Kredit foto: Instagram Mark O'Dea

Bintang YouTube, Mark O'Dea tidak kisah jika kemunculannya dalam Oh My English Level Up menerima kritikan dan dibandingkan dengan Zain Saidin.

Ini kerana aktor berusia 26 tahun itu sudah terbiasa dengan cemuhan netizen ketika bergelar personaliti televisyen dahulu. 

"Watak saya baru diwujudkan dan karekter pun berbeza dengan watak yang dibawakan oleh Zain Saidin.

"Tetapi saya sudah bersedia dan tidak kisah jika ada yang bandingkan lakonan sebab sebelum ini pun saya pernah dikritik di laman sosial.

"Bagi saya, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Mungkin ada yang tidak suka tetapi sekurang-kurangnya ada segelintir yang akan suka," katanya memetik laporan portal Mstar Online.

Mark diberi tanggungjawab memegang watak Mr. James Blond yang bakal mengambil alih watak popular siri Oh My English, Mr. Middleton lakonan Zain Saidin sebelum ini.

Musim baru itu dijadualkan ke udara secara serentak di saluran Astro TVIQ dan Astro Maya HD selama 15 minit bagi setiap tayangan.

Sementara itu, Mark menyifatkan tawaran yang diterimanya sebagai peluang keemasan untuk menggilap bakat lakonan.

mark o dea ganti zain saidin dalam oh my english 1

Kredit foto: Instagram Mark O'Dea

Malah ini merupakan kemunculan pertama beliau dengan produksi tempatan untuk rancangan berbahasa Melayu.

"Saya terima berlakon dalam rancangan ini kerana ia satu program yang sangat bagus dan di England pun jarang ada sitkom yang menyelitkan konsep pembelajaran seperti ini.

"Memang sangat teruja kerana ia merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan produksi tempatan yang menghasilkan program berbahasa melayu.

"Ini juga satu peluang untuk saya mengembangkan bakat lakonan saya," katanya.

Untuk info, Mark adalah selebriti kelahiran England yang mula berjinak-jinak dalam industri penyiaran Malaysia sebagai pengacara program santai 8TV Quikie pada empat tahun lalu.

Antara penglibatan lainnya termasuk program Jinny Boy TV serta rancangan berbentuk travelogue.

Dalam perkembangan terbaru, Mark akan terlibat dalam penggambaran satu lagi program travelogue November ini.

Antara babak menarik program tersebut adalah cabaran misi pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)