Kecederaan semasa berada di atas pentas bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Sudah banyak kes penyanyi, artis, pemuzik dan penghibur yang dirakamkan tercedera akibat terjatuh dari pentas, terkena api piroteknik dan sebagainya. Malah, ada penghibur gila-gila yang terjun sendiri dari atas pentas. Semuanya dilakukan untuk peminat setia mereka.
Saban tahun, kes kecederaan di atas pentas semakin meningkat. Kami kongsikan 10 antara kisah selebriti Hollywood yang pernah mengalaminya sendiri. Ada yang lucu, ada juga yang amat menyakitkan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Michael Clifford (5 Seconds of Summer)
Ahli muda yang merupakan pemain gitar kumpulan 5 Seconds of Summer ini mengalami kecederaan semasa sedang membuat persembahan lagu "She Looks so Perfect" di London pada 13 Jun 2015. Semasa kejadian, Michael berada terlalu hampir dengan pertunjukan piroteknik sehingga menyambar mukanya.
Persembahan terpaksa dihentikan separuh jalan dan Michael terpaksa berehat kerana separuh mukanya telah melecur. Dia kemudian telah memuat naik sekeping gambar di Instagram untuk memberitahu para peminat yang dia selamat menjadi "Two-Face" seperti watak penjahat dalam Batman.
2. Krist Novoselic (Nirvana)
Pemain bes terkenal Krist Novoselic daripada kumpulan Nirvana terhantuk kepalanya dengan bes yang dimiliki ketika persembahan semasa Anugerah Muzik MTV pada tahun 1992. Lagu "Lithium" sedang dinyanyikan dan Krist mendapat idea untuk menghangatkan lagi persembahan dengan membaling bes ke udara. Nasib Krist malang kerana bes itu kembali jatuh mengenai kepalanya sehingga dia dia terjatuh. Mujurlah persembahan itu merupakan penutup kepada acara besar tersebut.
3. Enrique Iglesias
Enrique Iglesias dicederakan oleh sebuah dron semasa konsertnya yang diadakan di Tijuana, Mexico. Dia cuba menangkap dron itu ketika sedang terbang namun ia akhirnya telah menghiris jari Enrique dengan teruk. Walaupun begitu, dia masih tetap meneruskan nyanyian selama setengah jam berikutnya. Enrique berdarah sepanjang konsert itu hingga menyebabkan kemeja-T putihnya dipenuhi kesan darah. Selepas tamat persembahan, Enrique diterbangkan ke Los Angeles serta-merta untuk berjumpa dengan doktor pakar.
4. Frank Zappa
Tahun 1971 merupakan tahun buruk bersejarah buat Frank Zappa yang yang ditolak jatuh oleh seorang peminat yang marah di Teater Rainbow, London sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kepala, leher dan belakang.
Dalam buku biografinya, "The Real Frank Zappa Book", ahli kumpulannya ingat Frank sudah mati kerana kepalanya sudah senget ke bahu dan lehernya bengkok seperti ia sudah patah. Dia mempunyai kesan tertoreh di dagu, lubang di belakang kepala, tulang rusuk patah dan kaki retak. Satu lengan juga lumpuh.
5. Meat Loaf
Mungkin Meat Loaf merupakan salah satu artis rock terhebat sepanjang zaman. Dia melalui hari terburuk semasa awal zaman kerjayanya apabila kakinya tercedera ketika melakukan sebuah persembahan jelajah di Ottawa pada tahun 1978. Meat Loaf yang dikenali dengan sikap agresif dan bertenaga di atas pentas telah melompat jatuh dari pentas sehingga kakinya patah. Akhirnya, konsert jelajah itu diteruskan dengan menaiki kerusi roda.
6. Dave Grohl (Foo Fighters)
Pada bulan Jun 2015, Dave Grohl tercedera semasa sedang membuat persembahan di Gothenburg, Sweden. Dave tersalah percaturan semasa melompat ke arah sebuah tanjakan dan terjatuh ke bahagian pit keselamatan. Dia kemudian dibawa keluar oleh petugas paramedik sebelum dibawa ke pentas kembali dengan strecer bersama kaki yang dibalut. Dave yang komited tetap meneruskan persembahan selama dua jam setengah lagi seperti yang telah dijanjikan kepada peminat.
7. Steven Tyler (Aerosmith)
Vokalis kumpulan terkenal, Aerosmith, Steven Tyler telah terjatuh dari pentas semasa persembahan kumpulan itu di South Dakota pada tahun 2009. Dia yang cuba menari sambil mendendangkan lagi "Love in an Elevator" tiba-tiba hilang keseimbangan dan terjatuh ke bawah menyebabkan kecederaan di bahagian leher, kepala dan bahu. Walau bagaimanapun, Aerosmith hanya membatalkan satu sahaja persembahan konsert mereka selepas itu.
8. James Hetfield (Metallica)
Ini seorang lagi pemuzik yang menjadi mangsa kebakaran berpunca daripada piroteknik. Kumpulan Metallica sememangnya sudah dikenali dengan persembahan yang sungguh bertenaga dan sering menggunakan elemen api untuk lebih menyemarakkan semangat peminat.
Pada tahun 1992, James berdiri terlalu hampir dengan api piroteknik sehingga menyebabkan dirinya terbakar agak teruk ketika sebuah persembahan di Montreal. Kejadian malang itu berlaku semasa persembahan pembukaan "Fade to Black". James tidak tahu di manakah dia sepatutnya berdiri. Apabila piroteknik dinyalakan, ia telah membakar bahagian kiri tubuh James dari pinggang ke atas sehingga dia mengalami luka terbakar darjah kedua dan ketiga. Keadaannya amat teruk sehingga diberikan dadah morfin untuk menghilangkan sakit. Malah, cincin di jarinya juga terpaksa digergaji.
James berjumpa sehingga tiga orang doktor sebelum akhirnya menemui satu-satunya doktor yang memberitahunya bahawa dia akan boleh bermain gitar semula. Hanya 17 hari selepas kejadian, James kembali beraksi bersama kumpulannya dan meneruskan konsert jelajah Metallica di Phoenix.
9. Florence Welch (Florence + the Machine)
Dave Grohl bukan satu-satunya selebriti yang beraksi habis-habisan sehingga patah kaki untuk peminat. Florence Welch juga mengalami kecederaan kaki semasa melompat di sebuah festival muzik di California. Kejadian malang ini menimpanya pada bulan April 2015 ketika Festival Muzik Coachella berlangsung apabila pemuzik British ini menjadi terlalu teruja dan melompat turun dari pentas. Florence kemudian telah memuat naik gambar X-ray kakinya di Instagram dan memaklumkan yang dia tidak akan bersara daripada menghiburkan para peminat.
10. Amy Search
Pada tahun 2016, kumpulan rock terulung tanah air, Search, telah dijemput mengadakan persembahan pada makan malam korporat. Amy yang sedang menyanyi ingin bersalaman dengan peminat di barisan hadapan namun cahaya lampu membuatkannya tersilap langkah sehingga jatuh tersungkur dari pentas setinggi empat meter.
Amy mengalami bengkak di bahagian ibu jari serta terseliuh bahu dan kaki. Walau bagaimanapun, dia yang dalam keadaan kesakitan tetap menghabiskan dendangan baki empat lagi buah lagu pada malam tersebut setelah berehat buat seketika selepas jatuh.