Oleh pada 01 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Mynewshub

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun lemas sewaktu mandi di sebuah taman tema air di Sungai Petani semalam. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid, insiden terjadi sekitar jam 1.55 petang sewaktu mangsa, Hafidh Dhabit Hasrul Nizam serta keluarganya melawati pusat rekreasi terbabit.

Jelasnya, kunjungan mereka ke taman tema itu sempena acara Hari Keluarga Perancang Bandar dan Desa Zon Utara yang membabitkan ibunya yang berkhidmat dengan jabatan berkenaan.

"Difahamkan mangsa mandi bersama empat lagi adik-beradiknya di kolam sedalam satu meter.

"Bapa mangsa seorang peniaga, Hasrul Nizam Che Hassan, 50-an dipercayai meninggalkan anaknya untuk membeli makanan di dalam kawasan taman berkenaan," ujarnya semalam.

Saifi berkata, mangsa didapati lemas sejurus bapanya datang kembali ke kawasan kolam dan melihat sepasukan petugas taman tema terbabit sedang memberi bantuan pernafasan kepada anaknya itu.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim dekat sini.

"Bedah siasat yang dijalankan mendapati kanak-kanak mati akibat lemas," ujarnya.

Saifi memberitahu, kes itu disifatkan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar pulang ke Kampung Meribut, Mukim Pering, Kodiang bagi tujuan pengebumian malam semalam.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)