Oleh pada 03 Jun 2019 kategori

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan, Rasulullah saw. telah berkata pada sahabatnya dengan satu peringatan; “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.”

Maka sahabatnya pun bertanya kembali, "ya Rasulullah, apakah tujuh perkara itu?"

Baginda pun menjawab, "Syirik kepada Allah, mengamalkan ajaran sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita muhsan yang beriman berbuat perbuatan zina.”

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hadis ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. ini dengan jelas menyampaikan pada kita tujuh kategori kesalahan yang akan menyebabkan kerosakan paling besar di muka bumi. Apa pula penjelasannya?

1. Syirik kepada Allah swt.

tokong kubah bintang

Syirik atau menyekutukan Allah swt. merupakan kesalahan atau dosa paling besar. Ini kerana sudah banyak larangan terkandung dalam al-Quran dan hadis mengingatkan manusia untuk hanya menyembah Allah swt. Syirik dari segi bahasanya bererti kufur, sehingga seseorang Muslim meminta atau berdoa kepada satu makhluk atau pihak lain - seperti mana dia berdoa pada Allah swt.

Syirik terbahagi kepada enam jenis kesemuanya. Syirik istiqlal bermakna seseorang yang mempercayai adanya Tuhan lain selain Allah. Syirik tab'id pula berlaku apabila seseorang meletakkan Tuhan sebaris dengan makhluk atau perkara lain. Syirik taqrib bermakna tindakan seseorang yang percaya dengan sesuatu yang lain, atas tujuan mahu mendekatkan diri dengan Allah swt.

Syirik aghrad adalah perbuatan di mana seseorang melakukan amalan baik bukan kerana Allah dan syirik asbab pula apabila seseorang itu berpegang sesuatu itu berlaku kerana tindakannya, bukan kerana Allah. Yang terakhir syirik taqlid pula terjadi apabila seseorang menuruti ibadah hanya kerana ajakan orang lain.

2. Melakukan sihir

sihir

Sama ada melakukan sihir, belajar atau mengajar sihir - hukumnya haram. Ini termasuklah sekiranya mana-mana individu pergi bertemu pengubat yang menggunakan sihir dalam ilmunya. Ada hadis yang menyebut sesiapa yang pergi bertemu pengamal sihir dan mempercayai kata-katanya, automatik solatnya tidak akan diterima 40 malam.

Bagaimanapun, dalam Islam ada ilmu-ilmu yang boleh dipelajari seperti ilmu ruqyah berasaskan ayat al-Quran yang mampu menjadi penawar atau ubat kepada masalah yang dihadapi.

3. Membunuh seseorang tanpa haknya

bunuh orang tak bersalah

Kami sudah menulis satu artikel ringkas berkenaan tiga golongan yang dibenarkan hukuman bunuh ke atasnya. Membunuh seseorang individu lain tanpa hujah atau sebab yang kukuh adalah satu tindakan yang membelakangi konteks permintaan Islam. Pelakunya pula sudah melakukan satu kesilapan yang amat sukar dimaafkan.

4. Memakan hasil riba'

makan riba

Dalam surah al-Baqarah ayat ke 275 wujud arahan dan larangan yang jelas dalam urusan jual beli atau pertukaran antara dua pihak yang bersetuju dan mempunyai perjanjian. Ini kerana dalam Islam, riba' atau faedah yang terbentuk sebarang perjanjian, merupakan satu bentuk kezaliman sama ada kepada pihak penjual atau pembeli.

Salah satu salah faham berkenaan riba' adalah tuduhan ke atas kadar keuntungan yang tinggi dinikmati oleh peniaga. Harus diingatkan tidak ada halangan untuk peniaga menetapkan kadar keuntungan setinggi mana pun dan perkara ini bukan riba.

Ada dua jenis riba' yang boleh berlaku iaitu riba' al-buyu melibatkan transaksi yang bertangguh dan riba al-duyun yang kerap berlaku dalam akad pinjaman atau hutang, melibatkan penambahan jumlah hutang, atas beberapa situasi seperti tempoh atau denda.

5. Memakan harta anak yatim

makan harta anak yatim

Ada dua cara memakan harta anak yatim boleh berlaku, sama ada secara zalim di mana seseorang itu mencuri atau tidak memberikan hak kepada mereka. Bagaimanapun, bagi mereka yang bertanggungjawab menjaga anak yatim itu, mereka boleh menggunakan harta anak-anak tersebut dengan cara yang baik.

Asalkan dia sedar dirinya berhutang jumlah yang diambil dan mengambilnya berdasarkan keperluan. Sekiranya dia bekerja menjaga anak-anak itu, dia juga layak mendapatkan upah atas usahanya. Selain itu, individu dalam keadaan darurat yang sukar juga boleh meminjam harta anak yatim, asalkan dia faham dia perlu membayarnya semula bila mampu.

6. Lari daripada perang

lari dari perang

Umat Islam dididik untuk tidak mahu bermusuh tetapi dalam masa yang sama diperingatkan, sekiranya berhadapan dengan musuh di medan perang - janganlah sesekali pun berpaling dan lari. Ini kerana tindakan itu dianggap sebagai satu kesalahan besar dalam Islam.

Ini kerana tindakan melarikan diri sudah pasti akan memberikan kesan pada psikologi tentera yang lain, melemahkan tentera Muslim seterusnya menyebabkan kekuatan musuh bertambah.

7. Menuduh wanita yang baik berzina

zina tuduhan muhsan297897

Kami berpandangan perkara ini akan semakin kerap berlaku, apatah lagi dalam dunia sekarang di mana kaum wanita perlu selalu berada di tempat kerja sehingga mampu menimbulkan syak wasangka - sekiranya terpaksa bermalam di pejabat dengan lelaki lain. Walaupun begitu, kita seharusnya mengelakkan diri daripada membuat tuduhan melulu tanpa mempunyai bukti dan saksi yang zina telah berlaku.

Peringatan ini sangat baik untuk diingati para suami zaman moden agar lebih menjaga hati dan mulut daripada terus memfitnah isteri masing-masing telah berlaku sumbang. Seandainya ada kemusykilan, carilah jalan dalam mematikan atau membetulkan dakwaan, bukan terus menuduh.

Ketahuilah, berdasarkan syariat Islam - seseorang yang menuduh wanita lain berzina tanpa mendatangkan bukti sama ada dalam bentuk empat saksi atau dalam bentuk taazir, perlu disebat sebanyak 80 kali sebatan atas kesalahannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)