Gunung Carmel
Mengikut rekod, terdapat lebih 5,550 jenis mineral yang terdapat di atas muka bumi. Walaubagaimanapun, mungkin terdapat lebih banyak mineral yang belum ditemui dan setiap tahun, dianggarkan 100 jenis mineral baru yang ditemui dan didaftarkan.
Kebanyakan mineral baru yang ditemui ini tidakleh begitu unik dan kebiasaannya terlalu kecil dan tidak sesuai untuk dijadikan batu permata di barangan kemas. Oleh itu, mineral-mineral baru yang didaftarkan ini jarang diperkatakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Persatuan Mineralogi Antarabangsa telah mengumumkan satu penemuan mineral yang sangat unik dan berharga. Mineral ini telah didaftarkan atas nama "carmeltazite".
Struktur yang sangat unik
Nama "carmeltazite" ini diberi bersempena dengan lokasinya ditemui di Gunung Carmel dan 3 elemen yang terdapat padanya iaitu Titanium, Aluminum dan Zirconium. Batu mineral ini telah ditemui oleh sebuah syarikat perlombongan Israel, Shefa Yamim di sebuah kawasan pergunungan di bahagian utara Israel.
Struktur mineral baru ini dikatakan menyerupai susunan allendeite, sebuah mineral yang pernah dilihat pada meteorit Allende yang jatuh ke bumi pada bulan Februari 1969 di daerah Chihuahua, Mexico. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama bahawa bahan tersebut telah ditemui secara semula jadi di batu di muka Bumi sendiri.
Carmeltazite ditemui di korundum, sejenis aluminium-oksida, tertanam dalam batu gunung berapi di Daerah Haifa di utara Israel. Ia adalah gabungan zirkonium-aluminium-titanium-oksida yang kompleks dengan kesan scandium, kalsium dan magnesium dapat dijumpai dalam struktur kristalnya.
Walaupun majoriti mineral baru yang diluluskan oleh Persatuan Mineralogi Antarabangsa tidak mempunyai bentuk atau struktur yang jelas, carmeltazite dijangka mempunyai peluang komersial yang besar kerana ia menyerupai batu permata lain yang digunakan dalam pembuatan barangan perhiasan.
Dipercayai lebih keras daripada berlian
Ketumpatan teori (dikira dari struktur kristal) mineral ini adalah 4.12 g/cm3, lebih tinggi daripada berlian yang mempunyai ketumpatan 3.52 g/cm3. Mineral baru yang aneh ini ditemui dalam retakan batu nilam (sapphire), mineral kedua yang paling keras (selepas berlian) dijumpai secara alami di bumi.
Daripada segi komposisi kimianya pula, carmeltazite mirip dengan sapphire dan delima (ruby) dan terdapat dalam warna hitam, biru-hijau atau oren-coklat, dengan warna metalik.
Selepas ujian ketumpatan dan beberapa ujian lain dilakukan ke atas mineral ini, para saintis percaya ianya lebih keras daripada berlian. Ditambah pula keunikan dan kesukaran mendapatkan mineral ini, maka harganya pula dijangka akan lebih mahal berbanding berlian.
Proses pembentukan carmeltazite
Lembah Savulun sememangnya terkenal dengan aktiviti gunung berapi sejak sekian lama. Malah, dikawasan ini terdapat kira-kira 14 gunung berapi yang telah mewujudkan keadaan geologi yang unik untuk pembentukan carmeltazite dalam jangka waktu yang sangat lama.
Carmeltazite dan lapisan korundum di sekelilingnya mungkin terbentuk pada kedalaman 18 batu daripada pemukaan bumi. Keadaan tekanan tinggi dan suhu tinggi telah menghasilkan sebahagian batu lebur yang melepaskan cecair dan bertindak balas untuk membentuk galian baru.
Pendaftaran tanda dagang "Carmel sapphire"
Mineral carmeltazite ini dikatakan mempunyai struktur yang sama dengan meteorite Allende yang ditemui pada tahun 1969
Syarikat perlombongan yang menemui batu mineral ini, Shefa Yamim telah merancang untuk menjual dan mempromosikan mineral pada masa hadapan. Malah, pihak syarikat tersebut juga dikatakan telah mendaftarkan tanda dagang batu mineral ini sebagai "Carmel Sapphire".
Walau bagaimanapun, pada saat ini tidak dapat dipastikan berapakah anggaran jumlah Carmeltazite yang terdapat di kawasan perlombongan ini. Buat masa ini, saiz batu Carmeltazite yang ditemui adalah 30.3 karat. Tidak seperti berlian, Carmeltazite hanya boleh ditemui di kawasan pergunungan berapi dan perkara ini menjadikannya lebih sukar untuk dikenal pasti dan dilombong.
Shefa Yamim bagaimanapun percaya lebih banyak mineral seumpama ini akan ditemui di sekitar kawasan perlombongan mereka. Disebabkan harga batu permata biasanya ditentukan berdasarkan kesukaran mendapatkannya, maka tidak mustahil Carmeltazite bakal dijual lebih mahal daripada berlian.
Kredit: