Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Menganggap gagal memberikan prestasi baik sepanjang beraksi di Gegar Vaganza musim keenam (GV6), penyanyi Sham Visa meluahkan hasrat menarik diri.
Rohisham Hashim atau nama pentasnya, Sham, 47, bagaimanapun berkata, dia yang tertekan mengenangkan harapan tinggi daripada banyak pihak, akhirnya bertukar fikiran selepas dibantah pihak pengurusannya.
“Saya tidak menjangkakan seseorang yang menghilang selama 15 tahun dari dunia seni dan langsung tak pernah menyanyi di hadapan anak serta isteri, juga di pusat karaoke, tiba-tiba mendapat perhatian sebegini. Saya juga tidak pernah tahu diri memiliki aura seperti dikatakan kerana saya seorang yang biasa sahaja.
“Tak dinafikan, saya pernah menyuarakan hasrat kepada pihak pengurusan, Mind Order, untuk menarik diri daripada GV6. Namun, mereka memujuk dan meminta saya supaya berfikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan.
“Melihat kepercayaan diberikan, selain kerja berpasukan yang diamalkan, ia memberikan saya semangat untuk terus bertanding,” katanya kepada portal BH Online.
Sham yang juga bekas pekerja pelantar minyak itu menambah, era populariti yang dikecap sebelum ini pernah membuatkan kehidupannya tersasar, lantas bimbang situasi sama akan berulang menjelang kepulangannya dalam lapangan seni.
Kredit foto: Instagram Sham Visa
“Saya pernah tersasar dari segi pemikiran, bukannya perilaku, ketika menjadi artis. Apabila saya memutuskan untuk meninggalkan dunia seni dan bekerja di samudera, saya temui ketenangan serta kebebasan.
“Kini, saya kembali semula kepada masyarakat dan jujur diakui, saya agak risau dengan cabaran bakal mendatang. Saya berharap akan terus tabah menghadapinya. Jika tidak, mungkin saya akan kembali ke dunia lautan,” kata pelantun Dalam Gerimis itu.
Dalam perkembangan lain, Sham diberikan tugasan lagu, Terima Kasih Cinta dendangan asal Afgan, untuk konsert kelima GV6, malam ini.
Sumber berita: Sham Hampir Tarik Diri