Credit Photo : Riotfest.org

Selepas Beatles melancarkan album Rubber Soul mereka pada akhir tahun 1965, mereka kemudian merakamkan pula album seterusnya iaitu Revolver. Ketika ini jugalah kumpulan pop paling terkenal ketika itu memutuskan untuk memulakan konsert jelajah dunia mereka.

Menurut ahli kumpulan itu sendiri, kedua-dua album ini mengandungi muzik yang agak sukar untuk dimainkan di atas pentas secara langsung. Walau bagaimanapun, cabaran itu tidaklah begitu sukar berbanding krisis yang dihadapi mereka ketika melakukan jelajah di Filipina di mana nyawa diancam dan berada dalam keadaan bahaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

beatles di manila

The Beatles ketika baru tiba di Manila. Credit : Beatles Bible

Pada bulan Julai 1966, The Beatles telah melawat Filipina dalam siri jelajah dunia mereka dan tidak sengaja menaikkan kemarahan First Lady ketika itu iaitu Imelda Marcos.

Isteri kepada Presiden Filipina yang ke-10, Ferdinand Marcos , telah menjemput The Beatles untuk menghadiri majlis sarapan pagi bersamanya di Istana Presiden di Manila, mengharapkan kugiran itu hadir tanpa berfikir panjang.

Apabila The Beatles menerima jemputan itu, mereka meminta pengurus kugiran mereka, Brian Epstein, menolak jemputan itu dengan sopan beserta penjelasan bahawa ia bukanlah polisi mereka untuk menerima jemputan "rasmi" seperti itu. Ia mungkin disebabkan pemikiran "hippies" yang dibawa oleh kumpulan itu.

ferdinand dan imelda marcos 930

Ferdinand dan Imelda Marcos

Tidak lama selepas itu, barulah The Beatles menyedari bahawa rejim Marcos jarang sekali ditolak atau mendengar perkataan "tidak" dari sesiapapun. Imelda Marcos berasa berang apabila mendapati bahawa The Beatles tidak akan menjadi tetamu istimewa pada jamuan mewah yang dirancangnya melibatkan lebih daripada 200 orang tetamu itu.

Lebih mengeruhkan keadaan lagi apabila semua stesen televisyen dan radio di Filipina menyiarkan tentang penolakan jemputan yang memalukan itu. Sejurus sahaja selepas itu, pihak polis Filipina yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan The Beatles tiba-tiba 'hilang' dan ditarik balik.

Pengurus The Beatles iaitu Epstein telah meminta Chanel 5 untuk satu ditemubual di Hotel Manila agar dapat membuat pemohonan maaf secara terbuka. Akan tetapi, sejurus sahaja sebelum wawancaranya itu akan disiarkan, saluran televisyen yang dikawal kerajaan itu tiba-tiba mengalami "black-out".

brian epstein

Brian Epstein. Credit : Find A Grave

Hotel di mana kumpulan itu menginap juga telah diserang oleh peminat-peminat yang marah. Oleh itu, The Beatles dan rombongan mereka telah melarikan diri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Manila dengan sendirinya tanpa bantuan.

Dilaporkan, ketika kumpulan itu dan rombongan mereka berjalan turun daripada bilik melintasi ruang legar hotel, kakitangan hotel secara beramai-ramai telah berbaris dan berteriak dengan marah kepada mereka dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol.

Apabila mereka menghampiri terminal lapangan terbang dan cuba masuk ke dalam, sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang berada di situ telah menyerbu mereka. Kumpulan kecil itu cuba menarik dan memukul anggota The Beatles.

beatles di manila 2

Credit photo : Esquire Mag

Mereka ditolak oleh kumpulan yang berang itu sehingga pengurus jelajah mereka, Mal Evans, mengalami beberapa kecederaan fizikal akibat dipukul dan ditendang.

Salah seorang anggota The Beatles iaitu Ringo Starr mendakwa bahawa orang ramai mula meludah ke arah mereka. Ketika kekalutan itu berlaku, The Beatles berjaya menyertai dan bersembunyi di sebalik sekumpulan biarawati dan biarawan.

Mereka kemudian mendaftar masuk penerbangan mereka secepat mungkin. Ahli-ahli lain rombongan mereka juga diserang secara fizikal dan mengalami beberapa kecederaan ringan.

beatles di manila 3

Credit Photo : Esquire Mag

The Beatles berkata bahawa mereka tidak dapat membezakan antara kumpulan penunjuk perasaan dengan pihak polis kerana pasukan keselamatan itu juga dilihat cuba menyerang mereka.

Ketika ahli kumpulan dan anggota rombongannya ditarik dan ditolak, John Lennon melaporkan bahawa dia mendengar orang di sekelilingnya menjerit "Anda tidak layak menerima layanan istimewa, hanya layanan seperti penumpang biasa!". Lennon mengatakan, penumpang biasa yang lain pun tidak diperlakukan seteruk ini.

Penyanyi The Beatles, Paul McCartney, berkata bahawa apabila mereka mula menaiki pesawat, mereka semua mencium kerusi pesawat seolah-olah telah menemui tempat perlindungan yang selamat.

berita the beatles di manila

Mereka sedar bahawa mereka berada di negara asing di mana semua peraturan adalah berbeza dengan tempat asal mereka. Ringo Starr yang begitu takut akan dipenjarakan ketika itu berkata, mereka akan lebih berhati-hati selepas ini ketika menjelajah ke negara asing.

Apabila rombongan The Beatles menaiki kapal terbang, dua pengurus mereka iaitu Esptein dan Evans telah diarahkan turun. Epstein telah dipaksa membayar cukai rasmi sebanyak £6,800 (RM 36,300) dan menandatangani pengesahan pertukaran bon cukai sebelum dibenarkan untuk kembali ke dalam pesawat.

the beatles imelda marcos

John Lennon ketika ditanya mengenai pengalamannya ketika berada di Filipina menjawab "Saya mungkin tidak akan kembali ke tempat itu lagi. Sekiranya saya kembali sekalipun, saya mungkin akan membawa Bom Hidrogen bersama-sama".

Rujukan:

1. Beatles Bible

2. Esquire Magazine

3. Start At 60




Hakcipta iluminasi.com (2017)