Oleh pada 25 Mar 2017 kategori

Pada 19 Mac 2017, jam menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi di New York City, seorang lelaki berpakaian formal lengkap berlari pecut melepasi Wall Street di Manhattan. Tidak, beliau bukannya terlewat ke tempat kerja ataupun untuk temuduga. Malah beliau juga tidak mempunyai urusan mustahak di bursa saham New York. Apa yang sedang dilakukan adalah beliau sedang mengejar masa untuk memecahkan rekod dunia.

Chris Estwanik, 36, bekas pelari professional ini ditawarkan minuman koktail percuma jika beliau dapat memecahkan Guiness World Record sebagai pelari terpantas untuk jarak half marathon (21 kilometer), dengan berpakaian kerja formal. Beliau berjaya memecahkan rekod dengan catatan 7 minit lebih pantas daripada rekod sebelumnya, dengan masa 1:11:36 saat. Beliau berada di tangga 55 keseluruhan, melepasi garisan penamat dengan bergaya, memakai kaca mata Oakley dan separuh daripada baju nya terkeluar.

"Pertaruhan ini dibuat satu minggu setengah sebelum larian ini. Saya adalah seorang yang mudah untuk menerima cabaran."

- Chris Estwanik

Namun, cabaran itu bukanlah mudah. Rekod ini telah menjadi sangat kompetetif sejak 18 bulan yang lalu. Sebelum larian Estwanik, 4 rekod telah dicatat sejak Oktober 2015. Rekod sebelum ini dengan masa 1:18:13 saat dicatatkan oleh pelari dari United Kingdom, Scott Forbes pada April 2016. Ketika itu juga, pelari professional dari Jepun, Yuki Kawauchi telah memadamkan rekod, dengan catatan 1:06:42 dengan berpakaian formal, namun masanya tidak dikira sebagai rekod rasmi kerana beliau berlari pada acara yang tidak diiktiraf.

Sebelum menerima pertaruhan ini, beliau tahu yang beliau berkemampuan untuk memecahkan rekod tersebut. Beliau bersara dari larian professional 10 tahun lalu, namun sentiasa berlatih selepas berpindah ke Bermuda. Pada awal musim panas lalu, beliau berharap untuk layak mewakili pulau itu untuk larian marathon Olimpik, namun beliau mengalami kecederaan di kakinya yang memaksa beliau untuk berhenti berlatih untuk beberapa bulan. Larian ini merupakan larian pertamanya selepas pulih dari kecederaan.

"Saya berasa sangat kecewa selepas mengalami kecederaan tersebut, dan ini merupakan percubaan pertama," katanya. Rakan-rakannya mengutarakan pertaruhan ini kerana memikirkan beliau patut berseronok tanpa terlalu memikirkan tentang kekecewaannya itu.

Namun beliau masih ragu-ragu sama ada beliau mampu memecahkan rekod tersebut, hinggalah ke sehari sebelum larian itu. Tambahnya lagi, beliau tidak membawa pakaian formal. Selepas mengambil bip lariannya, beliau memasuki kedai pakaian yang berdekatan. 


"Saya memanggil pengurus butik tersebut dan berkata, "Anda mungkin sudah biasa dengan soalan yang pelik kerana ini New York City, tapi, saya nak bertanya : Yang mana satu pakaian suit disini yang paling fleksibel," 

- Chris Estwanik

"Saya mencubanya pakaian tersebut, dan melakukan beberapa tapak larian, dan saya rasa ia sangat sesuai," tambahnya.

Beliau membayar USD400 untuk pakaian tersebut.

Estwanik memberitahu, penonton cuba membuat lawak ketika ternampak beliau sedang berlari dengan menjerit "Awak terlambat untuk ke mesyuarat" dan "Mana beg kerja awak". Beliau juga menerima 2 lamaran kahwin pada hari tersebut. Sebaik sahaja beliau melepasi garisan penamat, beliau ternampak Meb Keflezighi, pelari Olimpik, yang menamatkan larian dengan catatan 1:04:55. Pelari Olimpik itu memberikan high-five kepada Estwanik sambil memberitahu ia adalah perkara yang paling hebat beliau pernah saksikan.

Beliau sekarang sudah pulang ke Bermuda dan masih belum menerima minuman yang dijanjikan rakan-rakannya, dan berharap mereka akan belanja beliau lebih daripada satu gelas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)