Kredit foto: Instagram Maya Matahari

Penyanyi Maya Matahari memberitahu dia langsung tidak hadir ke sesi ujibakat pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ini.

Menurut Maya atau nama penuhnya Meyanaliza Ruslee, dia kini dapat menerima hakikat rezekinya tiada dalam pertandingan tersebut.

Malah penyanyi itu menafikan dakwaan peminat yang mengatakan namanya disenarai hitam pihak Astro gara-gara kontroversi tahun lalu.

"Saya nak jelaskan tidak timbul soal saya disenarai hitam atau apa saja yang mungkin difikirkan peminat.

"Tiga kali saya pergi ke sesi uji bakat GV dari musim pertama lagi. Ternyata ia bukan rezeki saya," katanya memetik laporan portal Berita Harian Online.

Dalam pada itu, Maya meminta peminat bertenang susulan kekecohan yang timbul di media sosial tentang ketiadaannya dalam senarai peserta.

maya matahari tiada dalam gegar vaganza 4 bukan kerana tak terpilih tetapi 2

Kredit foto: Instagram Maya Matahari

Malah penyanyi lagu Diari Biru itu sudah bersedia mengatur langkah baru dalam kerjayanya dengan penghasilan album baru.

"Jangan pening kepala, saya tak pergi pun sesi uji bakat GV4. Namun, saya percaya, ada hikmah di sebalik semua ini.

"Album keempat saya dalam proses pembikinan di mana satu persatu single akan dirakamkan. Ini semua perancangan Allah," luahnya akur.

Penyanyi itu sebelum ini pernah muncul dengan tiga album penuh berjudul Matahari, Diari Biru 2 dan Mata.

Sementara itu, album keempatnya yang bakal menyusul ditunjangi komposer terkemuka, Tam Spider.

"Saya akan masuk studio tidak lama lagi untuk merakamkan single. Sekarang saya menunggu Tam untuk menyiapkan susunan lagu yang belum diberi judul.

"Malah, saya bersyukur kerana sering mendapat nasihat daripada pihak pengurusan Indigital Music mengenai karier saya," katanya.

Terdahulu, sidang media Gegar Vaganza mendedahkan 12 peserta yang bakal berentap dalam persaingan musim keempat ini.

Mereka adalah Aqasha, Elyana, Hazami, Liza Hanim, Ferhad, Aishah, Tia Jinbara, Syura, Lan Kristal, Haida, Firman dan Raja Azura.

Konsert Gegar Vaganza bakal ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula 29 Oktober ini.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)