Oleh pada 10 Aug 2022 kategori

Gambar peniaga mirip Lee Min Ho berniaga nasi sebagai hiasan

Ramai orang kata zaman sekarang zaman berniaga, bukan lagi zaman rakyat digalakkan mencari kerja stabil dan makan gaji. 

Namun dek kesungguhan orang ramai cuba berniaga dan menjana rezeki bebas tanpa terikat dengan banyak larangan, golongan peniaga khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam di Malaysia seringkali terlepas pandang banyak aspek penting.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada banyak perbuatan dihalalkan demi memenuhi matlamat mereka. Berikut adalah lima situasi berkaitan hukum hakam tentang perniagaan yang ramai peniaga jarang peduli, tapi sebenarnya penting dalam menentukan status pendapatan mereka.

1. Suka sebar hadis daif tentang perniagaan

hadis lemah pintu rezeki

Pernahkah anda bertemu dengan individu yang rajin mempromosikan cabang perniagaan sebagai kerjaya dan rajin mengungkapkan ayat yang berbunyi :

"Perniagaan adalah pembuka kepada 9 daripada 10 pintu rezeki atau pendapatan."

Mungkin juga anda ada mendengar variasi yang berbeza tetapi keseluruhan mesejnya sebegitulah rupanya. Ada kan? Ungkapan itu didakwa diambil daripada hadis yang disebut oleh Rasulullah saw.

Apa yang tidak ramai sedari - hadis itu sebenarnya bukan hadis sahih sebaliknya dikategorikan sebagai hadis dhaif atau lemah - kerana susur galur rekodnya terputus. Sesetengah pandangan pula mengkategorikan hadis ini sebagai hadis mursal atau hadis yang belum dapat dipastikan sahih atau dhaif.

Walaupun cukup popular dikalangan masyarakat, pandangan besar ulama' mengambil hadis ini sebagai dhaif. Malangnya hadis lemah ini sering dikongsikan, sebagai usaha memperkuatkan semangat mereka yang ingin cuba berniaga sendiri.

Apa yang sepatutnya kita pegang - perniagaan memang satu bentuk sumber rezeki yang baik dan berbaloi jika dilakukan dengan sabar, tekun dan berpandukan ajaran Islam. Tetapi tak semestinya mewakili 9 daripada 10 pintu rezeki atau punca pendapatan.

2. Tak sepatutnya peniaga halau keluar pengemis

peniaga jalanan

Bagi sesetengah pemilik premis perniagaan, kehadiran pengemis ke dalam kedai merupakan situasi yang kurang menyenangkan. 

Mungkin kerana peniaga mahu menjaga keselesaan pelanggan yang ada, tidak mahu pelanggan rasa terganggu dengan kehadiran pengemis; ada pemilik premis yang secara kasar bertindak menghalau keluar pengemis yang masuk. Ini tindakan salah. 

Pertama sekali harus kami akui, kehadiran peminta sedekah meminta-minta ketika kita sedang makan khasnya memang mampu membuatkan ada orang rasa tak sedap hati. Lagilah kalau pengemis tu pula jenis kalau tak derma, dia merungut dan mengata kita semula.

Kaedah terbaik dalam menguruskan isu ini adalah dengan mengamalkan sikap sopan dengan mereka yang hadir tidak diundang ini. Kami akui memang hak anda sebagai tuan punya kedai untuk membenar atau menidakkan mereka, tetapi lakukanlah dengan penuh berhemah. 

Pelanggan dan pengunjung pula yang didatangi pengemis ketika kita dalam urusan kita, layanlah mereka juga dengan baik walaupun kita tetap menolak untuk bersedekah.

Janganlah pula anda jadi pihak yang pergi mengadu dengan tuan kedai, minta dia halau pula pengemis yang datang. Kerana tindakan itu tidak seiring dengan galakan Islam dalam menyantuni semua peringkat manusia.

3. Muat naik ulasan dan testimoni produk sendiri

paksa orang klik

Persaingan di antara peniaga zaman sekarang memang rancak.

Sistem ulasan atau review berdasarkan berapa bintang/skor servis yang disediakan, menjadi kayu pengukur utama kualiti peniaga.

Oleh sebab itu jugalah ada di kalangan peniaga yang menggajikan 'pembeli-pembeli hantu' untuk membeli produk jualan agar kedai maya mereka mendapat ulasan 5 bintang, demi meyakinkan bakal pembeli serta melariskan jualan.

Perbuatan memanipulasi sistem ulasan sama ada dilakukan dengan tangan sendiri ataupun menggunakan khidmat berbayar pihak ketiga adalah sesuatu yang ditegah dalam perspektif Islam.

Tindakan itu jelas mengandungi unsur penipuan kepada pihak bakal pembeli serta mampu mengakibatkan dosa berjalan setiap kali ada pembeli membeli, disebabkan daya penarik ulasan palsu yang ada.

Harus diperjelaskan dari aspek jual beli yang berlaku - urusniaga itu masih dianggap sah. Pendapatan yang diterima juga tidaklah boleh diambil kira sebagai pendapatan yang haram kerana transaksi urusniaga masih memenuhi akad yang sah.

4. Cipta kelulusan untuk meyakinkan orang ramai

phd kelulusan ijazah palsu peniaga

Selain ulasan palsu, masyarakat kita sering berdepan masalah individu kurang berkelayakan mencipta kelulusan atau membeli sijil pendidikan palsu, demi menaikkan kredibiliti diri di mata prospek atau bakal pelanggan.

Daripada perspektif Islam, tindakan sebegini dilihat sebagai satu tindakan yang sangat keji dan ditegah kerana pembohongan yang berlangsung bukan saja memberi kesan kepada diri sendiri. Bahkan ia juga boleh memberi kesan buruk kepada sumber rezeki seseorang yang dijadikan pendapatan menyara diri dan keluarga.

Lebih menyulitkan sekiranya seseorang peniaga atau usahawan ditangkap atas tuduhan memalsukan tahap pendidikan, perbuatan itu dianggap sebagai satu bentuk jenayah di bawah Kanun Keseksaan (Akta 754) negara.

Perbuatan dengan sengaja mencipta dokumen atau surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan kepada orang lain, boleh dikenakan hukuman penjara 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

5. Berniaga tanpa kebenaran di lokasi milik orang lain

peniaga berniaga sesuka hati

Satu perkara yang masyarakat kita ambil mudah adalah hukum membuka perniagaan di kawasan bukan milik kita seperti gerai tepi jalan yang dibuka secara haram, bagi menjalankan perniagaan makan minum. 

Bila datang pegawai penguatkuasaan melakukan operasi, mulalah kumpulan peniaga yang terkesan memainkan sentimen bangsa dan agama - kononnya wujud keperluan mendesak untuk mereka mencari rezeki walaupun mereka sendiri sedar mereka berniaga secara haram di lokasi milikan orang.

Dalam membincangkan isu ini, ada dua perkara yang perlu kita ketahui.

Pertama, status menjalankan perniagaan di sesuatu kawasan tak kiralah tanah milik majlis perbandaran atau tanah milik individu persendirian lain sekiranya berlaku tanpa kebenaran - perbuatan itu adalah haram hukumnya.

Ini kerana peniaga yang bertindak sedemikian sebenarnya melakukan kezaliman ke atas pemiliknya. Mereka juga boleh menimbulkan mudarat kepada pemilik dan pihak lain - seperti mengganggu kawasan parkir, menyempitkan laluan keluar masuk dan sebagainya.

Bagaimanapun status pendapatan yang diterima hasil jual beli ini tetap dianggap halal dan boleh digunakan bagi menyara diri dan keluarga. Namun adalah lebih baik untuk peniaga itu berhenti daripada terus meniaga di situ dan mencari tapak yang dibenarkan bagi mengelak mudarat berterusan.

Seandainya anda salah seorang daripada kumpulan peniaga sebegini, cubalah bertaubat dan betulkan apa yang salah. Mohon lesen penjaja dan berniagalah di kawasan-kawasan yang telah digazetkan sebagai tapak penjaja. 

Orang lain tak marah dan bila ada operasi pun, anda boleh tersenyum tenang melayan pengunjung yang hadir.




Hakcipta iluminasi.com (2017)