Oleh pada 25 Jul 2022 kategori

Dewasa ini, semakin banyak model-model perniagaan dibangunkan sebagai usaha bagi menjana keuntungan. 

Secara amnya perbuatan ini jelas sesuatu yang sangat digalakkan daripada perspektif Islam, kerana ramai tokoh-tokoh ternama dalam sejarah Islam termasuklah Rasulullah saw. terlibat dalam perniagaan.

Namun tanpa kita sedari di dalam hidup kita, ada banyak model perniagaan yang sebenarnya haram. Lebih malang, ramai yang terjebak tak kira tua atau muda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima model perniagaan yang sebenarnya salah dari segi hukumnya, tetapi sudah menjadi satu kebiasaan yang diamalkan masyarakat kita.

1. Model perniagaan cedok-cedok

perniagaan cedok cedok

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan populariti urusan jual beli yang dinamakan sebagai cedok-cedok, melibatkan produk seperti alat solek, kerongsang, produk makanan dan bermacam lagi barangan yang menarik perhatian.

Dijual secara 'satu cedok' dengan harga yang telah ditetapkan, model perniagaan sebegini sebenarnya sudah pun lama diperkenalkan sejak dulu - biasanya menggunakan campuran gula-gula atau coklat kanak-kanak tetapi kini dipopularkan semula oleh peniaga-peniaga dalam talian secara striman langsung.

Apa yang membuatkan urusniaga sebegini haram, adalah disebabkan oleh ketidaktentuan yang akan timbul dalam penentuan barangan yang akan diperolehi pembeli.

Tidak wujud keadilan kepada pembeli kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada 'kemahiran' tukang cedok mencedok. 

2. Kotak misteri

jualan mystery box semakin popular

Kotak misteri merupakan antara modus operandi yang sangat menarik taktik pengiklanannya. 

Kini mudah ditemui jualannya dalam portal jualan internet, sebuah kotak misteri biasanya dijual dengan satu harga yang telah ditetapkan biasanya agak rendah.

Jualan sebegini juga memberikan pembelinya peluang untuk mendapatkan sesuatu pada harga yang lebih tinggi seperti telefon pintar misalnya. Dari situ kita dah nampak ada unsur perjudian. 

Kotak misteri sebegini jelas haram kerana pembelinya tidak mengetahui apa yang bakal mereka perolehi.

Mereka juga berdepan peluang tinggi dianayai oleh penjual yang sengaja memanipulasi sentimen pembeli untuk cuba mendapatkan sesuatu yang bernilai. 

3. Kotak 'tak berapa misteri', blind bag dan blind pack

beg misteri pembeli tak tahu

Kenapa perlu ada kolum khas untuk 'kotak tak berapa misteri' dan apa pula bezanya dengan kotak misteri di atas? 

Satu lagi model jualan yang kerap kali kita temui adalah jualan kotak misteri yang sudah digariskan apa isi kandungannya. Namun isi kandungan itu akan diberikan secara rawak. 

Sebagai contoh, sebuah kotak misteri dikatakan mempunyai set alat tulis di dalamnya. Ada pen, pensil, pemadam, pengasah pensil, kotak pensil, pembaris dan gam dijual hanya pada harga RM8. Nampak menarik kan? 

Tetapi apa yang membuatkan jualan ini jadi haram, adalah apabila penjual menetapkan syarat pembeli haruslah menerima barangan yang mereka beli secara rawak.

Jadi pembeli tidak mengetahui apakah jenis, rupa, warna dan kualiti produk yang telah mereka bayar sebaliknya perlu bergantung kepada budi bicara penjual menentukannya.

Status ini turut sama terpakai dalam pembelian beg buta atau blind bag dan pek buta atau blind pack, baik secara fizikal atau digital/maya.

Pembeli yang sudah membayar sesuatu tidak seharusnya membiarkan nasib menentukan apa yang bakal mereka perolehi tanpa tahu apa yang akan mereka dapat, walaupun diberitahu apa kemungkinan isi kandungan yang ada dalam pek/beg itu.

4. Bermain mesin 'claw machine'

claw machine di puaat hiburan

Sekiranya anda sempat berkunjung ke pusat hiburan kanak-kanak, pasti anda akan terserempak dengan mesin pencengkam atau claw machine - yang menawarkan hadiah seperti patung beruang, gula-gula, coklat dan sebagainya. 

Penulis lihat masih ramai ibu bapa membenarkan permainan ini dimainkan anak-anak mereka sedangkan jelas model perniagaan itu sangat mirip dengan judi. 

Ini kerana apabila duit atau token dimasukkan ke dalam mesin, tidak ada kesahihan pemainnya akan memperolehi sesuatu. Besar kemungkinan dia akan pulang tangan kosong.

Dalam situasi berbeza, pemain yang 'handal' pula berkemungkinan tidak memperolehi apa yang mereka hajati, sebaliknya hanya perlu berpuas hati dengan apa saja yang mereka dapat.

Lebih malang, mesin permainan ini sebenarnya sudah didedahkan sejak dulu telah diprogramkan hanya akan membenarkan hadiah diberikan selepas beberapa kali cubaan dilakukan.

Mesin ini bukanlah menilai kemahiran anda, sebaliknya hanya mahu melihat sebanyak mana duit/token anda mampu belanjakan, sebelum memberikan anda pulangan yang tak setimpal dengan harga yang anda bayar.

5. Letak harga 99 sen tapi caj RM1

taktik peniaga tetap harga 9 sen

Sehingga ke hari ini, banyak peniaga sama ada yang meniaga di pasar, gerai tepi jalan, premis perniagaan, pasaraya dan pasaraya hiper gemar menetapkan harga jualan mereka dengan nilai 9 sen dihujungnya. 

Sebagai contoh, satu pek bawang besar dijual dengan harga RM5.99. Sehelai baju dijual pada harga RM18.99. Sebiji buah epal dijual pada harga RM2.59. Semua berakhir dengan 9 sen. 

Tetapi adakah kita semua sudah lupa, negara kita sudah lama menamatkan penggunaan duit syiling 1 sen? Jadi bagaimana kita nak membentuk harga 9 sen yang sering ditetapkan penjual dengan syiling, kerana nilai syiling kita yang terkecil adalah 5 sen? 

Persoalan kedua, bagaimana penjual nak membayar semula baki 1 sen itu, sekiranya syiling itu sudah pun mansuh?

Situasi ini sudah kekal sekian lama sehinggakan kita sebagai pengguna dah biasa dah menerima konsep sekiranya harga barangan itu 99 sen, kita perlu bersedia bayar RM1. Ke mana perginya lebihan 1 sen itu? Ke poket penjual. 

Lebihan itulah yang menyebabkan semua urusan jual sebegini tidak selari dengan konsep Islam, disebabkan oleh wujudnya unsur-unsur penipuan di situ - walaupun penipuan itu diterima ramai.

Penjual seharusnya memulangkan kembali 1 sen, tetapi jelas dalam situasi sebegini dah jadi mustahil. Jadi adalah lebih baik peniaga membundarkan saja harga jualan mereka daripada berakhir dengan 9 sen kepada 10 sen. Yang 99 sen, jadi RM1. Yang RM9.99 jadi RM10. Dengan kaedah ini, penipuan tidak lagi wujud dan transaksi boleh berlaku atas nilai yang dipersetujui antara kedua-dua pihak. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)