jaycee lee dugard and philips garido 43

Kes penculikan kanak-kanak adalah perkara paling ditakuti dan menjadi mimpi ngeri bagi setiap ibu bapa. Namun begitu, ramai para ibu bapa yang tidak mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan ia daripada berlaku.

Faktor utama adalah mereka tidak pernah menyangkakan ia akan berlaku kepada mereka, sehinggalah ia terjadi. Bagi kes Jaycee Lee Dugard, ia juga tidak disangkakan dan telah menjadi mimpi paling ngeri dalam hidupnya dan ahli keluarganya.

Lebih buruk, Jaycee diculik dan dikurung selama 18 tahun, dijadikan hamba seks kepada penculiknya, Phillip Garrido.

Pada 10 Jun 1991, Jaycee Dugard yang berusia 11 tahun yang sedang berjalan dari rumahnya ke hentian bas seperti biasa. Namun, dia tiba-tiba ditahan oleh sebuah kereta dan menyangkakan mereka ingin bertanyakan arah.

Selepas menurunkan tingkap, Phillip dengan dengan menggunakan stun gun telah mengenakan satu renjatan terhadap Jaycee yang menyebabkan dia jatuh dan terkulai layu di atas tanah.

poster kehilangan jaycee dugard

Turut membantu adalah isteri Phillip, Nancy, yang dipercayai menjadi pengintip Jaycee sebelum penculikan untuk dihadiahkan kepada suaminya.

Jaycee kemudian dimasukkan ke dalam kereta dan ditekan ke bahagian bawah lantai kereta oleh Nancy menggunakan lutut lalu dibawa ke sebuah tempat yang terletak 2 jam perjalanan daripada rumah Jaycee.

Pencarian serta-merta dilakukan selepas kehilangannya, namun tiada petunjuk yang boleh dipercayai walaupun bapa tirinya, Carl Probyn menjadi saksi penculikan tersebut dan mengejarnya menggunakan basikal.

Penculik, perogol dan pedofilia Phillip Garrido

phillip garido penculik dan perogol

Phillip Greg Garrido adalah suspek utama dalam kes ini, dilahirkan di California pada tahun 1951.

Phillip mempunyai pelbagai rekod jenayah, termasuklah pada tahun 1972 di mana dia telah ditangkap dan didakwa kerana melakukan serangan seksual terhadap gadis berusia 14 tahun.

Walaubagaimanapun, kes tersebut tidak dibicarakan selepas gadis tersebut enggan memberi keterangan. Pada tahun 1976, Phillip sekali lagi melakukan jenayah dengan menculik wanita berusia 25 tahun, Katherine Callaway.

Katherine dibawa ke sebuah gudang di mana dia dirogol oleh Phillip selama lebih daripada 5 jam.

Selepas pihak polis menyedari sebuah kereta yang diparkir di hadapan gudang tersebut, mereka mengetuk pintu gudang yang mana dibuka oleh Phillip.

Ketika itulah Katherine muncul dan keluar lalu meminta bantuan pihak polis. Dia didakwa dan disabitkan dengan jenayah di mahkamah persekutuan dan negeri.

Dalam penilian psikiatri yang diperintahkan oleh mahkamah pada tahun 1976, Phillip didiagnos sebagai "penyalahguna dadah dan penyimpangan seksual yang kronik".

Psikiatri mencadangkan supaya pemeriksaan neurologi dilakukan kerana penggunaan dadah kronik olehnya mungkin "bertanggungjawab" dalam beberapa penyelewengan seksual.

Di mahkamah, Phillip mengaku dia beronani dalam keretanya di tepi sekolah rendah dan menengah sambil melihat pelajar perempuan. 

Phillip disabitkan dengan 2 kesalahan pada 9 Mac 1977 dan dijatuhkan hukuman 50 tahun di penjara persekutuan atas kesalahan menculik dan 5 tahun hingga seumur hidup kerana merogol.

phillip dan nancy garrido

Dia mula menjalani hukuman bermula Jun 1977 di Penjara Leavenworth.

Ketika di penjara, Phillip bertemu dengan Nancy Bocanegra yang ketika itu melawat bapa saudaranya. Kedua-dua mereka berkahwin di penjara pada tahun 1981.

Selepas menjalani 11 tahun daripada 50 tahun hukuman, berlakunya kecacatan undang-undang yang pertama dalam kes ini di mana Phillip telah dibebaskan daripada menjalani baki hukuman selepas ditemubual oleh 2 pemeriksa parol selama 35 minit.

Namun, Phillip masih belum bebas. Dia dipindahkan ke penjara di Nevada untuk menjalani hukuman rogolnya. Dan selepas 8 bulan kemudian, kegagalan undang-undang kedua telah berlaku.

penjara leavenworth

Lembaga parol Nevada juga memutuskan untuk membebaskan Phillip Garrido. Alasannya: "Tidak menyumbang kepada ancaman kepada kesihatan, keselamatan dan moral masyarakat".

Keputusan yang sangat pelik dan mengejutkan ini telah mengubah hidup Jaycee Dugard selama-lamanya. 

Pada 26 Ogos 1988, setelah dibebaskan, Phillip dipindahkan dan diletakkan di bawah pihak berkuasa parol perseketuan di Contra Costa, California.

Dia dipindahkan ke pihak berkuasa parol persekutuan di Contra Costa pada 26 Ogos 1988.

Ketika berada dalam parol, Phillip dipantau dan dipakaikan gelang kaki yang mempunyai pengesan GPS serta dikunjungi banyak kali oleh pegawai parol, timbalan sherrif dan ejen persekutuan.

Mimpi ngeri Jaycee Dugard

kawasan rumah phillip garrido

Setelah pasangan Phillip dan Nancy Garrido tiba di rumah mereka, Jaycee Dugard dibogelkan dan satu-satunya yang tinggal pada tubuhnya hanyalah sebentuk cincin.

Jaycee dibawa ke sebuah bilik kalis bunyi yang juga merupakan studio rakaman sementara Phillip, terletak di kawasan belakang rumahnya.

Phillip kemudiannya memaksa Jaycee untuk mandi bersama dengannya. Setelah itu, bermulalah kisah ngeri dalam hidupnya apabila dia dirogol buat kali pertama, dalam keadaan bergari.

Setelah dirogol, Jaycee ditinggalkan dalam keadaan berbogel di dalam bilik tersebut yang tertutup rapat.

Phillip memberi amaran kepada Jaycee bahawa terdapat beberapa ekor anjing Doberman Pinschers di luar dan dilatih untuk menyerang jika dia cuba untuk melarikan diri.

kawasan belakang rumah phillip garrido

khemah di belakang rumah phillip garrido 899

Ketika tempoh itu, satu-satunya manusia yang berhubung dengan Jaycee adalah Phillip. Phillip akan membawa makanan dan minuman kepada Jaycee setiap hari, dan juga bercerita kepadanya.

Jayce dibekalkan dengan sebuah baldi untuk melakukan aktiviti penyahtinjaan seperti kencing dan buang air besar. Selepas sebulan setengah diculik, Jaycee dipindahkan ke sebuah bilik yang lebih besar di mana dia digari pada katil.

Phillip menjelaskan bahawa "malaikat syaitan" membenarkannya untuk mengambil Jaycee dan Jaycee akan membantu masalah seksualnya kerana masyarakat telah mengabaikannya.

Phillip juga mengambil dadah syabu ketika itu dan akan memakaikan baju-baju pelik kepada Jaycee.

Tak cukup dengan itu, perangai pelik Phillip semakin teruk apabila dia menyuruh Jaycee mendengar suara yang mana dikatakan boleh didengari Phillip melalui dinding.

Phillip juga mengaku bahawa dia adalah hamba Tuhan yang terpilih. Dadah itu juga membuatkan dia menangis teresak-esak dan meminta maaf kepada Jaycee.

Jaycee Dugard melahirkan dua anak perempuan

jaycee dugard diculik selama 18 tahun 2

7 bulan selepas dijadikan tahanan, Phillip memperkenalkan Jayce kepada isterinya, Nancy. Nancy memberikan patung haiwan dan susu coklat kepada Jaycee sambil menangis.

Jaycee menjelaskan bahawa dia dimanipulasikan oleh Nancy yang berperwatakan seperti seorang ibu dan dalam masa yang sama kejam kerana cemburukannya.

Selepas hampir 34 bulan diculik, gari pada tangan Jaycee dibuka memberikannya sedikit kebebasan. Pada April 1994, Jaycee diberikan makanan yang dimasak buat kali pertama.

kawasan rumah phillip garrido 3

Dan ketika itu, mereka memberitahu bahawa Jaycee telah hamil. Ketika berusia 13 tahun dan hamil 4 bulan setengah, Jaycee baru mempelajari kaitan di antara seks dan kehamilan daripada televisyen yang dibekalkan kepadanya.

Ketika ini, ibu Jaycee, Terry Probyn masih tidak berputus asa untuk mencari anaknya. Malah, dia melakukan jualan barangan terpakai untuk mengumpulan bagi menggunakan khidmat penyiasat persendirian.

Terry juga meminta semua jirannya agar membiarkan lampu hadapan rumah sentiasa terpasang pada waktu malam agar ternampak sekiranya Jaycee pulang.

Jaycee menonton program TV yang menunjukkan kelahiran anak sebagai persediaan. Pada 18 Ogos 1994, dalam keadaan berseorangan dan tanpa bantuan, Jaycee melahirkan anak perempuannya.

kawasan rumah phillip garrido 2

khemah di belakang rumah phillip garrido 3

khemah yang didiami jaycee dugard selama 18 tahun diculik 2

khemah yang didiami jaycee dugard selama 18 tahun diculik

Dia sekali lagi melahirkan anak perempuan keduanya pada 13 November 1997 ketika berusia 16 tahun. Kedua-dua anak ini adalah hasil hubungan paksa oleh Phillip Garrido.

Bayangkan bagaimana keadaan Jaycee yang berusia tersangat muda terpaksa menjaga dan membesarkan kedua anaknya itu tanpa bantuan dan pengetahuan, berseorangan di tempat yang tidak mempunyai keperluan asas untuk hidup serta hanya berpandukan daripada TV.

Pada satu ketika, Phillip memberitahu kepada Jaycee, untuk memujuk isterinya Nancy, Jaycee dan anak-anaknya perlu memanggil Nancy dengan panggilan ibu dan mengajar anak-anaknya untuk mengenalinya sebagai kakak mereka.

Tindakan ini adalah untuk membuatkan ketiga-tiga gadis dan kanak-kanak ini tidak disyaki oleh orang awam apabila dibawa keluar. Nama Jaycee juga ditukarkan kepada Alyssa.

Penangkapan Phillip dan Nancy Garrido

phillip dan nancy garrido 2

18 tahun selepas Jayce diculik, pada 24 Ogos 2009, Phillip Garrido bersama-sama anak Jaycee Dugard yang masing-masing berusia 15 dan 12 tahun telah pergi ke balai polis Universiti of California untuk memohon kebenaran bagi mengadakan acara istimewa di kampus tersebut sebagai sebahagian daripada program keagamannya.

Dia bercakap dengan pengurus acara khas, Lisa Campbell, yang mana Lisa menyatakan kelakuan Phillip sebagai "tidak menentu" dan dua gadis tersebut sebagai "tidak bermaya".

phillip garido penculik dan perogol 2 448

Lisa mengarahkan Phillip supaya membuat temujanji untuk datang keesokan harinya serta meninggalkan namanya.

Pegawai polis Ally Jacobs kemudiannya melakukan semakan latar belakang dan menemui bahawa Phillip adalah pesalah seks dan sedang berada di bawah parol kerana menculik dan merogol.

Keesokan harinya, Ally Jacobs turut bersama dalam pertemuan Phillip dan Lisa, dan menyedari 2 kanak-kanak tersebut kelihatan pucat seperti tidak menerima cahaya matahari yang cukup dengan kelakuan yang pelik.

ally jacobs dan lisa campbell yang membantu menyelamatkan jaycee dugard 188

Ally kemudiannya menelefon pejabat parol bagi menyampaikan kebimbangannya, dan meninggalkan pesanan pada peti suara pejabat parol.

Selepas mendengar mesej rakaman pada peti suara, 2 agen parol mengunjungi rumah Phillip. Setibanya mereka disitu, Phillip digari dan rumahnya diperiksa namun hanya menemui isterinya Nancy dan ibunya.

Phillip memberitahu bahawa 2 gadis yang menemaninya itu adalah anak kepada saudaranya dan telah mendapat kebenaran membawa mereka ke universiti.

Walaupun sebulan sebelum itu pejabat parol telah mengharamkan Phillip supaya tidak dekat dengan remaja bawah umur, dan Phillip telah melebihi jarak perjalanan yang dibenarkan sebanyak 24 kilometer (untuk ke Universiti California), namun pegawai parol melepaskannya dan mengarahkan supaya datang melaporkan diri keesokan harinya untuk membincangkan lawatannya ke universiti tersebut dan berkenaan dengan 2 gadis tersebut.

Phillip Garrido tiba di pejabat parol di Concord, California pada 26 Ogos bersama-sama isterinya, Jaycee dan 2 anaknya.

Mereka dipisahkan bagi mendapatkan keterangan. Jaycee memberitahu namanya adalah Alyssa dan 2 gadis tersebut adalah anaknya.

Jaycee juga memberitahu bahawa dia sedar Phillip adalah pesalah seks, namun menjelaskan bahawa Phillip "telah berubah", "seorang yang baik" dan "sangat baik dengan anak-anaknya".

jaycee dugard mangsa culik selama 18 tahun

Kenyataan itu diiyakan oleh kedua-dua gadis tersebut. Setelah didesak butiran untuk mengesahkan identitinya, Jayce menjadi sangat defensif dan gelisah.

Dia kemudiannya memberitahu bahawa dia adalah seorang isteri yang trauma dan sedang menyembunyikan dirinya daripada suaminya.

Pegawai parol akhirnya menghubungi pejabat polis Concord, dan sebaik sahaja ketibaan polis, Phillip Garrido adalah individu yang memberitahu perkara sebenar bahawa dia telah menculik dan merogol Jaycee.

Ketika itu, barulah Jaycee Dugard memberitahu identitinya yang sebenar, dengan menulis namanya di atas sehelai kertas kerana sudah 18 tahun tidak menyebut nama tersebut.

Laporan kemudian mencadangkan bahawa Jayce mula menunjukkan tanda-tanda "Sindrom Stockholm", iaitu sindrom di mana lahirnya perasaan simpati dan sokongan dalam diri mangsa kepada penculik. 

jaycee lee dugard

Dalam sebuah temuramah, Jaycee menyatakan bahawa rasa belas kasihan dan kesanggupannya untuk berinteraksi dengan penculiknya hanyalah kerana mahu meneruskan hidup.

Untuk menghentikan penderaan, ramai mangsa yang terpaksa untuk bersimpati terhadap penculiknya.

Phillip dan isterinya kemudiannya ditahan, dan Agen Khas FBI menghubungi ibu Jaycee bagi memberitahu penemuan anaknya.

Jaycee mendapat hak penjagaan anak-anaknya dan bersatu semula dengan ibunya pada 26 Ogos 2009, setelah 18 tahun terpisah.

Perbicaraan dan hukuman Phillip Garrido

phillip dan nancy garrido 3

2 hari selepas penahanan iaitu pada 28 Ogos 2009, Phillip Garrido dan isterinya mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik, merogol dan menahan tanpa kuasa.

Kes ini berlanjutan selama hampir 2 tahun yang melihatkan kedua-dua suspek ingin mengaku bersalah, kemudiannya sekali lagi mengaku tidak bersalah.

Namun pada April 2011, Phillip dan Nancy Garrido mengaku bersalah di hadapan mahkamah atas kesalahan menculik dan merogol. Phillip dijatuhkan hukuman penjara 431 tahun hingga seumur hidup manakala Nancy penjara 36 tahun hingga seumur hidup.

Jaycee Dugard diberikan pampasan oleh Kerajaan California sebanyak RM80 juta atas kegagalan Jabatan Pembetulan dan Pemulihan menjalankan tugas dengan baik.

Kegagalan dan kecacatan undang-undang Amerika Syarikat

phillip garido penculik dan perogol 3 236

Dalam tempoh penculikan ini, pegawai parol telah mengunjungi rumah pesalah seks ini untuk tujuan pemeriksaan namun mereka gagal mengesan kehadiran Jaycee dan anak-anaknya di kawasan yang mereka periksa, termasuklah di belakang rumah dan studio rakaman kalis bunyi tersebut.

Saksi yang ditemubual juga mengatakan bahawa Jaycee kelihatan berada di dalam rumah dan menjawab panggilan di pintu depan, namun tiada cubaan untuk melarikan diri.

Lebih mengejutkan, pada satu ketika, Jaycee sendiri dibenarkan berkeliaran di dalam rumah mereka dan berinteraksi dengan pegawai parol sendiri, namun tidak berani untuk berterus terang siapa sebenarnya dirinya kerana dimanipulasikan dan bimbangkan keselamatan anak-anaknya.

Tak cukup dengan itu, pada Mac 1999, hanya selepas 11 tahun di bawah penyeliaan, kegagalaan undang-undang terbesar telah berlaku apabila pegawai akhlak persekutuan sekali lagi memberikan kelegaan kepada Phillip Garrido apabila dia dibebaskan daripada parolnya atas alasan "berkelakuan baik".

Dalam surat pembebasan itu, pegawai tersebut, Mark Messner menulis:

"Saya ingin berterima kasih di atas kerjasama anda (Phillip Garido) atas kerjasama sepanjang tempoh penyeliaan tersebut. Saya berharap anda akan terus berkelakuan baik".

sherrif warren rupf mengaku tersilap ketika menjalankan tugas

Namun, ketika ditemui oleh saluran televisyen GNT untuk bertanyakan berkenaan hal ini, Mark Messner tidak memberi kerjasama dengan masuk ke dalam keretanya dan terus memandu melarikan diri.

Antaranya kegagalan undang-undang lain yang mungkin dapat menyelamatkan Jaycee Dugard lebih awal termasuklah:

1. Pihak polis gagal mengaitkan hubungan antara lokasi penculikan Jaycee Dugard dengan lokasi penculikan dan rogol Katherine Callaway oleh Phillip Garrido, yang mana kedua-duanya berlaku di tempat yang sama iaitu di South Lake Tahoe.

insiden kemalangan kolam renang di rumah phillip garrido

2. Pada tahun Jun 2002, ketika Jaycee berusia 22 tahun, jabatan bomba bertindak balas terhadap laporan seorang remaja mengalami kecederaan bahu di kolam renang di rumah Phillip.

Maklumat mengenai respon tersebut tidak disampaikan kepada pejabat parol Phillip; yang, secara kebetulan tidak mempunyai rekod kolam renang atau mana-mana kanak-kanak yang tinggal di alamat Garrido.

3. Pada tahun 2006, salah seorang daripada jiran Phillip menelefon pihak polis dan memberitahu bahawa terdapat beberapa buah khemah di belakang rumah Phillip dan kelihatan kanak-kanak tinggal di situ.

Jirannya juga menggambarkan Phillip sebagai "tak siuman" dan ketagihan seks.

Seorang timbalan sherrif kemudianya bercakap dengan Phillip di bahagian hadapan rumah selama 30 minit.

Sherrif tersebut tidak memeriksa mahupun meminta untuk memeriksa kawasan rumah, dan pergi begitu sahaja selepas memberitahu Phillip adalah menjadi satu kesalahan jika ada orang tinggal di kawasan luar rumah tersebut.

Selepas Jaycee diselamatkan pada Ogos 2009, sherrif tersebut, Warren Rupf memohon maaf kepada mangsa dalam sebuah persidangan berita.

4. Pada 4 November 2009, Pejabat Ketua Inspektor California mengeluarkan laporan yang menyatakan kesilapan yang dilakukan oleh Jabatan Pembetulan dan Pemulihan Califronia yang telah menyumbang kepada tempoh penculikan Jaycee Dugard yang panjang.

Dilaporkan bahawa jabatan tersebut telah tersilap kerana mengklasifikasikan Phillip Garrido sebagai seorang yang memerlukan penyeliaan peringkat rendah.

Laporan itu juga menerangkan bahawa seorang agen parol ternampak seorang gadis berusia 12 tahun di rumah Phillip, namun tidak berbuat apa-apa untuk mengesahkannya selepas Phillip menjelaskan bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak saudaranya.


tags :, , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)