dunia hasil daripada sikap tidak berputus asa CEO syarikat itu.

Selain itu, Akio Morita juga ditertawakan apabila dia memberitahu ideanya tentang pita kaset kepada syarikat di negara-negara lain. Namun siapa sangka disebabkan sikapnya yang tidak mudah berputus asa, dia terus berusaha untuk menjual kaset pita itu sehingga kita semua tahu tentang Sony Walkman yang menjadi kegilaan remaja-remaja pada suatu ketika dahulu. Bahkan dahulu, sesiapa yang memiliki Sony Walkman pasti akan kelihatan "cool" di hadapan rakan-rakan.

9. Budaya Membaca

orang jepun kuat membaca

Jika anda ke Jepun dan menaiki tren, anda akan melihat semua penumpang sama ada akan melakukan kerja menggunakan telefon bimbit atau komputer riba ataupun mereka akan memegang sebuah buku sambil membacanya dengan khusyuk. Budaya ini tidak mengira umur dan di mana mereka berada. Dalam tren tersebut, sama ada budak kecil atau orang tua akan membaca buku walaupun mereka terpaksa berdiri.

Budaya ini juga dibawa ke mana-mana sahaja mereka pergi dan anda juga akan dapat lihat pelancong yang datang dari Jepun akan membaca buku di Malaysia. Tradisi ini sudah menjadi kebiasaan rakyat mereka kerana mereka tahu tentang kepentingan ilmu dalam memajukan diri sendiri. Buku-buku itu pula mempunyai kepelbagaian daripada komik manga sehingga buku-buku ilmiah.

Disebabkan negara Jepun mahu membudayakan membaca dalam diri seseorang sejak kecil lagi, ramai pengeluar manga yang bekerjasama dengan sekolah untuk menghasilkan bahan bacaan kurikulum di sekolah bagi menambah minat mereka. Subjek seperti Sejarah, Biologi dan sebagaiya disampaikan dalam cara lebih menarik supaya ramai yang suka lebih membaca.

manga jepun yang diminati seluruh dunia

Budaya membaca ini juga ditambah lagi proses menterjemah bahasa-bahasa asing ke dalam bahasa Jepun. Penterjemahan ini telah berlaku sejak 1684 lagi dan ini juga salah satu budaya yang hebat kerana rakyat negara Jepun sangat membanggakan bahasa mereka sehingga banyak karya-karya hebat yang terhasil dalam bahasa Jepun.

Jepun juga berjaya menarik rakyat negara asing untuk menonton anime mereka dalam bahasa Jepun dan secara tidak langsung meningkatkan minat orang luar terhadap bahasa Jepun. Ramai juga rakyat negara asing sanggup belajar bahasa Jepun hanya kerana mereka mahu menghayati karya-karya semasa menonton anime atau membaca manga tanpa menterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Sebaliknya di negara kita, budaya membaca ini sangat kurang dalam kalangan rakyat Malaysia dan banyak kempen-kempen yang dilakukan hanya untuk menggalakkan orang untuk membaca. Di Jepun, tiada kempen diperlukan kerana budaya membaca sudah diterapkan sejak kecil lagi. Budaya membaca ini merupakan salah satu sebab kejayaan negara Jepun.

10. Berdikari

anak anak jepun diajar untuk berdikari

Rakyat negara Jepun diajar untuk berdikari sejak kecil lagi sewaktu tadika dan sekolah rendah. Sistem pendidikan negara mereka membentuk rakyat-rakyat negara mereka untuk berdikari pada usia yang muda dan ini memudahkan mereka pada masa hadapan. Bayangkan sejak di Yochien (tadika) lagi mereka akan diajar dengan berbagai-bagai tanggungjawab sehingga mereka bersedia untuk bergantung ke atas diri sendiri.

Di Yochien, kanak-kanak akan diwajibkan untuk membawa 3 beg besar yang mengandungi pakaian, Bento (bekalan makanan tengahari), kasut, buku, tuala dan botol minuman besar yang digantung di leher. Mereka dilatih untuk membawa kelengkapan mereka sendiri setiap hari dan mereka harus bertanggungjawab ke atas kesemua alatan tersebut. Dari kecil lagi sudah belajar erti tanggungjawab jadi sudah tentu mereka boleh berdikari sejak sekolah rendah lagi.

orang jepun rajin kerja sambilan

Kerja sambilan di Jepun adalah perkara biasa

Selepas pelajar menghabiskan pelajaran di sekolah menengah, mereka tidak lagi mengharapkan bantuan ibu bapa. Setelah mereka melanjutkan pelajaran ke kolej, mereka tidak akan meminta satu sen pun daripada ibu bapa mereka sebaliknya mereka akan bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan kolej dan yuran kolej.

Jika mereka terdesak memerlukan wang, mereka tidak akan meminta daripada ibu bapa sebaliknya mereka hanya meminjam wang tersebut dan ia akan dikembalikan setelah mereka mendapat wang yang cukup untuk membayar semula. Bayangkan betapa berdikarinya rakyat negara mereka dalam kehidupan setiap hari kerana mereka memahami erti tanggungjawab.

Jika di Malaysia pula, ramai yang terlalu bergantung kepada orang lain sehingga menyusahkan orang lain untuk diri sendiri. Sewaktu belajar, ramai yang akan meminta wang daripada ibu bapa atau membuat pinjaman PTPTN namun masih ramai yang tidak memahami erti tanggungjawab itu kerana ada yang sanggup menghabiskan wang ibu bapa dan pinjaman ini untuk membeli telefon bimbit atau menonton wayang.

11. Mengekalkan tradisi dan budaya

budaya jepun yang sangat berdisiplin ke arah kemajuan

Walaupun perkembangan teknologi dan ekonomi semakin maju, rakyat negara Jepun tidak lupa akan tradisi yang telah kekal lama. Budaya wanita yang sudah berkahwin untuk tidak bekerja masih lagi kekal sehingga hari ini kerana wanita itu memahami tanggungjawabnya di rumah untuk menguruskan rumah dan dia pula mengharapkan suaminya untuk menguruskan hal perbelanjaan.

Budaya meminta maaf dapat mereflekskan rakyat negara Jepun kerana mereka sangat memikirkan tentang orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika anda melancong ke Jepun dan semasa berjalan anda melanggar seorang rakyat Jepun, jangan terkejut jika orang yang dilanggar yang akan meminta maaf. Ini menunjukkan kesantunan rakyat negara Jepun dan tradisi ini masih dikekalkan ke hari ini.

Mereka juga sangat menghormati orang tua-tua dan kita dapat lihat cara mereka tunduk kepada orang tua itu seakan-akan sampai ke 45 darjah kerana begitu hormat terhadap orang tua. Budaya-budaya seperti ini terus dikekalkan dan rakyat negara mereka juga sangat peramah. Setiap kali berjalan di Jepun, anda boleh melihat orang akan senyum kepada anda tidak kira usia.

pekerja jepun 666

Pekerja-pekerja di negara Jepun seperti di kedai 7-Eleven juga sangat mesra dan peramah membuatkan orang mahu datang ke kedai itu lagi. Jika anda hanya tinggal sehari di Jepun, anda akan merasakan perbezaan antara negara mereka dan negara sendiri. Perkataan "terima kasih" dan "maaf" sudah selalu disebut oleh mereka kerana sangat terbiasa.

Di Malaysia pula, masih wujud budaya-budaya sebegini seperti menghormati orang tua, senyum dan meminta maaf jika terlanggar. Namun budaya-budaya seperti ini sudah jarang diamalkan kerana ia seperti ditelan arus peredaran zaman. Jika rakyat Malaysia mampu mengekalkan budaya seperti ini, suasana negara kita sendiri pasti akan lebih indah untuk dinikmati.




Hakcipta iluminasi.com (2017)