Jauh berbeza dengan dunia beberapa dekad dahulu, teknologi moden sudah menjadi satu kebiasaan dalam hidup kita. Disebabkan oleh penurunan kos yang ketara bagi mendapatkan peranti berasaskan teknologi, semakin ramai orang mampu membeli peranti-peranti canggih yang direka khas untuk tujuan tertentu.

Kepesatan penyelidikan juga membolehkan peranti yang direka bukan saja murah, bahkan saiznya juga lama kelamaan semakin kompak dan mudah alih. Namun disebalik semua perubahan positif ini, wujud beberapa kategori peranti moden yang semakin kerap disalahgunakan ekoran kemajuan yang telah kita rasai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima peranti kegunaan am yang popular untuk kegunaan biasa, tetapi turut sama telah menjadi peranti pilihan utama mereka yang gemar melakukan perkara salah.

1. Teknologi 'pemalsu nombor'

scammer lhdn

Untuk beberapa tahun ini, semakin ramai di antara kita yang menerima panggilan telefon daripada 'Pegawai LHDN' yang suaranya agak pelat kan? Skim penipuan tersebut semakin lama semakin aktif nampaknya di negara kita.

Apa yang menghairankan serta membantu kegiatan mereka, adalah nombor yang tertera pada paparan telefon kita tidak lagi memaparkan nombor palsu asal mereka - sebaliknya memaparkan nombor sebenar pusat-pusat atau agensi kerajaan yang didakwa identiti mereka.

Dengan kemudahan rangkaian telefon berasaskan protokol internet atau VOIP, sambungan telekomunikasi yang digunakan lebih mudah dipalsukan dengan teknik yang dinamakan 'caller ID spoofing'.

Aplikasi yang dibangunkan mampu menukar nombor asal pemanggil ke satu nombor berbeza, biasanya ditukarkan kepada nombor agensi kerajaan oleh sindiket penipuan.

Ada juga sindiket yang menggunakan teknik 'neighbour spoofing' di mana nombor asal pemanggil ditukarkan kepada nombor yang bersamaan kodnya dengan nombor mangsa. Contohnya individu di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima panggilan daripada nombor '03' yang tidak mereka kenali walaupun sebenarnya pemanggil mereka bukan duduk di negeri itu.

Dibangunkan pada asalnya untuk menyembunyikan identiti pemanggil asal yang enggan dikenali untuk tujuan privasi, sistem yang dibangunkan kini menjadi antara kaedah termudah penipu menjalankan kerja mereka.

2. Perakam daftar kunci 'keylogger'

keylogger usb

Kami yakin ramai pernah mendengar berkenaan keburukan 'keylogger', yang boleh datang dalam bentuk perkakasan atau aplikasi. Tetapi tahukah anda tujuan sebenar 'keylogger' yang mampu merakamkan setiap huruf yang ditaip oleh papan kunci komputer?

Dicipta untuk memudahkan pemantauan sama ada secara peribadi atau di pejabat, 'keylogger' jika digunakan dengan betul mampu melindungi anda. Anda boleh memasang keylogger bagi memastikan tidak ada individu lain mengakses komputer anda.

Sebagai ibu bapa, anda juga boleh memantau apa yang dicari atau ditaip oleh anak-anak anda bagi melindungi mereka daripada perkara kurang sihat. Majikan juga dapat memastikan segala bentuk informasi yang sepatutnya dilindungi tidak sampai ke tangan lain, berikutan mudahnya rekod-rekod taipan dapat diakses.

Namun keylogger akhirnya menjadi alat intipan yang digunapakai individu berniat buruk, untuk mendapatkan informasi sulit seperti nama dan kata kunci akaun, informasi yang ingin dicuri atau dijadikan bukti berlakunya hubungan sulit pasangan.

Secara undang-undang, tidak salah untuk seseorang khasnya majikan memasang keylogger dalam semua komputer dan peranti di pejabat, dengan syarat pekerja sudahpun dimaklumkan berkenaan perkara itu dan majikan dapat menjamin tidak ada informasi yang direkod akan dibocor atau disalah guna bagi tujuan berbeza.

3. Pencetak 3D

pistol rekabentuk pencetak 3 dimensi

Kemajuan teknologi pencetak 3-dimensi yang satu ketika dulu dapat mempercepatkan penghasilan prototaip rekaan produk, semakin lama semakin mudah diperolehi oleh sesiapa saja. Potensinya sangat besar, tetapi malangnya potensi teknologi ini disalahguna juga besar.

Seseorang pemilik pencetak 3D boleh memuat turun skematik mana-mana pistol atau senapang dari internet, yang boleh dibaca oleh perisian rekaan 3D seterusnya menghasilkan senjata api berfungsi asalkan dia memiliki bahan binaan yang sesuai.

Situasi ini menimbulkan banyak masalah kepada pengamal undang-undang, disebabkan oleh kelonggarannya. Sejak tahun 2013, kerajaan Amerika Syarikat sehingga kini masih bergelut dalam menemui solusi kepada masalah ini.

Selain senjata api, penjenayah juga sejak hampir sedekad sudah aktif menggunakan pencetak 3D untuk tujuan penghasilan mesin pengimbas ATM, di mana peranti-peranti pengimbas palus yang akan membaca kad ATM direkabentuk dan dicetak menggunakan pencetak 3D, membolehkan rekaan berbeza-beza dibuat bagi menipu pengguna.

4. Dron

drone drug delivery

Kebanyakan orang melihat dron sebagai satu mesin yang berpotensi untuk memudahkan pengambilan gambar dari udara.

Tetapi kemampuan dron untuk terbang dalam jangka masa lama serta dikawal dari jarak jauh sudah mula digunakan penyeludup di kawasan sempadan, dalam menerbangkan barangan seludup seperti dadah melepasi sempadan.

Negara kita juga pernah menyaksikan kes serupa, selepas penangkapan seorang pengedar dadah yang dikesan menggunakan dron di antara sempadan Malaysia-Singapura, yang dikendalikan seorang rakyat Singapura berpengkalan di Johor Baru, menerbangkan dron ke Singapura.

Selain dadah, dron juga sudah mula digunakan untuk tujuan pemantauan ketika kegiatan jenayah dijalankan bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa gangguan.

Ada juga kumpulan penjenayah sudah mula menggunakan dron untuk tujuan intipan, di mana rumah-rumah mangsa akan diperiksa terlebih dahulu menggunakan dron dari lokasi jauh sebelum rompakan dilakukan.

Bagi kumpulan yang lebih nekad, mereka akan menggunakan dron untuk mengugut orang ramai, menerbangkan dron sebagai pengancam kepada mereka yang boleh menggugat kerja mereka.

5. Pengesan tag GPS

pengesan gps digunakan penjenayah

Populariti tag pengesan sama ada dengan menggunakan GPS atau tidak, semakin lama semakin diterima baik masyarakat dunia.

Tag GPS seringkali dipromosikan sebagai kaedah mudah untuk anda mengesan sesuatu yang anda bimbangi hilang, membolehkan anda mengesan milikan anda itu dengan mudah hanya dengan telefon pintar anda.

Tetapi seperti biasa dengan kemampuan sepintar sebegitu, tak susah untuk diterbalikkan fungsinya agar 'mesra penjenayah.' Peranti terkenal seperti Apple Airtags semakin lama semakin kerap dilaporkan menjadi alat penjenayah dalam mengesan atau mengekori mangsa.

Penemuan tag pengesan dalam lokasi tersembunyi seperti tas tangan dan beg semakin kerap dilaporkan berlaku, kadangkala tidak diketahui siapakah yang meletakkannya. Pemilik kereta juga melaporkan penemuan tag pengesan disembunyikan di kereta mereka oleh individu tidak diketahui.

Kes-kes penolakan cinta dan pembalasan dendam menjadi antara punca utama popular modus operandi jenayah berasaskan tag pengesan. Mangsa yang tidak menyedari dia membawa tag, mudah diekori oleh pemangsa yang mampu mengesan kedudukan mangsa hanya berpandukan isyarat.

Setelah tiba masa kedudukan dan masa yang sesuai, tak susah untuk pemangsa bertindak; memaksa pengeluar tag seperti Apple mencari jalan untuk melindungi pengguna disamping melumpuhkan kegiatan tidak bermoral yang nampaknya semakin berleluasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)