Tisu merupakan salah satu peralatan yang penulis gunakan hari-hari, apatah lagi selepas menimang cahaya mata sendiri. Stok tisu sekejap saja habis sama ada benar-benar digunakan atau habis dimain anak penulis yang aktif.

Salah satu perkara yang kerap kali bermain di minda penulis adalah berkenaan warna tisu yang dijual di kedai, kebanyakannya menggunakan warna putih. Ada juga beberapa jenama yang menggunakan warna biru muda dan coklat cair, tetapi majoritinya menggunakan warna putih.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir kenapa tisu berwarna putih?

Siapakah pencipta awal tisu?

kotak tisu warna putih

Kertas sudah dicipta lebih beribu tahun lamanya sekitar tahun 100SM/BC oleh seorang pegawai kerajaan China bernama Ts'ai Lun. Rekod terawal penggunaan kertas tisu sebagai peralatan membersihkan diri selepas buang air besar pula direkodkan hanya pada abad ke 6 di negara tersebut.

Selain itu, masyarakat Jepun juga berjaya mencipta kertas untuk digunakan sebagai tisu, sekitar tahun ke 700 yang digunakan seperti tisu muka. Tidak diketahui siapakah pencipta sebenar kertas nipis tersebut, dihasilkan daripada pokok mulberi atau pokok 'kozo' oleh masyarakat Jepun. 'Kertas Jepun' atau lebih dikenali sebagai 'washi' dikeluarkan dalam pelbagai bentuk ketebalan, digunakan untuk cetakan, pembaikian buku dan bermacam lagi kegunaan lain.

Tisu hanya mula popular selepas dikomersialkan bermula pada abad ke 19. Tisu tandas diperkenalkan oleh seorang pencipta bernama Joseph Gayetty pada tahun 1857, dijual sebagai kertas yang berubat sesuai untuk kegunaan selepas beristinjak.

Tisu pakai buang berbentuk moden dalam kotak yang ada sehingga kini, dicipta oleh syarikat Kimberly-Clark dari Wisconsin, Amerika Syarikat. Pesaing mereka iaitu The Scott Company merupakan pengeluar tisu pakai buang komersial pertama, tetapi Kimberly-Clark menjadi sangat terkenal semasa perang dunia pertama.

Pada mulanya dibekalkan kepada askar yang berkhidmat sebagai topeng gas, tisu keluaran mereka didapati sangat berkesan dalam menyerap darah askar yang tercedera akibat daripada ketiadaan kasa kapas. Berikutan lebihan stok yang ada akibat tamatnya perang, Kimberly-Clark menukar pemasaran mereka menjenamakan semula produk mereka kepada 'Kleenex Kerchief' yang dikatakan sesuai digunakan bagi menanggalkan solekan wanita.

Kenapa tisu berwarna putih?

lignin struktur tisu

Pada awalnya, produk tisu yang dikeluarkan mempunyai warna coklat cair namun usaha untuk menghasilkan produk tisu yang lebih lembut, menyebabkan tisu mula bertukar menjadi putih.

Kisahnya, kayu-kayu yang digunakan untuk pembuatan tisu memerlukan pengeluar merendam kayu dengan peluntur, bagi mengurangkan sejenis polimer dalam kayu tersebut; yang dinamakan sebagai 'lignin.'

Apabila kayu itu dilunturkan lebih lama, fiber-fiber kayu yang ada akan menjadi lebih renggang seterusnya menyumbang kepada penghasilan tisu yang lebih lembut. Bagaimanapun, dalam masa yang sama - warna kertas yang terhasil pada awalnya coklat cair akan mula menjadi keputihan sekiranya dilunturkan dalam tempoh yang panjang.

Tujuan untuk menghapuskan bahan lignin dalam kayu inilah yang menyumbangkan kepada warna putih tisu yang ada sekarang. Selain itu, dengan menyahkan lignin daripada lapisan yang dihasilkan - tisu akan menjadi lebih tahan lama serta tidak mudah menjadi kuning-kekuningan.

Trend kertas tisu berwarna era 1950-an

sejarah produk tisu kleenex

Kita sudah tahu kenapa tisu berwarna putih. Jadi, sekitar tahun 1950-an wujud tren baru di mana pembeli di Amerika Syarikat mahukan tisu khasnya tisu tandas berwarna. Berikutan permintaan yang ada, syarikat pengeluar tisu berlumba mahu mengeluarkan produk tersebut dengan warna merah jambu, biru, kuning, hijau dan pic menjadi pilihan ramai ketika itu.

Malangnya, untuk menghasilkan kertas tisu berwarna - setiap kepingan tisu perlu melalui proses tambahan dicelup dalam larutan warna. Proses tambahan ini memerlukan kos tambahan seterusnya meningkatkan harga jualan setiap kotak tisu yang dijual.

Selain itu, pakar perubatan juga mendapati wujud kesan buruk pada kesihatan pengguna khasnya pengguna kertas tisu tandas berwarna, kerana berlakunya iritasi pada bahagian alat sulit selepas digunakan - akibat daripada bahan pewarna yang digunakan.

Walau demikian, tren kertas tisu berwarna ini kekal sehingga era 1970-an sebelum lama-kelamaan mula surut, selepas harga jualan lebih tinggi membuatkan ramai kembali menggunakan tisu warna putih semula.

Selepas trend tisu berwarna mula tidak lagi mendapat perhatian, pengguna kembali membeli tisu putih untuk kegunaan mereka. Oleh sebab itulah anda dapat lihat bagaimana kebanyakan tisu yang digunakan sekarang, mempunyai warna putih.

Rujukan

Terry's Plumbing The Ultimate Toilet Paper Guide




Hakcipta iluminasi.com (2017)