iluminasi fattah amin qalifmoden8

Abdul Fattah bin Mohd.Amin atau lebih dikenali dengan nama Fattah Amin adalah salah satu nama yang sering meniti di bibir peminat drama Malaysia. Beliau lahir pada 14 September 1990. Anak jati Setiawangsa, Kuala Lumpur ini merupakan mahasiswa jurusan seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau memulakan karier seninya dengan menyertai pertandingan pencarian bakat Hero Remaja yang kerap mencungkil anak-anak seni terkenal sebelum itu seperti Esma Daniel, Zed Zaidi, Kamal Adli dan Fizo Omar. Untuk pertandingan Hero Remaja yang disertai oleh beliau, beliau terpaksa berentap dengan beberapa nama lain yang kini telahpun berjaya mencipta nama sebagai anak seni seperti Hafidz Roshdi, Saharul Ridzwan dan Syafiq Kyle.

Nasib menyebelahi Fattah kerana terpilih sebagai pemenang dan beliau dinobatkan sebagai Hero Remaja bagi tahun 2012. Dengan kemenangan itu, Fattah membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000 serta sebuah motorsikal Naza 650Z. Menyifatkan kemenangannya sebagai satu peluang untuk beliau melangkah lebih jauh sebagai peragawan dan juga peluang untuk beliau melangkah ke bidang seni, Fattah langsung tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.

iluminasi fattah amin qalifmoden5

Menjadikan Leonardo DiCaprio sebagai idola, Fattah mula menempah nama sebagai pelakon kegemaran ramai apabila memegang watak utama dalam siri drama popular "Suri Hati Mr.Pilot" yang membuatkan ramai gadis (dan kakak serta makcik) jatuh cinta pada beliau. Diwaktu lapang, beliau akan menonton filem lakonan DiCaprio untuk dijadikan rujukan bagaimana hendak menjiwai sesuatu watak yang berbeza.

iluminasi fattah amin qalifmoden4

Apabila diajukan soalan apa yang beliau akan lakukan jika beliau tidak mengambil keputusan menjadi seorang pelakon, Fattah menjawab yang besar kemungkinan beliau akan menjadi seorang ahli perniagaan. Mendakwa dirinya pemalu dan pendiam pada awal penampilan beliau, beliau akui agak sukar untuk beliau bertukar menjadi seorang yang sentiasa diperhatikan gerak-gerinya.

Fattah juga mengakui yang sebelum bergelar artis, beliau sudahpun mempunyai seorang teman wanita semenjak di bangku sekolah lagi dan pernah keluar berjumpa dengan gadis tersebut ketika zaman beliau hendak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia lagi. Tetapi Fattah mengakui yang semua itu cinta monyet zaman remaja.

iluminasi fattah amin qalifmoden

Setelah bergelar pelakon, Fattah kini memang bernasib baik dapat mengubah hidupnya. Beliau kini boleh berbangga memiliki sebuah pusat latihan kesihatan di Kuala Lumpur yang membuktikan anak Melayu juga boleh berniaga.

Walaupun begitu, pada Februari 2017 selepas pelancaran buku himpunan kata-katanya yang diberi judul 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin, beliau mendapat pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat berkenaan dengan kandungan buku beliau yang agak terlalu ringan isinya. Dikritik kerana dikatakan tidak layak serta dipandang rendah kredibiliti beliau sebagai penulis tidak menjejaskan jualan buku tersebut sehingga cetakan pertama buku tersebut sebanyak 5000 naskah habis dijual dalam masa 10 hari.

iluminasi fattah amin qalifmoden7

Pada 3 Mei 2017, Fattah Amin menjadi artis pertama menerima anugerah dalam Anugerah Buku Negara apabila 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin dinobatkan sebagai buku paling popular tahun ini. Seperti biasa ramai yang mempertikaikan kemenangan beliau.

Kenapa kisah ini ditulis?

Jika kita imbas balik apa yang telah dilalui oleh Fattah dari 2012 sehinggalah sekarang, jelas perjalanan kariernya agak lancar dan namanya semakin meingkat naik. Kita juga boleh nampak Fattah cuba memperkembangkan bakat beliau, bukan hanya sekadar bergantung dengan lakonan semata tetapi berani mencuba mengeluarkan lagu sendiri yang bolehlah dikatakan oleh penulis, biasa saja.

iluminasi fattah amin qalifmoden2

Tetapi untuk menafikan apa yang telah beliau capai bukan satu kejayaan yang boleh dibanggakan, menunjukkan kita tidak berlaku adil dalam menilai dia. Pasti ramai yang memandang kejayaan yang didorong hasil kemenangan dalam satu pertandingan "lelaki cantik" bukanlah kemenangan yang tulen. Walaupun demikian, daripada seorang anak muda yang nampak benar perubahannya selepas serius dalam kariernya, pujian harus diberikan kepada Fattah kerana berani mencuba.

iluminasi fattah amin qalifmoden6

Sama ada dia berjaya dengan cemerlang atau dalam isu Fattah, berjaya dalam kritikan yang panjang, Fattah Amin berjaya menunjukkan kepada anak muda semua yang jika minda diletakkan di tempat yang betul serta berkat sokongan keluarga dan kerja keras, impian boleh jadi kenyataan. Yang penting, anak-anak muda mesti berani mencuba.

Malu? Takut dikritik? Rasanya hanya golongan minoriti di antara kita saja yang berani mencuba menyertai pencarian Hero Remaja sementara ramai lebih leka mengkritik dan berharap kehidupan bertukar jadi lebih selesa.

iluminasi fattah amin qalifmoden3Fattah Amin kini bergelar pelakon, peragawan, penyanyi, ahli perniagaan dan juga penulis. Jika Fattah Amin boleh lakukannya, kenapa pula bukan anda ?


tags : , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)