mayat terakhir pemancing lemas di sungai gasi berjaya ditemui

Sumber foto: ismaweb.net

Usaha mencari mayat pemancing terakhir, dikenalpasti sebagai Rapawi Jum'ada (37 tahun), berakhir apabila mangsa ditemui sekitar pukul 4.35 petang semalam, kira-kira 24 kilometer dari tempat insiden.

Ini bermakna, kesemua mayat pemancing yang lemas di Sungai Gasi berdekatan Kem Sungai Buloh telah ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat.

Terdahulu, mayat pemancing keempat, Jeleha Hashim (48 tahun) yang hilang ditemui oleh pasukan SAR sekitar pukul 3.45 petang semalam.

Mangsa ditemui berdekatan Desa Coalfields di Sungai Buloh, lebih kurang 19 kilometer dari tempat insiden.

Sebelum itu, mayat mangsa ketiga, Silawati Zailan (31 tahun) ditemui berdekatan Paya Jaras Hilir kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Operasi SAR membabitkan 70 anggota bomba berserta agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

mayat terakhir pemancing lemas di sungai gasi berjaya ditemui 2

Sumber foto: Bernama

Pada Isnin lalu, kesemua mangsa termasuk dua wanita lemas, setelah dihanyutkan arus deras sungai sewaktu sedang memancing berdekatan Kem Tentera Sungai Buloh, sekitar pukul 5 petang.

Sebelum ini, mayat mangsa pertama dan kedua, seorang lelaki warga Indonesia, dikenali sebagai Hashir (38 tahun) dan Jamaluddin Rapawi (14 tahun) masing-masing ditemui pada pukul 9.51 malam kelmarin dan 1.26 pagi semalam.

mayat terakhir pemancing lemas di sungai gasi berjaya ditemui 1

Sumber foto: Bernama

Sumber berita: BH Online & Astro Awani


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)