Anda salah seorang peminat kereta 'recon' atau 'reconditioned vehicle' yang nampaknya semakin mendapat tempat di negara kita khasnya melibatkan jenama-jenama dari Jepun?
Kemasukan kereta recon ini memberikan banyak pilihan pada pengguna kerana banyak model-model yang tidak masuk secara rasmi kini boleh didapati pada harga yang agak berbaloi untuk dibeli.
BESARKAN TEKS A- A+
Kualitinya juga masih layak dikatakan sangat baik.
Kerajaan kita yang membenarkan syarikat pengedar membawa masuk kenderaan berstatus 'recon' ini dengan beberapa syarat tertentu, membantu membanyakkan lagi kemasukan model-model terpakai ini ke Malaysia.
Pernahkah anda terfikir mengapa banyak sangat kereta recon ini datang dari Jepun, dalam keadaan yang baik serta nampak macam baru?
Sistem pemilikan kereta di Jepun yang sangat ketat
Satu masalah besar berkenaan pemilikan kereta di Jepun - walaupun negara tersebut terkenal sebagai sebuah negara pengeluar kereta dunia; kos pemilikan dan tanggungan sesebuah kereta di sana yang layak dikatakan terlalu tinggi.
Untuk sebuah kereta baru dijual, pemilik tidak perlu menjalani apa-apa ujian keselamatan dalam tempoh 3 tahun.
Tamat tempoh 3 tahun tersebut, bermulalah 'mimpi ngeri' bagi setiap pemilik kereta di Jepun. Bermula tahun ketiga, pemilik perlu membawa kenderaan mereka untuk menjalani ujian kelulusan bagi membolehkan kereta itu digunakan.
Ujian itu pula perlu diulang setiap selang 2 tahun selagi mana kenderaan itu mahu terus digunakan.
Kewujudan ujian yang digelarkan 'shaken' inilah yang menjadi penyebab utama kenapa banyak kereta terpakai Jepun sampai ke Malaysia.
Ujian 'shaken' yang teliti
Untuk semua jenis kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin 250cc dan ke atas, kesemuanya wajib menjalani ujian bagi menentukan tahap kesesuaian penggunaan kenderaan di atas jalan raya.
Untuk pemeriksaan sebuah kenderaan bersaiz kecil, yuran yang dikenakan adalah sekitar ¥100,000 atau RM3,695 dan untuk kenderaan besar pula mampu mencecah ¥200,000 atau RM7,388 sekali ujian.
Ujian-ujian yang dilakukan pula bersifat menyeluruh.
Sesebuah kenderaan akan diperiksa keseluruhan bahagian dan peralatannya. Kereta itu turut dinilai ketepatan bacaan meternya, di mana tayar kereta akan digerakkan di atas penggolek pada kelajuan 40km/j agar meter kereta perlu dilaras semula jika perlu.
Ujian seterusnya melibatkan ujian emisi asap di mana tahap karbon monoksida sesebuah kenderaan diukur, dengan penanda arasnya berbeza mengikut tahap usia kenderaan.
Gagal ujian ini boleh mengakibatkan kenderaan gagal dianggap lulus. Sistem brek kenderaan turut diuji bagi memastikan kesemuanya berjalan lancar.
Selepas lulus kesemua ujian ini, barulah pemeriksa akan menguji perkara-perkara kecil seperti lampu brek dan lampu isyarat serta bahagian bawah enjin untuk mengenalpasti wujud sebarang masalah yang meninggikan risiko kenderaan.
Hanya selepas itu barulah kenderaan yang lulus dibenarkan untuk terus digunakan.
Apa akan berlaku jika kenderaan gagal ujian?
Sekiranya kenderaan seseorang pemilik tidak melepasi ujian yang dijalankan, mereka perlulah melakukan pembaikian, penambahbaikan atau penggantian.
Sebagai contoh sekiranya saiz tayar yang dipasang didapati tidak sesuai dengan kenderaan tersebut, pemilik perlulah menukarkan tayar tersebut terlebih dahulu sebelum kelulusan dibenarkan.
Tayar yang dipasang juga perlulah sesuai dengan musim cuaca mereka.
Bagi kenderaan-kenderaan yang telah menjalani proses modifikasi tanpa kelulusan, kenderaan tersebut akan ditampalkan dengan sejenis pelekat yang menandakan kenderaan tersebut tidak selamat untuk berada di jalan raya.
Kenderaan yang gagal dalam ujian shaken dan ditampal pelekat tidak selamat kerana modifikasi yang melanggar spesifikasi, dianggap tidak layak digunakan di jalan raya Jepun.
Kos pembaikian kenderaan di Jepun juga agak tinggi, berikutan penawaran perkhidmatan yang kurang diceburi masyarakat sana.
Ini membolehkan pihak bengkel mengenakan harga servis dan pembaikian tidak munasabah, menyebabkan pemilik yang gagal lulus ujian 'shaken' kebiasaannya mengambil langkah mudah; melupuskan sahaja kenderaan tersebut atau menjualnya pada pasaran luar.
Ramai juga pemilik merasakan kos untuk menanggung ujian 'shaken' tidak lagi berbaloi dalam terus menjaga kualiti kereta mereka, jadi lebih mudah bagi mereka mengeksport keluar kereta mereka untuk dijual dalam pasaran kereta terpakai (second hand).
Itulah sebabnya di negara kita banyak kereta 'recon' Jepun dijual, dengan pelbagai pilihan ditawarkan pada harga lebih murah serta jumlah jarak perjalanan yang rendah.
Ini kerana orang Jepun dah malas nak fikir pasal maintenance kereta mereka.