Anda mungkin pernah mendengar tentang penjualan 'minyak ular' yang dikatakan mampu untuk memulihkan masalah batin yang dialami oleh kaum lelaki. Namun, tidak ramai yang sedar bahawa 'minyak ular' ini adalah salah satu daripada ubat tradisional Cina atau TCM (Traditional Chinese Medicine).

Kebanyakan negara telah menggantikan ubat-ubatan tradisional 'ajaib' mereka ketika mikroskop membantu para saintis dalam mengamati kesan mikrobiologi ubat-ubatan dalam rawatan penyakit. Namun, ia berbeza bagi negara China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga hari ini, beratus-ratus tan kala jengking, lipan dan zakar harimau masih lagi digunakan sebagai ubat-ubatan di China. Menurut Economic Times, China juga berharap agar ubat-ubatan mereka ini mendapat sambutan di luar negara.

ubat ubatan tradional cina

Dengan sejarah selama 2,400 tahun, ubat tradisional Cina atau TCM ini telah menjadi sebati dengan budaya negara itu dan sering dilihat 'lebih murah' berbanding ubat-ubatan barat atau moden.

Para pengeluar ubat-ubatan di China menghadapi kesukaran untuk meyakinkan negara-negara luar bahawa produk mereka adalah bernilai dan berbaloi dibeli. Ini kerana, banyak saintis dari barat menilai ubat-ubatan mereka melalui bukti. Menggunakan produk tradisional tanpa bukti kukuh bermakna mereka membahayakan pesakit dan bertentangan dengan etika perubatan itu sendiri.

Walaupun ada beberapa TCM yang terbukti mempunyai manfaat seperti ginseng, namun banyak lagi ramuan lain yang dilihat tidak dibuktikan keberkesanannya. Zakar harimau dan tanduk badak dipercayai di China dapat membantu masalah disfungsi eraksi pada lelaki walaupun hakikatnya ia tidak mempunyai bukti dalam kajian perubatan.

badak dipotong tanduk

Perkara sebegini berlaku mungkin kerana batasan dan sekatan intelektual yang dikenakan kepada penduduk China oleh kerajaan mereka seperti The Great Firewall of China, sekatan internet mereka. Kerajaan mereka menggalakkan penggunaan internet setempat dan menyekat penggunaan enjin carian luar seperti Google, Facebook, Twitter dan lain-lain lagi.

Hal ini menyukarkan ubat dari luar untuk menembusi pasaran di China. Malah sekatan ini juga menyukarkan rakyat negara itu sendiri untuk mengetahui tentang ubat-ubatan moden mahupun keberkesanan TCM mereka.

Oleh kerana sekatan itu jugalah, rakyat China cenderung untuk percaya kepada dakwaan tidak berasas mengenai keberkesanan sesetengah produk haiwan eksotik. Persatuan perlindungan haiwan memberitahu, pemintaan terhadap produk seperti tanduk badak dan kulit tenggiling semakin meningkat.

tenggiling

Hal ini telah membawa kepada masalah kepupusan haiwan eksotik ini. Walaupun pihak berkuasa China telah melarang perdagangan domestik tanduk badak pada tahun 1993, namun mereka masih membenarkan tanduk badak ini diimport dan kini kerajaan China sendiri telah membiak haiwan itu untuk tanduknya.

Namun, baru-baru ini China telah mengangkat sebahagian daripada larangan untuk memperdagangkan tulang harimau dan tanduk badak walaupun diberi amaran oleh Jabatan Pemuliharaan. Haiwan seperti tenggiling pula dikhuatiri akan mengalami penurunan jumlah yang teruk akibat daripada pemburuan haram haiwan itu yang mencecah sehingga setengah juta ekor dalam masa kurang daripada 10 tahun. 

Pengurus program hidupan liar di Humane Society International iaitu Iris Ho memberitahu Washington Post, TCM sepatutnya menjadi sumber penyembuh yang baik dan berkesan. Namun, ini tidak bermakna perubatan tradisional Cina ini perlu mengorbankan begitu banyak haiwan sehingga menyebabkan kepupusan spesies.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar telah tersebar di internet menunjukkan seekor harimau telah ditangkap oleh penduduk kampung kerana menyangka haiwan itu adalah makhluk jelmaan.

harimah

Menurut satu artikel di The Jakarta Post, seorang pegawai di Batang Natal telah memberitahu penduduk kampung itu bahawa mereka telah menangkap seekor haiwan yang dilindungi namun penduduk kampung enggan mempercayainya. Penduduk kampung telah berulang kali menikam perut haiwan itu sehingga mereka yakin bahawa ia adalah haiwan yang sebenar.

Mereka kemudian telah menangkap gambar untuk dimuatkan ke internet sebelum memotong beberapa bahagian haiwan itu untuk dijual di pasaran gelap. Ia merupakan satu bentuk kekejaman yang sering dilakukan ke atas haiwan eksotik ini.

Agensi Penyelidikan Alam Sekitar melaporkan pada tahun 2009, pemburuan haram harimau terus berlanjutan dan harga beberapa bahagian haiwan itu semakin meningkat daripada sebelumnya. Penyelidik mendapati bahawa harga untuk bahagian harimau telah meningkat sebanyak dua kali ganda di China sejak 2005.

wain harimau

Walaupun perubatan barat telah banyak mendedahkan dakwaan bahawa beberapa bahagian harimau itu tidak mempunyai faedah penyembuhan seperti yang dipercayai, namun beberapa negara seperti Hong Kong, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Eropah dan Amerika Utara masih giat menjualnya.

Kedai-kedai TCM di negara terbabit menjual pelbagai produk daripada harimau yang dipercayai mempunyai kuasa penyembuh seperti wain harimau, serbuk, minyak serta pil harimau. Kini, China bercadang mahu menggandakan jumlah eskport barangan harimau di seluruh dunia.

Pelbagai cara yang digunakan oleh China untuk meningkatkan jualan ubat tradisional mereka. Propaganda bahawa zakar harimau dan tanduk badak boleh membantu lelaki pertengahan umur yang mempunyai masalah batin juga giat dijalankan.

Kini, Viagra yang merupakan ubat yang telah terbukti dan diuji sepenuhnya berfungsi untuk masalah batin lelaki menjadi satu ancaman yang besar terhadap perubatan tradisional China.

Sekiranya penjualan Viagra mampu menembusi The Great Firewall of China, mungkin pasaran gelap bagi zakar harimau, tanduk badak dan kulit tenggiling dapat dibendung dan dikurangkan.

Rujukan:

1. Economic Times

2. Washington Post

3. The Jakarta Post

4. Big Cat Rescue




Hakcipta iluminasi.com (2017)