kabbalah ilmu yahudi mistik

Perkataan-perkataan yang bunyinya hampir serupa memang boleh membuatkan ramai pihak keliru, apatah lagi apabila kita tidak mengetahui makna disebalik perkataan itu.

Tiga perkataan yang mempunyai sebutan hampir serupa tetapi membawa makna yang sangat jauh berbeza antara satu sama lain adalah Kaabah, Karbalah dan Kabbalah. Kesemuanya bermula dengan huruf K, dengan setiap satunya menggunakan hanya huruf A sebagai huruf vokal.

beza kaabah karbala kabalah

Mampukah anda memberikan makna sebenar ketiga-tiga perkataan ini tanpa merujuk kepada bahan rujukan? Jika ya penulis ucapkan tahniah! Bagaimanapun bagi individu yang masih terkeliru dan sering tertukar-tukar antara tiga perkataan ini, jom kita belajar apakah perbezaan kaabah, karbala dan kabbalah.

Apa itu Kaabah?

bangunan kaabah di mekah

Antara ketiga-tiga perkataan itu, Kaabah rasanya merupakan yang paling dikenali ramai. Struktur bangunan berbentuk bongkah yang terletak di Masjidil Haram, Mekah ini adalah kiblat atau fokus ibadah semua umat Islam di seluruh dunia.

Kaabah adalah bunyinya dalam Bahasa Melayu, bagaimanapun ejaannya mungkin berbeza-beza daripada cara tulisan - ada yang mengejanya sebagai Qa'ba, Qaabah, Ka'bah dan beberapa versi lain tetapi semuanya membawa makna serupa; "bongkah kiub."

Kaabah pertama di dunia dirikan oleh Nabi Ibrahim as. bersama anaknya Nabi Ismail as. selepas Allah swt. memerintahkan mereka berdua membangunkan satu petanda sebagai hala tuju setiap orang Muslim beribadah. Sekitar tahun ke 600, Kaabah runtuh akibat banjir yang melanda jadi struktur Kaabah dibina semula oleh Nabi Muhammad saw. dan kaumnya.

Satu perkara yang perlu kita semua fahami adalah umat Islam di seluruh dunia, tidak menyembah struktur itu. Anggap saja Kaabah ini sebagai petanda atau petunjuk bagi membantu menyatukan serta memudahkan umat Islam tahu arah kiblat, yang dianggap sebagai kewajipan dalam menunaikan solat.

Karbala ni apa pula?

makam imam hussain

Karbala, Kerbala atau Karbalah merujuk kepada sebuah bandar yang terletak di kawasan tengah negara Iraq. Bandar Karbala merupakan pusat pentadbiran kerajaan Gabenor Karbala, yang bertanggungjawab menyelia bandar tersebut.

Apakah keunikan bandar ini? Nama bandar ini terkenal sebagai kota suci pengikut ajaran Syiah, berikutan menjadi lokasi yang menempatkan Imam Hussein, cucu kepada Rasulullah saw. dan anak kepada Ali bin Abi Talib. Berbeza dengan Muslim, komuniti Syiah mengamalkan amalan yang berbeza dengan mengadakan upacara Ashura bagi memperingati kematian Imam Hussein.

Pada ketika upacara inilah, komuniti Syiah akan mengadakan ibadah ziarah yang dinamakan sebagai Hari Arba'in, genap 40 hari perayaan Ashura. Setiap tahun seramai 30 juta orang akan menghadiri makam Imam Hussein di Karbala.

Dalam sejarah orang Islam, pada tahun 680 atau 61H berlakunya peristiwa besar yang memulakan perpecahan paling teruk di kalangan umat Islam ketika itu dalam perang Karbala, di antara pengikut-pengikut serta saudara Imam Hussein dengan tentera kerajaan Umayyah yang ketika itu dipimpin oleh Yazid bin Muawiyah.

Kabbalah pula merujuk kepada apa?

ilmu mistik kabbalah

Sekiranya Kaabah dan Karbala merujuk kepada Islam dan sejarah mereka, Kabbalah pula merujuk kepada salah satu cabang dalam ajaran agama Yahudi yang mirip dengan ilmu mistik. Daripada perspektif ajaran Yahudi, ilmu Kabbalah merupakan cabang ilmu untuk memahami bagaimana alam dan kehidupan berfungsi. Perkataan 'Kabbalah' itu adalah perkataan bahasa Hebrew yang membawa makna 'menerima.'

Cabang ilmu Kabbalah pula boleh dibahagikan kepada tiga cabang berbeza mengikut tahap amalannya; yang pertama ada ilmu teori di mana seseorang perlu sedar dan faham dimensi-dimensi alam yang berbeza.

Kedua, cabang ilmu amalan di mana seseorang perlu tahu teknik-teknik bagi membolehkan mereka mencapai tingkat ilmu pemahaman yang lebih tinggi. Yang ketiga pula adalah ilmu magis, di mana seseorang mampu mengubah realiti atau situasi. Cabang ketiga ini sangat berkait rapat dengan upacara pemujaan, tangkal, azimat dan banyak lagi amalan mistik yang diamalkan penganut agama Yahudi.

Kitab rujukan ilmu Kabbalah yang terbesar adalah kitab Zohar, yang dianggap sebagai rujukan terbaik menggabungkan unsur mistik daripada kitab Taurat serta kepercayaan-kepercayaan alam yang ada.

Bagaimanapun, berikutan unsur-unsur mistik serta spiritual yang terlalu kuat terkandung dalam kitab tersebut, bukan semua pihak dapat menerimanya sebagai sebahagian daripada ajaran rasmi Yahudi.

Ini kerana bagi mereka, pengaruh kitab Zohar mampu menggelincirkan penganut ajaran tersebut daripada tanggungjawab sebenar mereka, hingga terlalu asyik dengan kepercayaan serta imaginasi, mengejar makhluk halus dan ghaib yang tidak diketahui baik atau buruk kesannya pada mereka yang cuba mempelajarinya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)