Oleh pada 19 Jan 2024 kategori

Penulis bukanlah seorang yang kerap makan di luar. Maklumlah zaman sekarang perbelanjaan mengurus keluarga agak ketat, jadi terpaksalah memilih apa yang perlu dikorbankan. Mengikut saranan menteri, keluarga penulis memang memilih untuk mengurangkan belanja makan di luar. Bukanlah tak makan luar langsung, tetapi kami hanya pesan atau makan luar bila ada keperluannya saja. Tak kami nafikan sekali-sekala makan luar, terasa juga seronoknya. Tapi itulah, yang tak seronoknya kedai makan yang ada khususnya kedai makan orang Melayu biasanya mempunyai isu dan masalah yang sama, sedikit mencacatkan emosi keluarga penulis bila hadir ke sana. Apa masalahnya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Bising dengan lagu yang hanya tauke minat

kedai makan pasang lagu kuat

Tak ada masalah untuk peniaga membuka muzik, tetapi banyak kedai makan Melayu gemar memasang lagu yang tauke sendiri minat. Bukan lagu yang semua orang boleh dengar. 

Sudahlah lagu dipasang dengan agak kuat, yang jadi masalah bila ada pula pekerja dan mungkin juga tauke sendiri melalak, seolah kedai dia bukan saja restoran bahkan pusat karaoke sekali. Ada kedai gemar putar lagu Siam. Ada kedai gemar pasang lagu rock kapak 80-an dan 90-an. Ada juga kedai mainkan lagu dangdut!

Muzik jika dipasang dalam kedai makan, boleh memainkan peranan besar mempengaruhi emosi pelanggan yang ada. Cuba tengok kedai-kedai makan lebih ternama bagaimana mereka menggunakan muzik yang santai untuk mencorakkan imej dan suasana restoran.

Jika anda pemilik restoran yang berorientasikan keluarga, pasanglah lagu yang sesuai dengan imej tersebut. Nak juga pasang lagu rock kapak, pastikan pelanggan sasaran anda juga datang daripada kategori tersebut.

2. Masalah kucing berkeliaran

pengusaha kedai makan biar kucing berkeliaran

Harus penulis perjelaskan, penulis tak ada masalah dengan kucing dan penulis sendiri ada membela dua ekor.

Tetapi tuan punya kedai makan harus ingat majoriti pelanggan tidak gemar, sekiranya ketika kita sedang makan ada kucing melompat ke kerusi sebelah kita meminta makanan dengan muka comel. Kita nak makan dengan tenang, sedar-sedar berpusing kucing di kaki kita penuh manja, minta dihulurkan lauk yang sedang kita makan seketul dua.

Anda pencinta kucing? Belalah di rumah anda. Bukan di premis kedai makan seliaan anda.

Kami yakin dah ramai pelanggan yang nak masuk ke kedai anda, tetapi berpatah balik selepas melihat ada kucing berkeliaran dalam kedai secara bebas - kerana memang ada orang jenis takut kucing.

3. Kedai atau rumah? 

perangai kedai makan yang menyakitkan hati

Pernah tak anda sebagai pelanggan melihat situasi di mana anak beranak tauke kedai makan berada di kedai, seolah kedai makan itu kediaman mereka? Pasti pernah. 

Yang buat jadi kelakar, anak-anak tauke kedai makan siap boleh bergaduh berebut nak tengok TV dan tentukan cerita apa nak dipasangkan, walhal televisyen itu disediakan untuk keselesaan pelanggan.

Ada sebuah kedai, siap ada ruang tamu mini belakang kaunter bayaran di mana anak-anak tauke kedai boleh bersantai sementara menunggu ayah, ibu, makcik, pakcik mereka bekerja. 

Memang anda ada hak sebagai peniaga dan pemilik premis nak buat apa anda suka dengan kedai anda. Tetapi percayalah pandangan penulis, perbuatan seperti itu menjejaskan reputasi anda sebagai peniaga.

4. Lauk pauk terdedah

lauk kedai makan tidak bertutup

Menu nasi campur memang menjadi sajian utama kedai makan masyarakat Melayu yang beroperasi di siang hari. Ye lah. Mulut orang Melayu mesti nak kena cari nasi putih dengan lauk juga, baru rasa kenyang.

Cuma masalahnya kenapa banyak peniaga seakan membiarkan saja lauk yang dijual terdedah, tanpa bertutup? Kadang-kadang bila lewat sikit ke kedai, sekitar jam 3 atau 4 petang pun...kita boleh dapat lihat situasi sama berlaku.

Yang buat tak sedapnya, sambil kita nak ambil lauk. masa tu jugalah tangan kita yang bebas kena tepis lalat yang cuba menghurung.

Kami tak tahu apa sebabnya tatacara kebersihan ini jarang diberikan perhatian. Adakah kerana untuk menutup setiap dulang, merupakan proses yang sukar atau adakah kerana tauke kedai malas nak basuh penutup dulang, selepas digunakan?

5. Meniaga ibarat tak suka meniaga

muka pelayan kedai makan masam mencuka

Bagi sesiapa saja individu yang bekerja atau berniaga, menerima imbuhan wang tunai hasil kerja keras anda merupakan satu nikmat yang tak terhingga.

Kecuali restoran yang tukang kiranya seolah-olah marah bila pelanggan minta kira. Banyak restoran sebegini! Kita nak bayar pun seolah-olah kita ni ada buat kesalahan. Masam saja raut wajah tukang kiranya menerima wang tunai.

Ada setengah situasi, pelanggan dimarah pula kerana pesan banyak kali, seakan menyusahkan peniaga dan pelayan yang bertugas mengambil pesanan. Membuatkan pelanggan tertanya-tanya peniaga jenis ni tak suka ada pesanan tambahan ke?

Harus kami ingatkan, bukan semua peniaga kedai makan orang Melayu yang mengamalkan amalan buruk di atas. Ada banyak saja yang OK! Tetapi ada banyak juga yang tak berapa cantik, seperti yang dah kami ceritakan di atas.

Sekiranya anda peniaga dan mengamalkan apa yang kami senaraikan di sini, janganlah pula senang-senang menuduh kedai anda kena buatan orang bila perniagaan anda suram. Cuba tengok balik model perniagaan anda dan kaji di mana kelemahannya. 

Apa yang boleh anda perbaiki, dalam memastikan pelanggan hadir dan tidak lari?




Hakcipta iluminasi.com (2017)