Sekiranya anda cuba bertanya soalan 'apa itu kereta Kei atau K-Car' di kalangan masyarakat kita, pasti ramai akan menjawab 'kereta yang berasal dari Jepun.'

Dari segi teknikal, jawapan ini benar tetapi tidak tepat. Ini kerana kesalahfahaman ini menyebabkan ada di kalangan ahli masyarakat menamakan kereta-kereta import dari Jepun, terus digolongkan ke dalam kumpulan K-Car. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi persoalan yang cuba kami huraikan adalah apa itu K-Car dan kenapa namanya menggunakan huruf K?

Projek kerajaan Jepun menggantikan kenderaan rakyat

kei cars keijidosha jepun

Akibat daripada penglibatan Jepun dalam perang dunia kedua yang banyak memberikan kesan buruk kepada ekonomi masyarakat mereka, tahap kemampuan kewangan di kalangan ahli masyarakat mereka berada dalam keadaan meruncing.

Orang ramai khususnya peniaga terpaksa bergantung harap kepada kenderaan motorsikal, bagi mengangkut dan membawa barangan jualan. Proses ini walaupun murah dari segi kosnya, tidak praktikal serta menyebabkan banyak kerja memakan lebih banyak masa.

Bagi memudahkan orang ramai, khususnya golongan peniaga dan peruncit kembali mampu mendapatkan kemudahan kereta akibat tingginya harga kereta biasa yang dijual ketika itu- kerajaan Jepun mula merangka projek untuk membangunkan konsep kereta yang murah bagi dibeli ramai warga di sana.

Kategori khusus yang dinamakan sebagai keijidosha atau kereta ringan diperkenalkan, dengan beberapa syarat khusus dikenakan kepada pengeluar yang mahu memasarkan produk di bawah kategori ini. 

Dilancarkan pada tahun 1949, kerajaan Jepun menggariskan syarat sebuah keijidosha haruslah mempunyai kuasa enjin maksima 150cc sahaja, dengan dimensia saiz ditetapkan hanya pada ukuran 2.8 meter panjang, 1.0 meter lebar dan 2 meter ketinggiannya. 

Mana-mana kenderaan yang dikeluarkan oleh pengeluar menepati saiz dan kuasa yang ditetapkan, akan diberikan keistimewaan dalam aspek cukai serta mempunyai kadar insurans yang sangat berpatutan.

Keijidosha bermula secara perlahan

iklan lama keijidosha jepun

Walaupun idea pembangunan keijidosha mendapat sambutan yang baik, tahap jualannya tidak mencapai apa yang diharapkan.

Ini disebabkan oleh banyak rungutan atau aduan pengguna, yang mengatakan saiz dan kuasa yang dimiliki oleh setiap keijidosha dikeluarkan, terlalu kecil  serta tidak cukup berkuasa untuk kegunaan.

Bagi memperbaiki proses penghasilan keijidosha, kerajaan Jepun mula merombak syarat yang ada, membenarkan kuasa enjin dinaikkan kepada 360 cc dan saiznya juga diperbesarkan.

Hasil usaha ini, masyarakat Jepun mula menerima dengan lebih baik kategori keijidosha yang ditawarkan dengan model tahun 1958 iaitu Subaru 360 mendapat sambutan menggalakkan, menjadi model keijidosha pertama memecah pasaran perdana.

Populariti K-Car mula berubah akibat rombakan dasar

ahli sumo muat dalam keijiidosha jepun

Dari tahun ke tahun, konsep kenderaan yang pada awalnya diperkenalkan untuk membantu peniaga mula turut sama diterima masyarakat lain membantu menjadikan kategori keijidosha sebagai antara pilihan utama yang ada.

Kuasa enjin dinaikkan tahun ke tahun, kali terakhir dirombak pada tahun 1998 yang menjadikan had maksima kuasa setiap keijidosha pada tahap 660 cc dengan saiznya ditetapkan pada 3.4 meter panjang, 1.48 meter lebar dan tinggi kekal sama.

Kali terakhir rombakan ke atas bantuan kerajaan ke atas pengguna keijidosha diperkenalkan pada tahun 2014, selepas kerajaan Jepun mula menurunkan kadar potongan insentif cukai yang sebelum itu dinikmati penduduk Jepun.

Langkah ini sedikit sebanyak merencatkan aktiviti pengeluaran keijidosha di kalangan pengeluar automobil Jepun, meninggalkan hanya gergasi automotif seperti Daihatsu, Honda, Suzuki dan Nissan sebagai pengeluar utama. Perasan tak nama Toyota tidak nada dalam senarai? Ini kerana Toyota tidak mengeluarkan keijidosha mereka sendiri di Jepun, sebaliknya menggunakan khidmat Daihatsu sebagai rakan kerjasama.

Kenderaan kecil yang popular di Malaysia

honda nbox keicar jepun

Salah satu identiti ketara setiap keijidosha, adalah spesifikasinya yang terhad daripada aspek kekuatan enjin. Enjin dengan kuasa maksima 660 cc memang jauh lebih kecil berbanding sebuah Perodua Axia, tetapi harus kita ingat - rekaannya terhad sebegitu ada sebabnya.

Undang-undang had laju di Jepun yang rendah ketetapan mereka, menjadikan setiap keijidosha sangat sesuai untuk digunakan di sana.

Tetapi apa yang kami lihat di negara kita, semakin ramai pula yang membeli kenderaan-kenderaan keijidosha yang akhirnya digunakan di atas jalan raya kita. Adakah sesuai? Tidak ada masalah untuk kegunaan dalam bandar atau untuk perjalanan jarak dekat. 

Nak memandunya di lebuh raya, mungkin menyebabkan kenderaan ini mengundang risiko lebih besar ke atas nyawa pemandunya. 

Ini kerana bentuknya yang agak tinggi dan kurus menjadikan model sebegini kuat bergoyang bila berdepan angin kuat.

Pecutannya juga rendah, menjadikan perbuatan memotong kenderaan lain memerlukan kiraan yang tepat dan jarak selamat yang lebih luas, bagi membolehkan daya enjin dinaikkan sesegera mungkin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)