Pada tahun 1928, seorang gadis berusia 16 tahun kelihatan tergesa-gesa meninggalkan Sekolah Tinggi Thornton Township, Illinois, menuju ke stesen kereta api berdekatan. Sekiranya lewat, dia akan ketinggalan kereta api untuk pulang ke rumah.

Guru sains sekolah itu, Charles Price, merupakan seorang bekas pelari dan jurulatih kepada pasukan lumba lari lelaki sekolah. Dari jauh, Price terlihat gadis itu berlari dengan laju menuju ke arah kereta api yang akan bertolak tetapi tidak cukup laju untuk sempat menaikinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pintu kereta api itu ditutup sejurus selepas Price mendapat tempat duduk. Guru itu amat terkejut apabila gadis yang sedang berlari dari jauh sebentar tadi, Betty Robinson, datang dan duduk di sebelahnya. Ketika itu, Price tahu bahawa gadis itu memiliki bakat istimewa.

Tidak lama selepas itu, Price meyakinkan Betty untuk berlari di sekolah sambil dia mengambil mengambil catatan masa. Walaupun Sekolah Tinggi Thornton Township tidak mempunyai pasukan pelari wanita, Betty gembira untuk melakukannya.

Menyertai Sukan Olimpik 1928

pelari olimpik betty robinson

Keputusannya mengejutkan dan Price mula melatih Betty sebagai seorang pelari. Hanya dalam masa beberapa bulan sahaja, Betty Robinson telah menjangkau jangkaan Price dan berjaya layak untuk menyertai Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, Belanda.

Sebelum tahun 1928, Sukan Olimpik mempunyai pelbagai acara untuk kaum wanita seperti memanah dan berenang tetapi tidak bagi acara larian trek dan padang. Ini merupakan pertama kalinya acara larian untuk wanita diperkenalkan.

betty robinson pemenang pertama acara 100 meter wanita

Betty Robinson adalah satu-satunya pelari wanita Amerika Syarikat yang layak untuk bertanding di pusingan akhir acara lari 100 meter pada tahun itu. Sebelum berlumba, Betty mengalami sedikit masalah apabila tersalah membawa kasut.

Dia yang membawa dua pasang kasut ke Amsterdam telah tersalah pilih kedua-dua kasut belah kiri untuk dibawa ke padang. Mujurlah pengurus pasukannya berjaya mendapatkan kasut yang betul di tempat penginapan kontinjen Amerika Syarikat, betul-betul sebelum perlumbaan bermula.

Betty bersedia di garisan mula untuk acara larian 100 meter wanita buat pertama kalinya dalam Sukan Olimpik. Tembakan dilepaskan pengadil dan 12.2 saat kemudian, sejarah tercipta.

Pingat emas pertama Sukan Olimpik

betty robinson sukan olimpik 1928

Betty (tengah) mengatasi pelumba Canada, Fanny Rosenfeld (kiri)

Perlumbaan berlangsung dengan sengit dan kelihatan seperti pelari Canada, Fanny Rosenfeld, berjaya melintasi pita penamat. Pasukannya meraikan Fanny dengan melambung pelumba itu beberapa kali di udara. Betty sedar bahawa dia mendapat tempat kedua tetapi begitu teruja dengan keputusan itu.

Namun, semua orang terkejut apabila keputusan sebenar diumumkan pengadil. Gadis berusia 16 tahun dari Illinois itu diumumkan sebagai juara, mengalahkan Fanny di tempat kedua yang hanya berbeza beberapa milisaat sahaja. Selain itu, Betty juga menang pingat perak dalam acara larian 4X100 meter.

Apabila pulang dari Sukan Olimpik 1928, Betty fokus untuk berlatih dengan lebih keras lagi. Betty berazam untuk mempertahankan kejuaraannya pada Sukan Olimpik 1932 yang bakal diadakan di California, Amerika Syarikat, dalam masa empat tahun lagi.

betty robinson

Pada 28 Jun 1931, sesuatu perkara di luar jangkaan telah berlaku kepada bintang Olimpik ini. Selepas tamat latihan pada hari yang panas itu, jurulatihnya melarang Betty pergi berenang untuk menyejukkan badan kerana ia akan menggunakan beberapa otot berlainan.

Betty kemudian bercadang mengajak sepupunya, Wilson Palmer, untuk menyejukkan badan dengan cara yang sedikit berbeza. Sepupunya itu memiliki sebuah pesawat ringan dan baru sahaja memperolehi lesen sebagai juruterbang.

Mati hidup semula

Semasa sedang berada di udara, pesawat yang dinaiki mereka tiba-tiba terhenti. Saksi mengatakan bahawa pesawat itu sedang terbang pada ketinggian antara 400 hingga 600 kaki sebelum menjunam jatuh ke tanah.

pesawat ringan terhempas

Orang ramai yang berada berhampiran bergegas ke tapak pesawat itu terhempas. Mereka dapati Betty dan sepupunya berada di bawah timbunan serpihan pesawat dan tidak sedarkan diri.

Sepupu Betty terselamat tetapi kedua-dua kakinya cedera teruk. Betty pula tidak memberikan sebarang respon dan kelihatan darah keluar dengan banyak dari bahagian kepalanya.

Para penyelamat awal mengesahkan Betty sudah meninggal dunia. Mereka mengangkat Betty dan meletakkannya di belakang trak salah seorang penyelamat untuk dibawa ke rumah mayat.

betty dirawat di hospital

Betty dirawat di hospital

Mujurlah pengurus rumah mayat itu memeriksa Betty dengan teliti. Dia mendapati Betty masih lagi bernafas. Kaki kiri pelari itu terkulai manakala tangan kirinya patah. Kepalanya pula mempunyai luka sepanjang lapan inci. Doktor pertama yang melihat keadaan Betty membuat kesimpulan awal bahawa wanita itu mungkin tidak dapat berjalan lagi, apalagi berlari.

Emas Olimpik kedua

Setelah 11 minggu berada di hospital, Betty dibenarkan pulang tetapi dia mengalami kemurungan dan tidak mahu turun dari katil. Abang iparnya yang menjadi pendorong utama dengan membawa Betty berjalan setiap pagi.

Sejak itu, Betty mula berlatih berlari semula. Dia berlatih dengan keras untuk mendapatkan semula momentum lariannya. Betty sekali lagi mendapat peluang untuk berlari pada Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Jerman, dalam acara 4X100 meter.

betty robinson pelari wanita

Betty yang merupakan pelari ketiga dalam acara 4X100 meter wanita. Ketika dia mendapat baton, pasukan Jerman sudah pun mendahului di hadapan. Tuah kepada pasukan Amerika Syarikat apabila pelari terakhir Jerman terlepas baton yang dipegangnya. Pelari terakhir Amerika, Helen Stephens, berjaya menamatkan perlumbaan sebagai juara.

Betty yang sebelum ini diisytiharkan meninggal dunia berjaya mendapat emas keduanya pada Sukan Olimpik. Sehingga hari ini, Betty masih memegang rekod sebagai pelari wanita paling muda memenangi acara larian 100 meter wanita Sukan Olimpik. Betty meninggal dunia pada tahun 1999 ketika berusia 87 tahun.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)