kejohanan wimbledon

Sejarah Kejohanan Wimbledon bermula apabila satu pengumuman di dalam majalah The Field bertarikh 9 Jun 1877 memanggil para pemain tenis amatur untuk berkumpul di All England Croquet and Lawn Tennis Club, Wimbledon. Sebanyak 22 orang pemain tenis lelaki telah hadir (ini kerana wanita tidak dibenarkan menyertainya).

Hari ini menyaksikan Kejohanan Wimbledon merupakan pertandingan tenis paling tua dan paling berprestij di antara kesemua 4 kejohanan Grand Slam (tiga lagi ialah Kejohanan Terbuka Perancis, Australia dan Amerika Syarikat). Kejohanan Wimbledon juga menyaksikan tradisi dipelihara dengan baik seperti memanggil pemain lelaki dan wanita dengan nama 'Gentlemen' dan 'Ladies'.

wimbledon klasik 672

Begitu juga dengan tempat duduk khas untuk para bangsawan Inggeris yang masih kekal sejak 1922 yang digelar 'Petak Diraja'. Akan tetapi yang paling menjadi aspek terpenting dan paling ketara ialah setiap pemain yang menyertainya memakai pakaian berwarna putih keseluruhannya. Mengapakah para pemain di kejohanan ini diwajibkan memakai pakaian serba putih ini?

Jawapannya mudah kerana warna putih adalah 'kod pemakaian' yang wajib dipatuhi untuk kejohanan ini. Ia diwajibkan atas sebab yang tertentu. Pada waktu peraturan kejohanan ini dibuat pada tahun 1880, kesan peluh adalah sesuatu yang dianggap kurang sopan. Oleh disebabkan itu warna putih dipilih kerana ia mengurangkan kesan peluh pada baju pemain.

petak diraja wimbledon 511

Satu lagi sebab adalah kerana ia merupakan sukan yang diminati golongan bangsawan dan juga golongan diraja. Sejak lebih seabad peraturan 'kod pemakaian' warna putih ini diperkenalkan, ia tidaklah begitu popular di kalangan beberapa pemain tenis profesional. Tidak hanya pakaian putih, 'kod pemakaian' Wimbledon juga merangkumi beberapa aspek lain seperti rekaan dan kesopanan yang ditetapkan.

Antara kes yang paling mendapat perhatian ialah apabila bintang tenis terkenal Andre Agassi menolak untuk bermain di Kejohanan Wimbledon dari tahun 1988 hingga 1990. Ini kerana peraturan pakaian semua putih ini menghalang dari Agassi untuk memakai baju berwarna terang yang disukainya kerana keselesaan (dan juga kerana ia adalah sebahagian dari jenamanya sendiri ketika itu).

pemain tennis baju putih

Bukan itu sahaja malah pemain tenis lelaki terbaik sepanjang zaman iaitu Roger Federer juga pernah melanggar peraturan apabila dia memakai kasut putih dengan belang oren pada kejohanan 2013. Federer diarahkan untuk menukar kasut pada perlawanan seterusnya.

Pada tahun berikutnya, lagenda tenis wanita iaitu Martina Navratilova menjadi berang dan mengatakan pegawai kejohanan itu sebagai 'melampau' apabila memberitahunya bahawa skirt putih berbelang biru yang dipakainya tidak mematuhi 'kod pemakaian' yang ditetapkan.

serena williams

Ramai lagi pemain tenis profesional yang dianggap telah melanggar peraturan 'kod pemakaian' kejohanan besar ini. Di antaranya ialah ‘Gorgeous Gussie’ Moran(1949 ), Pat Cash (1987), Maria Sharapova (2008), Serena Williams (2008), Bethanie Mattek-Sands (2011) dan Venus Williams (2010 & 2011).

Walaupun beberapa kali dikritik pemain profesional tenis terhebat, pihak pengurusan Kejohanan Wimbledon tidak sedikitpun berlembut untuk mempertimbangkan cadangan mereka. Jadi kita mungkin akan melihat para peserta kejohanan ini akan terus memakai pakaian kesemua putih untuk satu jangka masa yang panjang. 

Rujukan:

1. britannica

2. wimbledon

3. metro.co.uk


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)