Kemudahan teknologi setiap hari yang banyak membantu memudahkan urusan kita.

Populariti teknologi baru yang membawa impak besar, menyumbang kepada kadar penggunaan tinggi yang mendorong permintaan hangat; kerana kita memang suka akan sesuatu yang baru. Tetapi bukan semua teknologi yang kelihatan 'baru', benar-benar baru dibangunkan.

Banyak produk yang kita anggap baru sebenarnya dah lama wujud tetapi trend yang membuatkan sesuatu tampak terkini, membuatkan kita tersalah tanggapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima teknologi produk 'era moden', yang telah wujud berdekad-dekad lamanya.

1. Air fryer (penggoreng udara) 

air fryer penggoreng udara

Semasa kemunculan terawal air fryer sekitar 10 tahun dahulu, banyak kali penulis melihat demonstrasi bagaimana penggunaannya di pasaraya. Memang mengagumkan bagaimana kita boleh menggoreng ayam tanpa menggunakan minyak!

Sebelum kita sampai ke tahap di mana penggunaan air fryer sudah jadi sesuatu yang perdana seperti sekarang, teknologi di belakangnya telah lama ada.

Sekitar tahun 1904, sebuah mesin yang mampu memasak menggunakan tekanan udara agar khasiat dalam daging tidak hilang telah dipatenkan.

Beberapa dekad kemudian pada tahun 1944, seorang usahawan bernama William L. Maxson membangunkan sejenis ketuhar yang dinamakan Maxson Whirlwind Oven, khusus untuk kegunaan memasak makanan dalam penerbangan pesawat.

img 5255

Paten Maxson menunjukkan bagaimana motor dalam ketuhar tersebut berupaya memusingkan udara yang ada dalam kebuk memasak, mampu menempatkan 6 hidangan penumpang serentak dimasak dalam masa 15 minit tanpa memerlukan minyak.

Daripada paten pertama serta teknologi yang diperhalusi Maxson inilah, idea untuk mengkomersialkan penggoreng udara tanpa menggunakan minyak ditambahbaik - membolehkan kita menikmati makanan bergoreng, dalam kadar kalori yang lebih rendah akibat ketiadaan penggunaan minyak.

2. Fon telinga tanpa wayar

fon kepala dan telinga lama

Sama ada anda gemar menggunakan fon kepala atau fon telinga, pasti anda merasa lega menggunakan model tanpa wayar, yang memudahkan pergerakan anda.

Teknologi tanpa wayar yang sudah semakin diterima sebagai standard, sebenarnya dibangunkan daripada dua idea dan teknologi.

Pertama adalah sebuah ciptaan jurutera Perancis bernama Ernest Mercadier, yang mencipta fon telinga pertama dunia dinamakan sebagai bi-telephone pada tahun 1891. 

Bi-telephone diguna khusus untuk menyalurkan perbualan telefon ke telinga pemakainya melalui sambungan wayar, membuktikan ada permintaan di kalangan pengguna sistem pembesar suara kecil yang dipasang di telinga bagi memprivasikan perbualan.

1972 iklan radio fon

Ciptaan kedua melibatkan fon kepala pertama tanpa wayar di dunia, diperkenalkan dalam dekad 1960-an oleh beberapa syarikat berbeza. 

Rekaan yang dikenali sebagai 'radio headphone' merupakan sebuah unit radio transistor yang dibentuk menyerupai fon kepala yang kita guna sekarang, mempunyai penerimanya sendiri bagi membolehkan isyarat radio diterima seterusnya dimainkan dipembesar suara yang dipasang ditelinga kita. 

Anggap sajalah nenek moyang kepada fon kepala kita, adalah sebuah radio yang disangkutkan di telinga secara terus.

3. Kereta elektrik

kereta elektrik pertama dunia

Revolusi peralihan teknologi kenderaan dunia daripada sistem berasaskan minyak fosil kepada sistem berasaskan elektrik sedang rancak berlaku, termasuklah di negara kita. 

Walaupun masih belum menyeluruh, perkembangan teknologi kereta elektrik serta sistem fasiliti sokongan yang dibangunkan telah mendorong ramai di antara kita berubah kepada sistem kereta baru ini.

Sedar tak, kereta elektrik pertama dunia telah diperkenalkan sejak tahun 1830-an lagi. Ini bermakna lebih hampir 200 tahun diperlukan untuk teknologi ini sampai ke tahap apa yang boleh kita lihat sekarang.

Usaha terawal membangunkan kenderaan elektrik bermula semasa jurutera zaman dahulu mencari jalan alternatif berasaskan enjin bagi menggantikan tenaga haiwan seperti kuda.

Selepas banyak pihak jurutera membangunkan idea serupa yang kurang kemas, ciptaan jurutera kimia bernama William Morrison dianggap paling praktikal untuk kegunaan. Ini kerana dia sedar apa kelemahan yang menyekat rekaan lain lebih berjaya.

Menggunakan kemahiran tinggi dalam bidang kimia, Morrison membangunkan bateri berkapasiti tinggi pada zaman tersebut berupaya menggerakkan kereta kuda dalam jarak tertentu.

24 bateri ciptaan beliau dipasang kepada sebuah gerabak kuda yang dihubungkan dengan sebuah enjin pacuan di belakangnya, mampu mencapai kelajuan sehingga 25km/j dengan membawa 6 orang penumpang.

Perjalanan pertama yang dilakukan di Chicago menjadi projek printis kepada pembangunan teknologi tersebut dianggap berjaya, memperkembangkan idea bahawa bateri yang membekal kuasa kepada enjin sepatutnya komponen utama dalam sistem kenderaan elektrik. 

4. Telefon dengan skrin sentuh 

ibm simon smartphone

Apple iPhone merupakan peranti pertama dunia dilancarkan pada tahun 2007 yang berjaya menyatukan teknologi skrin sesentuh, dengan sistem antaramuka yang efektif dikawal dengan sentuhan.

Inovasi ini membezakan produk keluaran Apple itu dengan pesaingnya yang lain, menjadikan Apple pendahulu dalam sektor tersebut. Idea untuk teknologi itu bagaimanapun telah cuba dieksperimentasi banyak syarikat berdekad-dekad lebih awal.

Produk terawal yang menyatukan skrin sesentuh dengan sistem antaramuka diperkenalkan syarikat IBM menerusi peranti mereka IBM Simon, dikeluarkan pada tahun 1992.

ibm simon teknologi smartphone pertama

Direka oleh IBM dan dibangunkan syarikat Mitsubishi dari Jepun, IBM Simon menjadi peranti pertama layak bergelar telefon pintar disebabkan fungsi-fungsi terbina dalamnya.

Setiap unit IBM Simon mampu melakukan panggilan telefon, menerima dan menghantar faks serta emel, mempunyai aplikasi kalendar, kalkulator, buku nota dan juga pengurus jadual harian.

Yang penting, IBM Simon mampu mentafsir dan menterjemahkan tulisan pengguna yang dibuat menggunakan pen elektronik, kepada teks. Ini adalah salah satu fungsi produk tersebut yang dianggap mendahului zaman. 

5. Pengecas tanpa wayar

faraday electromagnetic inductio

Usaha pengeluar telefon pintar memperkenalkan sistem pengecas tanpa wayar, baru mula mendapat sambutan lebih meluas dek kematangan dan praktikalnya teknologi yang ada.

Situasi sekarang jauh berbebza berbanding satu dekad terdahulu yang memberikan pengguna solusi pengecasan yang kurang praktikal serta perlahan daripada aspek kadar pengecasan semulanya. Jika guna plag, 4 jam. Guna secara tanpa wayar? Mahu dekat sehari. 

Ini semua kisah lama.

Teknologi pengecas yang memerlukan pengguna meletakkan telefon pada satu tapak khusus ini dikenali sebagai pengecasan induktif (inductive charging), telah dibangunkan sekitar dekad 1970-an diasaskan daripada idea pencipta terkenal Michael Faraday.

Faraday dikagumi kerana beliau adalah individu yang menemui kaedah bagaimana hendak menginduktifkan gelombang elektromagnetik, sekitar tahun 1831.

Seorang pencipta bernama John E. Trombly berjaya membangunkan sejenis peralatan pengecas lampu pada tahun 1977 untuk kegunaan pelombong, di mana pelombong hanya perlu meletakkan lampu itu disatu kedudukan bagi mengecas kembali tenaga dalam bateri.

Idea sama diperkembangkan lagi dengan pengenalan sistem pengecas yang mampu mengecas sebuah kenderaan pada tahun 1978, menggunakan gelombang elektromagnetik pada frekuensi 180Hz.

Dalam era moden, penubuhan Wireless Power Consortium (WPC) bagi menyelaraskan standard yang bakal digunakan dalam teknologi sebegini mempercepatkan lagi pembangunannya.

WPC membangunkan standard yang dikenali sebagai Qi, bagi memastikan keseragaman dan tahap keselamatan sistem yang dibangunkan mampu diguna secara menyeluruh serta menepat garis panduan yang dipersetujui. Jika anda pemilik telefon pintar yang boleh dicas tanpa wayar, kami yakin anda pengguna kepada pengecas Qi ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)