Kredit foto: Instagram Sharul
Penyanyi Sharul mendedahkan peristiwa pahit yang dialami sewaktu makan malam di sebuah kedai makan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.
Menurut Shahrul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, dia kerugian wang tunai lebih RM1,000 apabila beg duit yang tertinggal di meja makan kedai tersebut lesap!
"Semalam (Selasa) saya melepak di kedai makan rakan saya di Port Dickson, selepas itu saya tertinggal beg duit di atas meja dan terus menuju ke kereta. Namun tidak lebih 10 minit saya patah balik untuk ambik beg duit itu tapi sudah tiada.
"Geram betul saya rasa sebabnya, saya baru sahaja dapat duit itu. Walaupun jumlah tidak banyak tapi bagi saya bukan senang nak cari RM1,000," ujarnya yang dipetik daripada laporan portal Mstar Online.
Tambah Sharul, dia kecewa dengan sikap tidak amanah pekerja kedai makan berkenaan.
Pun begitu, penyanyi berusia 21 tahun itu percaya ada hikmah yang menanti dalam setiap peristiwa yang berlaku.
"Saya pelanggan tetap di restoran itu dan kebanyakan pekerja restoran berkenaan mengenali saya. Tapi itulah, sudah tiada rezeki nak buat macam mana, mungkin ada rezeki lain nanti," katanya.
Kredit foto: Instagram Sharul
Dalam perkembangan lain, bekas finalis Akademi Fantasia 2015 itu baru selesai menamatkan sesi penggambaran sebuah rancangan berkonsepkan pelancongan.
Proses pembikinan program itu memakan masa selama sebulan di Eropah.
"Saya baru balik dua hari selesai penggambaran untuk program Travelog Backpaker di lapan buah negara di Eropah selama sebulan.
"Itu yang saya keluarkan duit untuk bayar bil-bil bulan lepas," dedahnya.
Mengenai karier nyanyian, Sharul kini dalam rangka promosi single terbaharunya yang berjudul Racun Rindu.
Sumber berita: Mstar