Sumber foto: stail.my
Tiket Konsert Bruno Mars telah diumumkan habis dijual oleh pihak penganjur selepas 45 minit jualannya dibuka bermula semalam.
Namun, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil untung atas angin dengan menjualnya semula pada harga yang berlipat kali ganda. Menerusi dua laman web, terdapat paparan harga jualan bagi 3 kategori tempat duduk dengan harga RM4,256, RM2,833.65 dan RM1,904 berbanding harga asal iaitu cuma RM888, RM598 dan RM398.
Menurut tinjauan, terdapat peminat tegar penyanyi 24K Magic itu yang sanggup mengeluarkan belanja sebegitu besar sedangkan harga jualan sebenar oleh pihak penganjur, My Ticket Asia serta PR Worldwide jauh lebih murah.
Biarpun pernah terjadi ketika konsert Coldplay baru-baru ini, nampak gayanya sikap tidak ambil peduli dan sanggup berhabis sejumlah wang yang besar untuk menonton persembahan eksklusif penyanyi pujaan ramai yang mungkin menjadi pengalaman sekali seumur hidup membuatkan permintaan terhadap 'tiket emas' sebegini sentiasa ada.
Sebelum ini, PR Worldwide pernah mengeluarkan kenyataan media dengan menasihatkan peminat agar berhati-hati supaya tidak membeli tiket daripada pihak yang tidak sah.
Bagi peminat yang tidak berjaya membeli tiket lagi, jangan dapatkannya daripada ulat tiket atau laman sesawang yang bukan daripada pihak kami bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Oleh itu, PR Worldwide turut menggesa para peminat supaya mendapatkan sebarang perkembangan terkini tentang jualan tiket dimana mungkin terdapat penambahan tiket menerusi laman web syarikat tersebut ataupun Facebook rasmi mereka.
Untuk makluman, konsert jelajah 'The Bruno Mars 24K Magic World Tour' dijadualkan berlangsung di Asia bermula Mei 2018 dengan melibatkan destinasi seperti Manila, Filipina dan Kuala Lumpur.
Sumber berita: BH Online