Ramai orang yang berkerjaya tetap sepenuh masa memasang cita-cita untuk berhenti kerja bagi memulakan perniagaan sendiri. Tapi kebanyakannya takut untuk mencuba kerana dikhuatiri perniagaan gagal dan terus gelap masa depan mereka. Sekiranya anda memasang niat untuk berniaga secara sepenuh masa, apa kata anda baca dulu tips ini:

#1 Betulkan niat

Sebelum anda bermula, tanya betul-betul pada diri anda, apa yang anda mahukan daripada perniagaan. Adakah semata-mata nak kaya jutawan macam pengusaha kosmetik yang boleh bergambar dengan Range Rover kesayangan sambil berjalan mengelilingi dunia? Atau anda memang dah tak tahan dengan politik di tempat kerja? Atau anda sememangnya mempunyai darah seorang usahawan dan minat sangat berniaga?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, anda perlu benar-benar faham yang berniaga ini bukannya suatu benda mudah. Kalau anda nampak rakan-rakan usahawan selalu update di Facebook seolah-olah hidup mereka senang-lenang, ketahuilah bahawa ada banyak urusan di belakang tabir yang mereka tak sempat nak cerita pun pada anda.

#2 Mulakan secara part-time dan kecil-kecilan

Jangan tiru peniaga lain secara membabi-buta. Kalau anda tengok Zabedah jual kek sehari 18 biji, tak semestinya anda pun pandai bakar kek sedap macam Zabedah. Entah-entah oven pun anda tak reti guna. Maklumlah, jarang masuk dapur.

Sebaik-baiknya, cari idea perniagaan dalam bidang yang anda betul-betul minat dan punya kemahiran. Jangan sia-siakan bakat anda.

Jika anda pandai menjahit misalnya, mungkin anda boleh mula mengambil tempahan baju pada hujung minggu. Ataupun jika anda pandai Matematik dan merupakan seorang yang penyabar, mungkin anda boleh membuka kelas tuisyen bagi pelajar sekolah di sebelah malam.

Mulakan secara kecil-kecilan. Kalau anda bagus dan istiqomah dengan apa yang anda buat, percayalah yang anda akan mula menjadi buah mulut orang. Lama-kelamaan, perniagaan 'part-time' anda ini sampai tak menang tangan! Masa tu barulah boleh berangan hantar notis letak jawatan.

guna wang simpanan yang anda untuk dijadikan modal elakkan buat pinjaman

#3 Gunakan wang tunai di tangan sebagai modal

Elakkan buat pinjaman bank atau ahlong untuk memulakan perniagaan. Seelok-eloknya, kumpul duit gaji bulanan sedikit demi sedikit untuk dijadikan modal atau anda boleh saja gunakan wang simpanan anda. Tak perlu modal besar-besar pun.

Sekiranya anda masih belum punya idea nak berniaga apa, mungkin anda boleh cuba menjadi agen, stokis atau dropship bagi perniagaan lain dahulu. Perniagaan cara ini tidak memerlukan modal yang tinggi dan ia juga merupakan salah satu cara mudah untuk jana pendapatan mudah secara sampingan.

#4 Jangan terus buka kedai

Sekiranya anda masih bekerja sepenuh masa di pejabat, elakkan terus membuka kedai kerana anda tidak akan punya banyak masa untuk memantau premis perniagaan. Apatah lagi jika perniagaan anda itu dijaga dan dikendalikan oleh pekerja baru yang anda sendiri pun tak kenal. Melainkanlah jika anda sememangnya jarang berada di pejabat dan boleh tinggalkan meja dengan kerap. 

Lagipun, anda juga masih mentah dalam perniagaan. Banyak komitmen dan selok-belok perniagaan yang anda masih perlu pelajari. Apa kata cuba dahulu perniagaan atas talian ataupun dari rumah.

(Penulis dulu bangun awal pagi, masak sarapan dan sandwic untuk dijual di pantri pejabat.)

tak ada cara mudah untuk berniaga

#5 Jangan paksa orang beli

Ada sesetengah orang yang baru nak berniaga ni suka memaksa rakan-rakan dan ahli keluarga untuk membeli. Kadang-kadang walaupun mereka nampak macam berseloroh, namun ia boleh membuatkan orang berasa tidak selesa. Tak pasal-pasal orang sekeliling mula menjauhi anda pula nanti.

Seperti yang disebut dalam poin #2 di atas, jika anda sememangnya bagus, anda tak perlu paksa pun orang sekeliling untuk beli produk atau guna perkhidmatan anda.

Contoh daripada pengalaman penulis sendiri, semasa mula berniaga kecil-kecilan di pantri pejabat dulu, penulis tak beritahu pada sesiapa pun tentang bisnes itu. Penulis juga tidak pernah memaksa mana-mana rakan untuk membeli. Kemudian, apabila perkhidmatan itu menjadi suatu kemudahan kepada ramai pekerja, menu yang ditawarkan pula menarik dengan harga yang murah, ia mula menjadi buah mulut orang secara automatik. Hampir setiap hari sold out!

#6 Mula buat satu pangkalan data

Selain daripada belajar menguruskan kewangan dalam perniagaan, anda juga perlu tahu menguruskan pelanggan dan pembekal barangan. Kenali pelanggan anda dengan lebih dekat dan rekodkan maklumat mereka dalam satu pangkalan data.

Sebagai contoh, anda berniaga nasi lemak bungkus. Anda tahu yang Rozmey sukakan nasi lemak dengan telur mata manakala Rofeah pula bekerja di luar kawasan pada minggu ketiga setiap bulan. Dari sini, anda sudah tahu tabiat membeli pelanggan-pelanggan tetap anda. Pelanggan pun akan berasa sangat gembira kerana servis anda yang tip-top.

Bila anda dah mula buka perniagaan sepenuh masa nanti, anda boleh gunakan semula pangkalan data ini. Mana tahu, mereka inilah yang bakal menjadi agen anda.

Selain itu, anda juga boleh masukkan butir-butir pembekal dan vendor. Bina jaringan networking anda dari sekarang. Apabila anda dah mula mengenali pembekal dan rakan niaga yang lain, maka lebih mudah untuk anda nego harga, buat promosi dan berurusan bila dah mulakan bisnes secara full-time.

#7 Didik hati

Apabila anda mula berniaga secara kecil-kecilan, sentiasa didik hati anda supaya bersabar, tidak dengki dengan pesaing dan tidak mudah putus asa.

Kalau berniaga kecil-kecilan secara sambilan pun anda dah terbit rasa iri hati dengan Maimunah sebab dia punya produk lebih laris, mungkin anda bolehlah batalkan niat untuk berniaga secara sepenuh masa. Ataupun anda boleh kembali kepada poin #1. Selagi tak betul pasang niat, jangan berhenti kerja.

Selain itu, seorang peniaga juga perlu punyai hati yang kental. Kalau ada kawan komen lauk anda masin sikit pun anda dah rasa down seminggu, mungkin anda boleh cari kerjaya lain selain daripada berniaga. Anda perlu faham bahawa dalam 100 orang pelanggan/klien, tak semestinya kesemua 100 itu akan berpuas hati dengan anda. Lain orang, lain kerenahnya. Jadi, hati mesti sentiasa kental untuk melayan segala komen dan kritikan.

hadiri kelas keusahawanan untuk menambah ilmu

#8 Cari peluang tambah ilmu

Pada waktu terluang seperti hujung minggu atau pada malam hari, pergilah berguru dengan mereka yang telah lama berkecimpung dengan perniagaan ataupun hadiri kelas keusahawanan.

Apabila tiba masa anda meninggalkan kerjaya, anda akan berasa lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi hari-hari mendatang.

#9 Minta pendapat

Yang ini, kalau boleh jangan tanya pada rakan-rakan sepejabat. Ini disebabkan orang yang kerja makan gaji ni kebiasaannya agak skeptikal dan JARANG memahami jiwa seorang usahawan. Anda mungkin akan diperlekehkan atau ditakut-takutkan sehingga terbantut niat untuk meneruskan cita-cita.

"Kau betul ke nak berhenti kerja ni Che Pah? Nanti cukup ke duit nak bagi anak kau makan? Betul ke kau boleh survive nanti? Takkan kau nak jual tu je Che Pah, konfem laku ke?" Niat mereka adakalanya memang baik, risaukan masa depan kawan-kawan. Tapi kata-kata sebegini boleh membuatkan anda berasa ragu-ragu dengan keupayaan sebenar diri anda.

Sebaliknya, minta pendapat daripada usahawan lain atau mentor anda dalam perniagaan. Mereka boleh bimbing dan beri panduan dengan lebih jelas tentang hala tuju perniagaan anda.

Akhir sekali, sebelum berhenti kerja, mohon restu terlebih dahulu daripada pasangan atau ahli keluarga. Doa kedua-dua ibu bapa amat penting agar anda berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

#10 Pengurusan kewangan

Jangan campur-adukkan wang perniagaan dengan wang peribadi anda. Simpan semua keuntungan terkumpul daripada bisnes kecil-kecilan anda ini untuk digunakan kemudian hari. Mula biasakan diri dengan aplikasi atau perisian perakaunan supaya mudah untuk anda uruskan segala transaksi dan rekod.

Apabila dana dah cukup untuk mulakan perniagaan sepenuh masa (wang simpanan peribadi sekurang-kurangnya paling 'busuk' gaji selama 12 bulan atau paling afdal gaji 36 bulan + wang keuntungan perniagaan), bolehlah mula draf kertas kerja perniagaan dan pelan jangka masa panjang anda.

Ingat, nak buat apa-apa pun perlu ada pelan! Sambil-sambil itu, draf sekali surat letak jawatan.

jangan salahgunakan waktu di pejabat buat kerja hakiki

Peringatan : kalau nak berniaga secara sambilan, pastikan anda tidak mengganggu tugas hakiki di tempat kerja. Janganlah bila bos suruh siapkan dokumen, anda sibuk nak balas pm pelanggan di Facebook pula. Dosa, tahu?




Hakcipta iluminasi.com (2017)