rider layan corner ride

Tak sahlah bagi seorang penunggang motorsikal kalau dia tak cari jalan yang mampu menguji keberanian dia sebagai penunggang. Ada sesuatu perasaan yang tak semua orang faham, yang hanya penunggang mampu rasai apabila kita serang atau 'attack' sesuatu corner dengan pantas, apatah lagi berjaya keluar corner dengan lancar semacam saja.

Namun, bukan semua orang ada peluang ke trek. Jadi ramailah juga penunggang malah pemandu menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk menguji kehandalan masing-masing. Berikut adalah 6 laluan yang dah mencapai status legenda sebagai laluan paling seronok untuk penunggang motorsikal dan pemandu kereta belajar had pemanduan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Jalan Hulu Langat-Kuala Klawang

jalan hulu langat kuala klawang

Jalan legenda yang menjadi kegilaan ramai penunggang dan pemandu, jalan sunyi ini perlu diakses dari pekan batu 14 Hulu Langat sebelum meneruskan perjalanan mendaki jalan berbukit Gunung Hantu. Dari situ anda boleh memilih sama ada hendak keluar ke Semenyih atau meneruskan tunggangan ke Kuala Klawang, di mana keseronokan bermula dengan simpang-simpang yang memerlukan konsentrasi tinggi. Jika anda mahu cabaran lebih, lalu jalan ini pada waktu malam.

2. Jalan Bukit Putus Lama

jalan bukit putus lama

Selepas kerajaan membina jalan baru bagi menggantikan jalan lama, Jalan Bukit Putus Lama menjadi trek tidak rasmi untuk penunggang dan kaki drift mencuba bakat. Dengan selekoh-selekoh yang betul-betul mencabar yang perlu diambil semasa mendaki bukit, dengan gaung yang semakin lama semakin tinggi hanya 2 meter di tepi kita, jalan ini merupakan antara jalan terbaik untuk berlatih mengambil corner dengan pantas. Jika kita melalui jalan ini dari Kuala Pilah menghala ke Senawang, identitinya berubah dengan corner-corner yang cukup tajam yang perlu diambil semasa menuruni bukit. Jangan terlalu yakin.

3. Jalan Karak - Bukit Tinggi

laluan karak bukit tinggi

Banyak insiden telah berlaku menyebabkan kematian di laluan ini kerana laluannya terkenal mempunyai beberapa lokasi di mana kerap berlaku tragedi. Jalan sepanjang 45km yang dijadikan subjek utama filem 'Karak' ini mempunyai corner-corner yang perlu dinavigasi dengan cermat jika hendak diambil dengan kelajuan yang tinggi. Peringkat akhirnya cukup mencabar dan akan menguji kemampuan anda sebelum berjaya tiba di Bukit Tinggi.

4. Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland

simpang pulai cameron highland

Mendaki laluan ini dengan motorsikal merupakan satu nikmat bagi penunggangnya kerana corner-cornernya agak mencabar, membolehkan anda menunggang (atau memandu) dengan seronok. Laluan sejauh 80km ini memang menjadi kegemaran ramai dan hadiahnya, selepas penat memandu - kita akan tiba di Cameron Highlands yang mententeramkan adrenalin kita.

5. Jalan Bentong - Fraser Hill

bentong fraser hills

Laluan 55km ini agak sunyi dengan kawasan hutan menemani kita sepanjang perjalanan. Jalannya juga walaupun keseluruhannya memuaskan, namun ada beberapa lokasi di mana kualiti jalannya agak mengecewakan tetapi itu tidak menghalang hakikatnya - laluan ini merupakan salah satu laluan yang perlu dilalui untuk merasai nikmat permotoran.

6. Jalan Balik Pulau - Teluk Bahang

laluan balik pulau teluk bahang

Mungkin kerana kedudukannya di Pulau Pinang membuatkan namanya tidak sepopular laluan-laluan lain, bagi orang utara jalan ini merupakan trek rasmi penunggang menguji keberanian mereka. Jalannya agak twisty ditemani bukit-bukit yang agak mirip dengan apa yang dapat dilihat dalam siri anime Initial D. Jaraknya tidak panjang, hanya sekitar 20km, tetapi memadai untuk penunggang dan pemandu mengasah bakat melayan corner mereka.


Itulah 6 jalan paling popular yang kerap digunakan oleh penunggang dan pemandu di negara kita untuk menguji keberanian diri. Jika anda adalah salah seorang yang berani dan hendak mencuba buat pertama kali, pastikan anda tidak keseorangan pada kali pertama.

Pelajari dulu selok belok jalan dan kenali dulu sifatnya sebelum memecut dengan pantas. Yang penting, keselamatan diri harus diutamakan. Amalkan pemakaian keselamatan bagi penunggang motorsikal dan yang paling penting, jangan berlumba kerana walaupun itu memang layan, jalan itu tetap kita kongsi bersama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)