Oleh pada 19 Aug 2019 kategori

Sudah banyak artikel yang kami tulis mengenai kisah kucing-kucing terkenal di seluruh dunia. Ada kisah kucing yang menjadi Pegawai Eksekutif di salah sebuah stesen kereta api di Jepun, digunakan sebagai pengintip CIA, bekerja sebagai penjaga muzium dan banyak lagi. Anda juga pasti telah banyak mendengar kisah kucing lain yang mengagumkan.

Kali ini, iluminasi ingin berkongsi bersama anda mengenai kisah seekor kucing yang dipercayai boleh meramal kematian seseorang. Kucing yang dimaksudkan itu bernama Oscar dan dipercayai telah meramalkan kematian lebih daripada 100 pesakit di sebuah pusat penjagaan di Amerika Syarikat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oscar aka Dewa Kematian

Oscar yang kini berusia 14 tahun sering menghabiskan masanya dengan berlegar-legar di ruang Pusat Penjagaan dan Pemulihan Steere House, Rhode Island. Oscar juga terkenal di kalangan para jururawat yang bekerja di situ sebagai seekor kucing yang anti-sosial.

Walau bagaimanapun, kakitangan dan doktor yang bertugas di Steere House bingung dengan kebolehan semula jadi Oscar untuk mengenalpasti pesakit yang hampir menemui ajal. 

oscar berkeliaran di pusat penjagaan dan pemulian steere house

Oscar akan mendekati, bermanja dan baring di samping pesakit tanpa dipaksa walaupun ia bukanlah kucing yang jenis gemar dibelai. Oscar akan menawarkan keselesaan dan sokongan yang sangat diperlukan para pesakit yang hampir menemui ajal. Biasanya mereka meninggal dunia beberapa hari atau beberapa bulan selepas diramal Oscar.

'Bakat' yang dimiliki oleh Oscar itu bahkan telah banyak kali membuktikan bahawa kakitangan perubatan salah membuat keputusan dalam beberapa keadaan di mana pesakit hampir mati. Malah, ada yang menggelarkan kucing itu sebagai "Dewa Kematian".

pusat penjagaan dan pemulihan steere house di rhode island

Pusat penjagaan dan pemulihan Steere House di Rhode Island

Kebolehan Oscar itu mula-mula sekali didedahkan dalam artikel yang diterbitkan di New England Journal of Medicine pada tahun 2007. Kucing itu dipercayai telah meramal kematian lebih daripada 100 orang sejak artikel itu diterbitkan.

Deria keenam

Penulis laporan itu, Dr. David Dosa, memberitahu akhbar Mirror Online bahawa Oscar hanya akan datang mendekati pesakit yang berada pada penghujung nyawa mereka sahaja. Jika pesakit yang hampir menemui ajal itu ditempatkan dalam bilik tertutup, Oscar akan mencakar dinding meminta supaya dibenarkan masuk mendekati pesakit.

oscar the cat angel of death

Pada mulanya, Dr. Dosa ragu dengan kebolehan yang dimiliki kucing itu. Namun, keraguannya itu terbukti salah apabila dia dan rakan sekerjanya mendapati Oscar berjaya membuat 50 ramalan tepat dalam tempoh lima tahun. Bahkan, Oscar pernah membuat sehingga 20 ke 30 ramalan tepat berturut-turut tanpa salah.

Dr. Dosa berpendapat kucing itu tertarik kepada beberapa ciri yang ditonjolkan oleh pesakit-pesakit itu. Beberapa ciri yang dimaksudkan Dr. Dosa adalah tindak balas feromon atau aroma bau yang dikesan Oscar pada pesakit.

dr david dosa bersama oscar

Dr. David Dosa bersama Oscar

Dr. Dosa juga menulis dalam laporannya bahawa sekiranya Oscar kelihatan berada di atas atau di sisi katil seseorang pesakit, pakar perubatan dan kakitangan rumah penjagaan itu menganggapnya sebagai satu tanda yang hampir pasti berlaku. 

Ini membolehkan kakitangan di situ melakukan persediaan yang perlu seperti memaklumkannya kepada keluarga pesakit. Selain itu, Oscar juga akan menemani dan memberi keselesaan kepada pesakit yang tiada saudara-mara dan menunggu kematian sorang diri.

Oscar memberi ketenangan dan keselesaan

Banyak ahli keluarga pesakit telah memberitahu Dr. Dosa bahawa kelibat Oscar di sekeliling mereka dan ahli keluarga yang sakit sebagai sesuatu yang menenangkan dan membantu mereka mengatasi kesedihan.

oscar baring di atas katil pesakit 79

Namun, kisah ajaib itu bertukar menjadi cemas pada bulan November 2013 apabila Oscar mengalami reaksi alahan yang serius. Dia telah dibawa ke unit penjagaan intensif di mana jantungnya berhenti berdenyut dan Oscar mati selama beberapa saat.

Mujurlah doktor haiwan yang merawatnya bertindak pantas dan berjaya menyedarkan Oscar semula. Oscar kemudian dibawa semula ke pusat penjagaan Steere House di mana dia menjadi pesakit di situ selama beberapa bulan sehingga sembuh.

buku yang ditulis dr dosa

Buku yang ditulis oleh Dr. Dosa mengenai Oscar 

Kini, Oscar yang kelihatan sihat sepenuhnya kembali meneruskan peranannya untuk menghiburkan dan memberi keselesaan kepada pesakit yang hampir meninggal dunia.

Kelebihan Oscar dalam 'menghidu' kematian manusia mungkin boleh dilakukan kebanyakan haiwan lain. Namun, kisah Oscar adalah unik kerana dia memiliki kelebihan di mana haiwan lain tiada iaitu peluang untuk membuktikan kebolehannya.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)