Negara kita ada beberapa terowong jalan raya yang terkenal, dengan terowong SMART yang terletak di Kuala Lumpur masih memegang gelaran terowong terpanjang kita dengan kepanjangan 4 kilometer..

Takhta ini bakal diambil alih Terowong ECRL Genting yang perancangannya dibina merentasi Banjaran Tititwangsa, mempunyai laluan sepanjang 16.39 kilometer keseluruhannya. Walaupun demikian, panjang tersebut belum layak untuk membolehkan terowong itu masuk ke dalam senarai 5 terowong terpanjang dunia. Hampir tapi tak cukup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima terowong terpanjang dunia yang mampu membuatkan individu yang takut kawasan bertutup dan sempit, fobia ketika melaluinya.

5. Terowong Gotthard di Switzerland

terowong gotthard di switzerland

Jika dibandingkan dengan semua terowong dalam senarai ini, Terowong Gotthard yang mengubungkan Goschenen dengan Airolo di Switzerland merupakan terowong paling lama beroperasi.

Terowong Gotthard dimulakan perancangan pembinaannya sejak awal dekad 1970-an sebelum dibuka kepada orang ramai pada tahun 1980. Dua buah lagi laluan terowong yang menempatkan jalan keretapi dibina selari dengan Terowong Gotthard, membentuk 3 terowong yang merentasi kawasan pergunungan Gotthard.

Apa yang unik, salah satu terowong keretapi yang dibina iaitu Gotthard Base Tunnel yang selamat menjalani fasa terakhir pembinaannya pada tahun 2016 - merupakan terowong laluan keretapi terpanjang dunia dengan jarak 57.09 km!

Manakala Terowong Gotthard atau nama rasminya 'The Gotthard Road Tunnel', 'hanya' mempunyai jarak 16.9 km - meletakkannya sebagai terowong laluan kenderaan kelima terpanjang dunia.

4. Terowong Jin Ping Shan di China

grafik rekaan terowong jin ping

Terowong Jin Ping Shan mungkin bukanlah terowong paling panjang di dunia, tetapi terowong ini merupakan antara terowong paling dalam di dunia.

Dibina pada kedalaman 2.375 km daripada permukaan tanah di beberapa seksyen, laluan sepanjang 17.5 km ini direka bagi menghubungkan dua buah stesyen janakuasa hidro yang terletak di kawasan pergunungan Jin Ping iaitu Jin Ping I dan Jin Ping II - yang juga merupakan empangan terletak paling tinggi di dunia.

Terowong ini dibina bagi menggantikan jalan asal sedia ada sepanjang 150 km yang melalui sebuah sungai di sana yang digelar Sungai Yalong.

Ekoran keadaan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, proses penyelenggaraan laluan di sana menjadi sukar sehingga meninggikan risiko berlakunya kemalangan kepada penggunanya. Keseluruhan projek ini siap sepenuhnya pada tahun 2015, membentuk kompleks janakuasa ke empat terbesar di China

3. Terowong Zhongnanshan di China

terowong zhongnanshan di china jfif

Merentasi kawasan pergunungan Qinling di Shaanxi, Terowong Zhongnanshan merupakan antara laluan penting di China, yang memerlukan seseorang memandu kira-kira 15 minit merentasi jarak sepanjang 18.02 km.

Pembukaan terowong ini yang berjaya dibuat pada bulan Januari tahun 2007 membolehkan masa perjalanan dari wilayah Xi'an ke bandar Xha yang sebelum itu mengambil masa lebih 3 jam, dipendekkan kepada hanya 40 minit - membentuk jaringan ekonomi serta menjimatkan kos.

Mula dibina pada tahun 2002, terowong ini direka dengan sistem pencahayaan yang dibuat khusus untuk memancarkan corak-corak berbeza bagi memastikan fokus pemandu tidak terjejas.

Pokok-pokok tiruan ditanam sepanjang laluan selain visual awan dipancarkan kepada siling terowong, bagi mencipta simulasi seolah ruangan dalaman terowong lebih luas berbanding sebenarnya.

2. Terowong Yamate di Jepun

terowong yamate di jepun

Menghubungkan dua kawasan iaitu Ikebukuro dan Oi, Terowong Yamate mempunyai laluan perjalanan sejauh 18.2 km kesemuanya dibina di bawah tanah sedalam 30 meter daripada permukaan.

Dibuka secara laluan berkembar, projek ini pada mulanya digarap sebagai sebuah laluan bertingkat atas tanah sejak dekad 1970-an, namun diolah semula sebagai sebuah laluan terowong bawah tanah pada dekad 1990-an.

Rekaannya dipersetujui sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan pada tahun 1992, semuanya dibuat secara berperingkat. Fasa terakhir pembinaannya selesai pada bulan Mac tahun 2015.

Mirip dengan laluan terowong SMART kita, Yamate dikenakan caj tol daripada RM19.50 untuk kereta sehinggalah RM67.70 untuk kenderaan berat.

1. Terowong Laerdal di Norway

terowong laerdal di norway

Terowong Laerdal adalah terowong terpanjang di dunia, menghubungkan ibu negara Norway, Oslo dengan Bergen, sebuah bandar pelabuhan yang penting pada jarak 24.51 km keseluruhannya.

Mula dibina pada tahun 1995, Terowong Laerdal selamat dibuka kepada orang ramai sejak tahun 2000 menjadi antara laluan terpenting dua bandar utama dan terbesar Norway sehingga kini; menelan belanja RM472 juta ringgit.

Sehingga kini penggunaan terowong ini tidak dikenakan sebarang caj laluan keluar masuk, disediakan kepada percuma. Oleh kerana jaraknya yang agak panjang untuk sebuah terowong, Laerdal direka kepada empat seksyen, dengan satu seksyen mempunyai jarak kira-kira 6 km.

Selepas melalui satu seksyen, pemandu akan melalui kawasan di mana cahaya semulajadi masuk. Rekaan ini dibuat bagi memastikan pemandu tidak tertidur sepanjang mereka memandu dalam Laerdal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)