Oleh pada 19 Aug 2018 kategori

Berita palsu telah menjadi perbualan hangat sejak kebelakangan ini. Berita palsu ialah penerbitan atau propaganda yang mengandungi informasi palsu dan tidak benar melalui media cetak mahupun penyiaran.

Ia bertujuan untuk memperdaya atau memberi impak buruk kepada sesebuah agensi, entiti mahupun individu perseorangan. Ia biasanya dilakukan dengan mensensasikan atau menokok tambah cerita bagi meningkatkan jumlah pembaca, perkongsian dan pelbagai tujuan lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

fidel castro fake news

Negara demokrasi biasanya memberi ruang kepada para wartawan untuk menulis dengan bebas tanpa perlu risau ditangkap, dipenjara atau dihukum hanya kerana mempunyai pandangan yang berbeza.

Namun, terdapat beberapa kerajaan yang mengongkong dan menyekat media yang tidak bersefahaman. Berikut adalah beberapa negara yang mengawal sepenuhnya berita mereka.

6. Cuba

propaganda cuba

Cuba ialah sebuah negara Komunis yang dianggap lebih lembut dan mesra berbanding Kesatuan Soviet atau Korea Utara. Fidel Castro dan penggantinya Raul Castro, pernah dihentam oleh media antarabangsa tetapi mereka juga mendapat pujian yang setimpal.

Fidel sentiasa diingati sebagai seorang diktator yang baik dan lembut sifatnya. Cuba juga merupakan sebuah negara yang maju dari segi kesihatan rakyatnya dan mempunyai jangka hayat yang lebih tinggi, melebihi negara maju yang lain termasuk Amerika Syarikat.

Hal ini telah dikaji oleh pakar dan dipersetujui oleh negara barat lain seperti Britain. Di sebalik kejayaan ini, sejarah menunjukkan kerajaan Komunis sangat jarang untuk menerima sebarang kritikan terbuka atau membina.

propaganda cuba 2

Malangnya, hal ini terjadi juga di Cuba. Kebebasan bersuara telah disekat oleh perlembagaan Cuba melainkan ianya bertujuan untuk meningkatkan semangat sosialis negara. Ini bermakna rakyatnya bebas bersuara, asalkan kerajaan bersetuju dengan kenyataan mereka.

Fidel Castro semasa pemerintahannya telah memenjarakan ribuan wartawan dan aktivis hak asasi manusia, dengan kebanyakan mereka tidak diberi hak untuk dibicarakan.

5. Sudan

sudan 284

Sudan ialah nagara Afrika yang ke-3 terbesar dan yang paling bermasalah. Sejak tahun 1989, ia diperintah oleh Presiden Omar al-Bashir yang berkuasa melalui rampasan kuasa tentera. Sejak dari itu dia dituduh melakukan pelbagai jenayah perang ke atas bangsanya sendiri oleh Mahkamah Antarabangsa.

Sudah sekian lama al-Bashir memegang kuasa dan kelihatan semakin sukar dia untuk dibicarakan. Salah satu cara dia kekal berkuasa ialah dengan mengawal kebebasan bersuara rakyat. Ramai wartawan telah ditangkap dan disoal siasat di Sudan jika menyuarakan pendapat bertentangan dengan kerajaan.

presiden sudan

Dengan menggunakan media juga, al-Bashir menyebarkan propaganda bahawa dia adalah mangsa negara Barat yang ingin menjatuhkan reputasinya. Namun, hal sebaliknya yang berlaku. Pada tahun ini sahaja lebih dari 7 orang wartawan telah ditangkap oleh pihak berkuasa Sudan, hanya kerana membuat liputan mengenai mogok rakyat berkenaan kenaikan harga roti.

Pihak kerajaan Sudan juga mengenakan pelbagai cukai dan sekatan ke atas syarikat akhbar bagi menyukarkan lagi operasi mereka di dalam bidang penerbitan. Tambahan pula, kini anggota parlimen negara itu sedang membincangkan akta larangan bagi mana-mana akhbar yang didapati bertentangan dengan pihak kerajaan.

4. Vietnam

propaganda vietnam

Vietnam merupakan salah satu dari 5 negara Komunis yang masih wujud. Media seperti radio, televisyen, akhbar dan majalah adalah di bawah kawalan kerajaan sepenuhnya. Pihak kerajaan mengawal satu-satunya rancangan televisyen kebangsaan iaitu Vietnam Televisyen (VTV) dan penyiaran radio Voice of Vietnam (VoV).

Terdapat ratusan akhbar dan majalah di sana tetapi parti komunis, badan-badan kerajaan dan tentera mengawal hampir kesemua daripadanya. Namun begitu, 2/3 rakyatnya kini mempunyai akses kepada internet dan ini menyukarkan pihak kerajaan untuk memonopoli informasi.

freedom vietnam

Oleh itu, pihak kerajaan menggunakan kuasa mereka sebagai salah satu langkah untuk membendung hal ini. Mana-mana blogger yang berani mengkritik kerajaan akan berhadapan dengan gangguan, ugutan, dikasari atau ditangkap.

Salah satu contoh ialah pada November 2017, seorang blogger telah dipenjarakan selama 7 tahun kerana didapati bersalah mengeluarkan laporan mengenai tumpahan sisa toksik dari sebuah kilang besi yang mengandungi sianida dan asid karbolik ke dalam laut. Ia telah mengakibatkan lebih 70 tan ikan mati dan terdampar di persisiran pantai.

Dengan menggunakan taktik kekerasan ini, pihak kerajaan Vietnam bebas untuk menyebarkan propaganda dan berita palsu mereka.

3. China

propaganda china

China ialah sebuah negara yang paling ramai rakyatnya melayari internet di dunia iaitu sebanyak 751 juta orang. Akan tetapi, mereka juga menghadapi antara kekangan paling kuat dari pihak kerajaan. Google, Facebook, Twitter dan Youtube telah disekat oleh "Great Firewall" negara itu.

Pengguna internet di China juga digalakkan untuk berdaftar dengan perkhidmatan internet milik kerajaan yang memantau dan mengawal hampir semua aktiviti di atas talian. Walaupun begitu, terdapat sesetengah pihak yang mengakses internet menggunakan Virtual Private Network (VPN) dan kini menjadi sasaran pihak berkuasa.

Pada Disember 2017, seorang ahli perniagaan China telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun apabila didapati bersalah kerana mengakses internet menggunakan VPN. Kes seperti ini adalah salah satu amaran kepada pengguna dan cara kerajaan untuk menyekat kebebasan rakyatnya bersuara di samping menyebarkan propaganda.

great firewall china

Bukan itu sahaja malah pihak kerajaan China juga membayar sebahagian orang untuk membanjiri internet dengan memuat naik status pro-kerajaan di media sosial dan memperkenalkan polis internet bagi melaporkan sebarang kritikan terhadap pihak kerajaan China.

China telah melaburkan berbillion ringgit dalam usaha mereka untuk menyebarkan propaganda di samping menaikkan semangat komunisma di kalangan rakyat mereka yang sangat banyak jumlahnya hingga mencecah hampir 1.4 billion orang itu.

2. Syria

propaganda syria

Presiden Bashar al-Assad menjadi berkuasa di Syria berikutan kematian bapanya, iaitu seorang pemerintah yang kejam pada Jun 2000. Pada permulaan, harapan rakyat kepada bekas doktor mata itu amat tinggi agar kebebasan dan demokrasi dapat dijalankan.

Assad telah berjanji akan mengubahnya dan memberi kebenaran kepada akhbar bebas yang pertama di Syria untuk memulakan penerbitan. Dia juga telah menutup Penjara Mezzeh yang terkenal dan membebaskan ramai aktivis anti-kerajaan yang diseksa sebelum ini.

syria freedom

Namun, segalanya berubah selepas setahun. Mereka yang dibebaskan telah dipenjarakan semula, pembaharuan dibatalkan dan pihak berkuasa mempunyai hak untuk menangkap dan menyiksa sesiapa sahaja yang disyaki. Kebebasan bersuara juga terkubur bersama.

Apa yang lebih malang lagi, bukan hanya sekadar regim Bashar itu yang menyekat kebebasan bersuara dan menyebarkan propaganda sahaja, tetapi banyak media barat yang tidak jujur dalam melaporkan hal yang berlaku di Syria. Jutaan rakyatnya dibunuh dan jutaan lagi menjadi pelarian di negara-negara jiran.

1. Korea Utara

propaganda korea utara

Sejak penubuhan Korea Utara pada 1948, satu keluarga ini mempunyai kekuasaan mutlak dan mewarisinya dari bapa kepada anak seperti keturunan diraja. Terdapat harapan bahawa pemimpin ke-3 negera itu iaitu Kim Jong Un yang mendapat pendidikan di barat akan lebih terbuka berbanding bapa dan datuknya.

Dia sebaliknya meneruskan legasi keluarganya dengan membunuh pihak lawan dan terus mengugut Korea Selatan dan juga Amerika. Media Korea Utara terus memberi gambaran seolah-olah keluarga Kim ini adalah keturunan yang baik lagi bijaksana. Rakyat Korea Utara dibohongi bahawa mereka adalah negara yang paling kaya dan paling bernasib baik di dunia pada tahun 1960-an.

Apa yang lebih sukar lagi apabila keadaan ekonomi Korea Selatan menjadi antara terbaik dunia berbanding Korea Utara yang terus merudum sehingga menyaksikan lebih 3 juta rakyatnya mati kebuluran pada tahun 1990-an. Jika hal ini diketahui umum maka semakin sukar untuk keluarga Kim ini meneruskan kekuasaan mereka di Korea Utara.

internet korea selatan

Jadi keluarga ini mengambil pendekatan untuk menutup masyarakat mereka dengan menyekat informasi dari keluar atau masuk. Jika didapati mana-mana rakyat negara ini yang mendengar radio, menonton filem atau memiliki majalah serta buku dari negara luar, mereka akan ditangkap dan dihantar ke penjara Korea Utara yang terkenal dengan kekejamannya.

Penipuan dan penyebaran berita palsu berlaku dengan kerap pada skala harian seperti akaun Twitter kerajaan yang berfungsi sebagai suara keluarga Kim dan negara Komunis itu. Lebih malang lagi apabila ada media luar yang mengganggap berita dari akaun itu sebagai berita benar.

Rujukan:

1. Top Tenz

2. CPJ.org




Hakcipta iluminasi.com (2017)