Kredit foto: Instagram Lan Kristal

Malang menimpa anak ketiga kepada penyanyi Lan Kristal, Muhammad Akid Qassyaff, 3, apabila menerima tujuh jahitan di dahi selepas terjatuh di rumahnya di Puchong, Selangor, petang semalam.

Menurut isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 32, dia dan suami dimaklumkan berita itu ketika mereka baru sahaja sampai di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil untuk raptai persembahan konsert kedua Gegar Vaganza 4 (GV4) iaitu kira-kira pukul 2 petang.

Malah, awalnya dia menyangka anaknya itu hanya cedera ringan.

“Saya menyangka ia hanya luka biasa, tetapi apabila emak menghantar gambar anak, saya lihat lukanya memang teruk.

“Kami terus bergegas pulang dan membawa anak ke sebuah pusat perubatan di Bandar Sunway. Anak dimasukkan ke bilik pembedahan dan menerima tujuh jahitan,” dedahnya yang dipetik daripada laporan portal Harian Metro.

Kata Sheila, suaminya pula terpaksa bergegas ke Bukit Jalil untuk menunaikan komitmen GV4.

Dalam pada itu, rawatan anaknya hanya berakhir sekitar jam 9.20 malam tadi.

“Memandangkan hari ini (semalam) hari cuti hujung minggu, jadi jururawat bertugas terpaksa menunggu doktor ‘on call’ tiba. Sebelum itu, anak di masukkan ke wad biasa bagi mencuci luka berkenaan.

“Apa pun, saya bersyukur semuanya sudah selamat walaupun pada mulanya agak cemas juga,” tuturnya.

Anak mereka hanya sedar pada jam 1 pagi hari ini sebelum dibenarkan pulang pagi tadi.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)