Kita selalu terkejut dengan perkara yang di luar jangkaan kita. Ustaz pakai kereta mewah, benda luar biasa. Ustazah make up wajah, benda luar biasa. Ustaz dan Ustazah buat duit dari ceramah, benda luar biasa. Apabila kedua-dua perkara itu digabungkan, masyarakat ramai yang memandang sinis perbuatan mereka itu.
Malahan, Dr.Muhaya pada 2013 pernah dilanda kemarahan apabila bergambar depan kolam renang di rumah, sambil mengajak orang bersabar dengan kos kenaikan sara hidup. Persepsi kita itu tidak membuatkan apa yang dia cakap tu salah, cuma dah jadi kebiasaan orang kita selalu nampak salah pada orangnya dan bukan pada mesej yang hendak disampaikan, kerana pada kita ini semua cakap tak serupa bikin.
BESARKAN TEKS A- A+
Mesej yang nak disampaikan dia tak dengar kerana dia lebih melihat apa latar belakang penyampai mesej itu."Dr.Muhaya ada hati nak nasihat orang bersyukur dan bersabar? Dia boleh la, posing depan kolam renang, rumah besar, makan cukup, sekali buat operasi lasik caj RM7000."
Ayat standard kita lah tu, kita anti betul orang yang cakap tak serupa bikin. Suruh wasattiyah, syukur, sabar, tapi dia sendiri hidup mewah. Benda tu dah jadi satu kesalahan pula pada pandangan kita. Padahal, kita yang salah. Salahnya kita di situ, kita letakkan standard yang kita tetapkan pada orang lain dan kita marah jika orang tersebut tidak memenuhi standard yang kita dah tetapkan.
Tahap sederhana sesama kita tak sama. Zuhud kita tak sama. Antara kita pun berbeza tahap-tahap kemampuan kita. Oleh kerana jiwa kita ini kecil dan keupayaan kita lemah, kita tuduh orang-orang ini "cakap tidak serupa bikin." Melompatlah kita apabila kita nampak sesuatu perkara yang berlaku dan berada di luar standard jangkaan kita, seperti tudung RM800 sold out, kelas Quran di udara harga beribu atau orang Melayu makan wagyu steak sekeping harga RM250. Kita rasa perkara tu membazir.
Persoalannya, kenapa membazir pula?
Ada orang rasa RM5 besar dah, ada orang rasa RM50 besar dah, ada orang RM500 macam RM5 pada dia. Kesederhanaan kita tidak sama tahapnya tetapi, syukur kita tahapnya sama. Hakikatnya, orang yang punya pendapatan sebulan RM1000, RM1500, RM6000, RM25,000 atau RM48,999 sama saja jika kesemuanya reti mensyukuri apa yang dia dapat. Sayangnya zaman sekarang ni, bersyukur seolah dah jadi satu perkara yang susah, kerana kita terlalu asyik nak melawan. Bersyukur pula, satu tindakan berserah yang membuktikan kita lemah.
Amalkan begitu, akan jadilah kita satu masyarakat yang tak pernah rasa cukup, yang ada sikit sentiasa mahu lebih sikit, yang dah dapat besar sentiasa cari jalan nak lagi banyak. Kerana itulah apabila diminta bersabar dengan beban kehidupan dan diberikan nasihat yang sebenarnya baik, kita maki tukang nasihat hanya kerana kita nampak dia hidup senang. Kita pandang perkara lain yang sebenarnya tak patut jadi fokus kita.
Semuanya berpunca daripada satu perkara saja; kita tak ada apa yang dia ada.
Latihlah diri kita untuk tukar minda kita kerana perasaan tu, memang akan ada kat kita semua. Saya pun sama. Apatah lagi dalam zaman media sosial di mana ramai yang tayang apa dia buat, apa dia beli dan apa dia ada.Kita pula, "hanya mampu begini." Padahal, ada satu sahaja yang penting sebenarnya; adakah anda bahagia dengan apa yang anda ada?
Kalau ya, cukup dah.
Usah pedulikan apa yang kita tak ada.