libra matawang kripto facebook

Facebook akhirnya mendedahkan butiran mengenai Kriptowang (cryptocurrency) versinya sendiri yang dikenali sebagai Libra yang akan membolehkankan anda membeli sesuatu atau menghantar wang kepada orang dengan yuran atau caj hampir sifar. Ianya akan dilancarkan secara umum pada separuh tahun pertama tahun 2020 kelak.

Pengguna kelak boleh membeli atau menukarkan Libra secara dalam talian ataupun melalui kiosk tukaran tertentu seperti di kedai runcit, dan membelanjakannya dengan menggunakan aplikasi dompet digital pihak ketiga atau Calibra, dompet digital Facebook sendiri yang akan diintegrasikan ke dalam WhatsApp, Messenger dan aplikasinya sendiri.

Apabila sudah digunakan kelak, pihak Facebook tidak akan mengawal sepenuhnya Libra. Buat masa ini, beberapa syarikat seperti Visa, Uber dan Andreessen Horowitz telah melabur sekurang-kurangnya $ 10 juta setiap satu ke dalam pembangunan projek ini.

Kumpulan pelabur ini kelak akan menggalakkan dan mempromosikan penggunaan Libra Blockchain dan platform pembangun secara sumber terbuka dengan menggunakan bahasa pengaturcaraannya tersendiri yang dikenali sebagai Move. Selain itu, pengguna kelak boleh mendaftar perniagaan untuk menerima Libra untuk pembayaran dan juga memberi diskaun atau hadiah kepada pelanggan.

Pengenalan syarikat Calibra

dompet digital calibra

Untuk projek ini juga, Facebook telah melancarkan sebuah syarikat subsidiari dikenali sebagai Calibra yang menguruskan urusan kriptowang Libra dan melindungi privasi pengguna.

Ianya adalah sebuah entiti berasingan yang akan mengelakkan pihak Facebook sendiri daripada menggunakan data pengguna untuk mensasarkan sesuatu ikan kepada mereka. Dalam erti kata lain, identiti sebenar anda tidak terikat dengan urus niaga apabila anda membuat sebarang transaksi menggunaka Libra.

Walau bagaimanapun, Facebook atau Calibra dan anggota pengasas projek Libra yang lain akan mendapat faedah ke atas wang tunai pengguna yang disimpan dalam simpanan untuk mengekalkan kestabilan nilai Libra.

Alternatif kepada Paypal?

Dalam dunia mata wang kriptografi, Facebook melihat kriptowang sebagai ancaman dan peluang. Mereka berazam untuk mengubah atau merevolusi urusan jual beli dengan menghapuskan yuran transaksi yang biasanya dikenakan untuk penggunaan kad kredit.

Buat masa ini, kriptowang yang sedia ada seperti Bitcoin dan Ethereum tidak dibangun dengan baik untuk menjadi skala pertukaran. Harga yang tidak menentu selain terdedah kepada risiko perubahan terlalu besar pada nilainya menjadikannya sukar bagi peniaga untuk menerimanya untuk pembayaran.

Pada masa kini, nilai mata wang kriptografi tidak dapat dielakkan daripada pengaruh spekulasi selain tidak banyak tempat atau mesin yang cukup untuk menggunakannya sebagai alternatif kepada matawang sedia ada.

Namun, dengan jumlah pengiklan di platform Facebook sendiri yang mencecah 7 juta pengiklan dan 90 juta perniagaan kecil serta jumlah pengguna di platform ini yang begitu ramai ia bersedia untuk menangani masalah yang dihadapi oleh kriptowang lain.

Dalam erti kata lain,  sekarang Facebook mahu menjadikan Libra evolusi kepadsa PayPal. Ia berharap Libra akan menjadi lebih mudah untuk digunakan, lebih banyak digunakan di mana-mana sebagai kaedah pembayaran, lebih cekap dengan yuran yang  sedikit, lebih mudah diakses oleh semua pihak, lebih fleksibel kepada para pembangun dan lebih tahan lama melalui sistem tidak berpusat  (desentralisasi)

Bagaimanakah Libra berfungsi?

Kini, anda sudah tahu asas-asas mengenai Libra. Anda hanya perlu membuat tukaran tunai dalam mata wang anda, dapatkan Libra, belanjakannya tanpa bayaran urus niaga yang besar atau nama sebenar anda yang dipaparkan dan menukarkannya kembali kepada wang tunai bila-bila masa yang anda mahukan.

Facebook sedar orang ramai tidak akan mempercayai syarikatnya secara sepenuhnya untuk mengendalikan kriptowang yang mereka gunakan dan mereka sendiri juga memerlukan bantuan untuk merangsang penggunaan kriptowang baru ini.

Oleh itu, mereka telah menubuhkan sebuah pakatan atau kerjasama yang dikenali sebagai Libra Association akan yang mengawasi pembangunan token, rizab aset dunia nyata yang memberi nilai pada kriptowang ini dan aturan tadbir urus blockchain.

Setiap ahli pengasas Libra Association akan membayar sekurang-kurangnya $10 juta untuk menyertai dan secara tidak langsung menjadi pengendali, mendapat satu undi dalam majlis Libra Association dan berhak untuk berkongsi (berpadanan dengan jumlah pelaburan mereka) daripada dividen daripada faedah yang diperolehi di rizab Libra di mana pengguna membayar mata wang fiat untuk menerima Libra.

Keanggotaan Libra Association

libra association

Ketika artikel ini ditulis, sudah terdapat kira-kira 28 syarikat yang bersetuju untuk menjadi anggota terawal Libra Association. Senarai syarikat ini adalah seperti berikut:

  1. Sistem bayaran: Mastercard, PayPal, PayU (Naspers’ fintech arm), Stripe, Visa
  2. Technology and marketplaces: Booking Holdings, eBay, Facebook/Calibra, Farfetch, Lyft, Mercado Pago, Spotify AB, Uber Technologies, Inc.
  3. Telekomunikasi: Iliad, Vodafone Group
  4. Blockchain: Anchorage, Bison Trails, Coinbase, Inc., Xapo Holdings Limited
  5. Syarikat pelaburan (Venture Capital): Andreessen Horowitz, Breakthrough Initiatives, Ribbit Capital, Thrive Capital, Union Square Ventures
  6. Organisasi bukan perniagaan dan pelbagai hala, dan institusi akademik: Creative Destruction Lab, Kiva, Mercy Corps, Women’s World Banking

Facebook mengatakan ia berharap untuk mencapai jumlah 100 ahli pengasas dalam Libra Association sebelum pelancaran rasmi Libra dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang memenuhi syarat termasuk pesaing mereka seperti Google atau Twitter.

Libra Association berpusat di Geneva, Switzerland dan akan bertemu dua kali setahun. Negara ini dipilih untuk statusnya yang neutral dan mempunyain sokongan kuat untuk inovasi kewangan termasuk teknologi blockchain.

Kredit:

  1. The Wall Street Journal
  2. Fortune
  3. Techcrunch
  4. The Verge


Hakcipta iluminasi.com (2017)