Sebelum ini, kami pernah menulis artikel senarai 7 jalan raya paling berbahaya di dunia. Dalam senarai ini, kami turut menyenaraikan Lebuh Raya Karakoram sebagai salah satu jalan paling berbahaya di dunia.

Kali ini, kami ingin berkongsi lebih banyak perkara menarik mengenai lebuh raya ini sehingga membuatkan sesetengah pihak menggelarkannya sebagai keajaiban dunia ke 8. Gelaran ini diberi berdasarkan keunikan dan kesukaran membina lebuh raya ini sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah pembinaan Lebuh Raya Karakoram

peta karakoram

Lebuh raya Karakoram yang mempunyai jarak keseluruhan 1300km merupakan salah satu lebuh raya yang paling popular di dunia. Pembinaannya telah dilakukan oleh kerajaan China dan Pakistan bagi menghubungkan laluan darat kedua-dua buah negara ini. Oleh itu, lebuh raya ini juga dikenali sebagai "Lebuh Raya Persahabatan".

Kesukaran dan begitu banyak halangan untuk membina lebuh raya yang juga salah satu lebuh raya tertinggi di dunia ini menyebabkannya ramai menganggapnya (secara tidak rasmi) sebagai salah satu keajaiban dunia. Terdapat satu bahagian jalan daripada lebuh raya ini yang akan melalui Gunung Karakoram pada ketinggian 4714 meter.

Menurut rekod, pembinaan lebuh raya ini dimulakan pada tahun 1959 dan mengambil masa kira-kira 20 tahun. Ketika proses pembinaannya, kerajaan daripada kedua-dua buah negara ini berada dalam pertikaian mengenai laluan lebuh raya ini.

lebuh raya pakistan

Kerajaan Pakistan ketika itu mahukan laluan ini melalui Mintaka sementara kerajaan China pula mahukan laluan ini melalui kawasan Khunjerab. Setelah perbincangan, akhirnya laluan ini dibina melalui Khunjerab memandangkan kerajaan China dapati bahawa laluan di Mintaka akan memudahkan pengguna laluan ini diserang melalui serangan udara.

Dianggarkan sebanyak 24,000 orang tenaga kerja telah digunakan untuk membina lebuh raya ini. Dianggarkan 810 orang pekerja dari Pakistan dan 200 orang pekerja dari China telah terbunuh sewaktu bekerja kerana tanah runtuh dan pelbagai faktor lain. Kebanyakan pekerja China yang mati ini dikebumikan di kawasan Gilgit.

Laluan Lebuh Raya Karakoram

karakoram

Dalam pembinaan lebuh raya ini, kerajaan Pakistan amat bergantung kepada bantuan daripada pasukan angkatan tentera Pakistan kerana keadaan bentuk muka bumi yang merbahaya dan mencabar. Laluan lebuh raya ini majoritinya merupakan laluan yang satu ketika dahulu dikenali sebagai Silk Road.

Daripada 1300 km lebuh raya ini, kira-kira 806 km daripadanya terletak di Pakistan dan selebihnya di China. Di Pakistan, lebuh raya ini bermula dari Abbotahad dan laluan ini akan melalui beberapa bandar utama seperti Dasu dan Upal.

Sepanjang laluan ini, pengguna dapat melihat beberapa tarikan popular yang terdapat di Pakistan seperti Nanga Parba dan K2. K2 merupakan gunung kedua tertinggi di dunia selepas Gunung Everest sementara Nanga Parbat pula adalah gunung ke 9 tertinggi di dunia.

Kesan pembinaan Lebuh Raya Karakoram

karakoram highway 186

Setelah siap pembinannya, laluan ini menjadi tarikan popular pelancong yang datang untuk merasai pengalaman mengujakan memandu di salah satu lebuh raya tertinggi di dunia. Kebiasaanya, pengguna yang melalui lebuh raya ini adalah golongan pendaki gunung dan penunggang basikal.

Walau pun sebahagian besar laluan ini tidak berturap pada awalnya, kerajaan Pakistan telah membelanjakan banyak wang sedikit demi sedikit untuk menaiktaraf laluan ini terutamanya bahagian yang sering digunakan. 

Pembinaan lebuh raya ini yang melalui beberapa kawasan pergunungan memudahkan akses orang ramai kepada beberapa kawasan puncak pergunungan ternama seperti Rakaposhi dan Diran. Selain pelancongan, pembinaan lebuh raya ini juga mempunyai kesan positif terhadap ekonomi kedua-dua buah negara kerana ianya memudahkan  penduduk bergerak dengan pantas merentasi sempadan.

Kredit:

  1. Encyclopaedia Britannica
  2. World Atlas



Hakcipta iluminasi.com (2017)