adik beradik maembong selebriti malaysia

Banyak perkongsian dalam internet cuba menjelaskan tentang personaliti berdasarkan beberapa faktor seperti nama, bulan lahir, tulisan dan juga horoskop, seandainya anda percaya perkara seperti itu.

Tetapi pernahkah anda tertanya; adakah ada kajian lebih saintifik bagi mengenalpasti turutan lahir seseorang ke atas personalitinya? Bagi masyarakat Melayu di Malaysia, kita ada gelaran along, angah, alang, andak dan sebagainya bagi digunakan untuk mewakili aturan lahir adik-beradik.

Adakah wujud perbezaan sifat serta perangai di antara adik-beradik - hanya disebabkan ada yang dilahirkan dahulu dan ada yang dilahirkan kemudian?

Teori turutan kelahiran sebagai pembentuk personaliti

frank finchspecimenstring 2 2004c 27 6

Pada tahun 1999, seorang penyelidik dari University of California bernama Frank J. Sulloway mula melakukan kajian sama ada turutan kelahiran seseorang adalah satu faktor yang bakal menentukan sifatnya.

Sulloway mempunyai teori turutan kelahiran merupakan satu faktor yang memberikan impak besar pada perubahan atau evolusi psikologi seseorang; sama ada seseorang itu akan menjadi seorang yang berfikiran tradisional, kreatif, optimis atau bebas.

Hujah beliau, turutan kelahiran memberikan perbezaan pada sifat seseorang kerana korelasi atau hubungannya dengan umur, saiz, pengaruh dan status seorang anak dalam sebuah keluarga - akan memberikan kesan pada individu dalam keluarga itu.

adik beradik senrose manrose

Satu faktor utama bagi Sulloway, adalah kewujudan hirarki yang berbeza di antara seorang 'along' dengan seorang 'angah' dan anak-anak seterusnya, mampu menyebabkan tiap-tiap anak  akan mengalami pengaruh kekeluargaan yang berbeza daripada aspek campur tangan ibu bapa.

Beliau menghujahkan beberapa kajian terdahulu khasnya kajian pakar psikologi Austria, Alfred Adler yang menemui petunjuk bahawa adik-beradik yang hidup bersama apabila semakin meningkat dewasa, akan mula membentuk personaliti yang jauh berbeza antara satu sama lain.

Sulloway berhasrat untuk mengenalpasti adakah turutan lahir merupakan penyumbang kepada fenomena itu.

Identiti adik beradik yang berlainan

adik beradik kumpulan kru yusry edry norman

Menurut Sulloway, personaliti seseorang individu terhasil akibat tindakbalas beliau kepada rangsangan yang beliau terima daripada persekitaran. Setiap anak yang lahir akan menerima rangsangan yang berbeza daripada ibu bapa, adik beradik serta persekitaran mereka, sehingga menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara antara sikap mereka satu sama lain.

Dengan menggunakan teori Adler, Sulloway percaya apabila dibandingkan seorang anak sulung dengan seorang individu lain yang juga anak sulung; akan ada persamaan yang ketara dalam cara mereka berfikir, seterusnya menyokong hipotesisnya.

Anak sulung didakwa Sulloway mempunyai kecenderungan lebih berani mengambil tanggungjawab, bercita-cita tinggi, teratur serta berpendidikan tinggi atas faktor ibu bapa yang akan mengutamakan mereka. Sementara anak kelahiran seterusnya pula lebih gemar sesuatu yang tidak konvensional, tidak gemar dikongkong dan gemar mencuba perkara baru.

Daripada segi sifat peribadi, anak sulung mempunyai perwatakan lebih ekstrovert dalam cara yang dominan, tidak takut untuk mengetuai sesuatu dan cenderung menawarkan diri untuk menjadi pemimpin.

Bagi anak berikutnya, Sulloway berpendapat kumpulan ini akan lebih cenderung untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan cara tidak serius atau tidak formal serta terbuka untuk menerima pandangan orang lain.

Ibu bapa sebagai penentu personaliti

pierre andre dan adiknya

Faktor pengaruh ibu bapa juga kelihatan ketara dalam pembentukan personaliti anak-anak mereka.

Anak sulung didapati lebih patuh arahan kedua ibu bapa, menghormati undang-undang keluarga dan lebih mirip ibu ayahnya dari segi protokol. Mereka juga tidak segan untuk menggunakan kedudukan mereka dalam keluarga sebagai anak sulung, lebih agresif dan mempunyai kebolehan menguasai adik-beradiknya yang lebih muda.

Adiknya pula, tak kiralah angah, alang atau seterusnya disebabkan tiada kuasa atau autoriti sebagai anak sulung dan secara automatik perlu mengalah; lebih gemar menggunakan taktik licik seperti mengeluh, merayu, menganggap semuanya kelakar atau meminta tolong ibu bapanya bagi menyelesaikan masalah.

Kajian Alder mendapati dua atau lebih adik beradik kebiasaannya akan bergabung 'menentang' abang atau kakak sulung; beliau menganggap perkara itu sesuatu lumrah yang biasa berlaku.

Pengaruh kelahiran kepada ideologi dunia

adik beradik elfira loy

Salah satu penemuan paling penting yang ditemui Sulloway dalam kajiannya, adalah perbezaan antara bentuk pemikiran dengan adik-adiknya dalam menilai perkara seperti ideologi, politik, sosial dan saintifik.

Dalam isu melibatkan revolusi politik dan agama misalnya seperti yang pernah berlaku di Eropah, gerakan pejuang revolusi didapati lebih mudah mendapatkan sokongan anak kedua dan seterusnya berbanding anak sulung, kerana mereka lebih terbuka untuk menerima sesuatu idea dan ideologi baru.

Anak kedua dan seterusnya juga dilaporkan Sulloway lebih ramai terlibat dalam gerakan pemberontakan bagi menjatuhkan sesuatu pemerintah atau badan, seperti apa yang berlaku semasa reformasi gerakan Protestan Eropah - yang menyaksikan anak sulung sesebuah keluarga lebih cenderung agar status quo dikekalkan, keras mempertahankan pegangan Katolik mereka.

Anak sulung didapati lebih berkemungkinan mengorbankan diri untuk mengekalkan keadaan sedia ada, berbanding adik-adiknya yang sanggup mengorbankan diri untuk memastikan perubahan berjaya dilakukan.

Adakah kelahiran menentukan kejayaan?

azwan ali ummi hafilda ali

Dalam pendidikan khasnya dalam kajian sains, bidang yang dipilih saintis juga dilaporkan Sulloway mempunyai perbezaan ketara apabila dibandingkan mengikut turutan kelahiran.

Anak sulung didapati cemerlang sebagai saintis dalam bidang sains fizik yang lebih bersifat formal penyelidikannya mengenalpasti solusi, sementara saintis yang lahir sebagai anak kedua dan seterusnya, gemar memilih bidang sains yang bersifat terbuka seperti biologi atau sains sosial - di mana mereka boleh mengenalpasti masalah utama sesuatu isu.

abang sulung azwan azmin ali

Disebabkan oleh perbezaan pemikiran itu serta cara melihat dunia yang nyata berbeza, rekod individu yang dianugerahkan Anugerah Nobel bagi literatur dan keamanan juga lebih berpihak kepada anak-anak yang lahir kemudian, tidak dikuasai individu anak sulung.

Corak pimpinan pemimpin-pemimpin dunia juga menampakkan perbezaan ketara antara anak sulung dan anak yang kemudian.

Individu seperti Karl Marx dan Mahathma Gandhi yang mempunyai pandangan dan ideologi yang bebas, utopia, lebih emosi serta gemar menggunakan pendekatan lembut ketika berhadapan krisis - bukanlah anak sulung dalam kalangan adik beradik mereka.

Manakala anak sulung pula melahirkan pemimpin seperti Joseph Stalin dan Benito Mussolini yang lebih bersifat dominan, tidak takut untuk mengarah dan agak berat ke arah seorang pemimpin diktator.

Kesimpulannya?

adik beradik sharifah amani artis malaysia

Kesimpulannya, Sulloway berpendapat ya - turutan kelahiran memang memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk personaliti seseorang.

Anak sulung dipercayai cukup takut berdepan kegagalan serta kerap merasakan apa yang mereka buat tidak cukup baik. Disebabkan ketakutan ini, mereka takut untuk melakukan kesilapan dan akhirnya memilih jalan paling lurus dan mudah dalam melakukan sesuatu sepanjang hidup walaupun terpaksa bertindak keras.

Anak kedua pula dapat disimpulkan sebagai adik yang lebih tenang, kerana tahu mereka tidak perlu menggalas tanggungjawab yang dipikul abang atau kakak mereka. Dengan kelonggaran ini, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru dalam hidup serta tidak terbeban dengan ketakutan untuk gagal.

Alang atau anak ketiga pula akan kerap kali diletakkan dalam situasi 'tegang' antara along dan angah, membolehkan mempunyai kemahiran diplomasi yang baik serta mudah meredakan pertengkaran.

Anak ketiga juga mudah mengadaptasikan diri dengan sesuatu keadaan baru, lebih penyabar dan terbuka untuk mendengar pandangan kesemua pihak - kerana mereka dipaksa sejak kecil belajar berkongsi dan sentiasa mengalah dalam perlawanan yang mereka tahu mereka tidak akan menang.

Kajian yang dijalankan Sulloway mendapat sokongan serta kritikan daripada ramai pengkaji lain. Ada yang menganggap apa yang diutarakan Sulloway mempunyai kebenaran, sementara ramai juga yang merasakan teori dikeluarkan Sulloway tidak berasas sama sekali.

Anda kategori mana?

Jika anda menganggap teori Sulloway ini karut, bolehkah kami cuba teka - adakah anda adalah anak sulung dalam adik beradik anda? Hahaha! Kami bergurau saja ni ya!

Rujukan

Birth Order Frank J. Sulloway (pautan PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)