Sejak sekian lamanya, kita sudah menggunakan sistem seksagesimal yang bermaksud sehari telah dibahagi  kepada 24 jam, setiap jam dibahagi kepada 60 minit dan setiap minit dibahagi kepada 60 saat. Mengapakah kita menggunakan sistem ini?

Perkara ini pernah kami tulis panjang lebar satu ketika dahulu dalam artikel Ini Sebabnya Kenapa Sehari Ada 24 Jam dan Sejam ada 60 Minit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Orang Yunani kuno adalah yang pertama memperkenalkan konsep sejam selepas Horae, dewi musim dan pembahagian masa yang semula jadi. Bilangan Horae berlainan (mengikut sumber yang berbeza) dan yang paling umum adalah tiga, namun jumlah mereka meningkat menjadi dua belas yang menjadi idea untuk membahagikan siang dan malam menjadi 12 jam setiap satunya.

Pembahagian jam menjadi 60 minit dan 1 minit ke 60 saat datang dari orang pula datang daripada Babylon yang menggunakan sistem sexagesimal untuk matematik dan astronomi. Orang Babylon membahagikan hari menjadi 360 bahagian kerana itulah perkiraan mereka untuk jumlah hari dalam setahun.

Orang Mesir juga menggunakan sistem 12 jam sehari pada waktu siang, mungkin kerana terdapat dua belas kitaran lunar dalam setahun atau mungkin lebih mudah untuk mengira sehingga 12 menggunakan 12 sendi jari bagi setiap tapak tangan (tidak termasuk ibu jari).

Secara umumnnya, sistem 24 jam sehari sudah diterima umum di seluruh dunia dan sudah menjadi piawai pengukuran masa. Namun, bagaimana pula sekiranya terdapat sesebuah negara atau pihak yang mahu mengubah sistem masa ini?

Sistem masa perpuluhan

sistem jam perpuluhan

Pada tahun 1754, ahli matematik Perancis Jean le Rond d'Alembert mencadangkan agar semua unit masa dapat dibahagi dengan sepuluh. Menurutnya, adalah lebih baik agar semua perkara: matawang, ukuran (tinggi, panjang dll.), hari, jam dan lain-lain boleh dihitung dari perpuluhan ke perpuluhan.

Pembahagian ini menurutnya akan menghasilkan perhitungan yang lebih mudah dan senang dan akan lebih baik daripada pembahagian yang tidak sama, yakni sehari menjadi dua puluh empat jam, jam kepada enam puluh minit, dll. 

Pada tahun 1788, Claude Boniface Collignon, seorang peguam Perancis, mencadangkan membahagikan hari menjadi 10 jam, setiap jam menjadi 100 minit, setiap minit menjadi 1000 saat, dan setiap saat menjadi 1000 detik. Dia juga mencadangkan sistem seminggu 10 hari dan membahagikan tahun menjadi 10 "bulan suria".

Jean-Charles de Borda mengubah suai cadangan itu dan berdasarkan cadangan ini, Parlimen Perancis memutuskan bahawa "dari tengah malam hingga tengah malam, dibahagikan kepada sepuluh bahagian, setiap bahagian menjadi sepuluh yang lain, dan seterusnya sehingga bahagian terkecil yang dapat diukur."

Penggunaan sistem 10 jam sehari

sistem 10 jam

Sistem ini secara rasmi mula berkuatkuasa pada 24 November 1793. Tengah malam bermula pada jam sifar (atau 10 jam) dan tengah hari tiba pada jam 5. Oleh itu, setiap jam metrik menjadi 2.4 jam konvensional. Setiap minit metrik menjadi bersamaan dengan 1.44 minit konvensional dan setiap ukuran metrik saat menjadi 0.864 saat konvensional.

Pengiraan menjadi lebih mudah. Masa boleh ditulis secara pecahan, misalnya, 6 jam 42 minit menjadi 6.42 jam dan kedua-duanya bermaksud perkara yang sama. Untuk membantu orang beralih ke format waktu baru, pengeluar jam mula menghasilkan jam dengan wajah yang menunjukkan waktu perpuluhan dan waktu lama.

Walau bagaimanapun, ramai rakyat Perancis ketika itu tidak berminat melakukan peralihan ke sistem masa baru kerana dianggap remeh dan tiada keperluan. Sebaliknya, sistem waktu perpuluhan yang cuba diperkenalkan ini terbukti sangat tidak popular dan tidak diterima ramai sehingga akhirnya dihapus 17 bulan setelah diperkenalkan.

Pengenalan sistem waktu perpuluhan ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar dalam proses "pendesimalisasi" segala-galanya dalam Revolusi Perancis yang juga merangkumi perpuluhan mata wang dan metrik dan diperkenalkan sebagai bahagian dalam Kalendar Republik Perancis yang membahagi hari kepada perpuluhan dan membahagi bulan menjadi tiga dekad masing-masingnya 10 hari.

Oleh kerana sistem ini hanya menyumbang kepada perkiraan untuk 360 hari, lima hari tambahan yang diperlukan untuk menghampiri 1 tahun suria diletakkan pada akhir setiap tahun tanpa dihitung pada bulan apa pun. Kalendar ini juga dihapuskan pada akhir tahun 1805, dan seluruh rancangan ini akhirnya terkubur sendiri sebelum ianya digunakan lebih meluas.

Usaha-usaha seterusnya pengenalan sistem perpuluhan

revolusi perancis

Selepas kegagalan kali pertama, anda mungkin menyangka sistem 10 jam sehari dan sistem perpuluhan ini tidak akan dibincangkan lagi di Perancis. Namun, agak mengejutkan pada tahun 1890-an terdapat satu cadangan untuk menggunakannya kembali. 

Joseph Charles François de Rey-Pailhade, Presiden Toulouse Geographical Society, sekali lagi mencadangkan untuk membahagikan hari, kali ini menjadi 100 bahagian, yang disebut cés, masing-masing sama dengan 14.4 minit standard dan setiap satunya dibahagikan kepada 10 "decicés", 100 "centicés" dll.

Lebih malang lagi, Dewan Perniagaan Toulouse turut menerima resolusi yang menyokong usulnya. Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak menjadi realiti kerana ia hanya mendapat sedikit sahaja sokongan di luar pihak Dewan Perniagaan Toulouse. 

Akhirnya, percubaan terakhir dilakukan pada tahun 1897 oleh jawatankuasa ilmiah Perancis Bureau des Longitudes, dengan ahli matematik Henri Poincaré sebagai Setiausaha ketika itu. Poincaré mencadangkan mereka berkompromi untuk mengekalkan 24 jam sehari, tetapi membagi setiap jam menjadi 100 minit perpuluhan dan setiap minit menjadi 100 saat.

Sekali lagi, rancangan itu tidak mendapat penerimaan dan cadangan sistem waktu perpuluhan ditinggalkan pada tahun 1900 untuk selamanya. Sejak itu dan selepas beberapa kali cadangan itu digagalkan, tidak pihak ada yang berani menyentuh sistem 24 jam yang digunakan lagi.

Kredit:

  1. The Guardian 
  2. ABC Science
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)