Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

Berkemungkinan besar peminat tidak dapat lagi menyaksikan gandingan Siti Nordiana dan Alif Satar dalam projek lakonan selepas drama Klik! Pengantin Musim Salju.

Siti Nordiana atau Nana berkata, ia berpunca daripada dirinya yang enggan terlalu bergantung kepada Alif dalam bidang lakonan.

"Saya yakin Alif memahaminya kerana saya sendiri harus lebih terbuka untuk bergandingan dengan barisan pelakon lelaki lain.

"Setakat ini, selepas Allahyarham Achik Spin boleh dikatakan lakonan saya serasi bersama Alif dan Fikry Ibrahim saja.

"Jadi, ia membuatkan saya harus cari peluang membuktikan bakat sekiranya digandingkan dengan pelakon lelaki lain pula," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Nana berharap peminat terus memberikan sokongan dengan menonton drama terbaharu mereka, Klik! Pengantin Musim Salju yang ke udara di saluran Astro Ria, jam 7 malam sejak 14 Mei lalu.

Ditanya adakah keputusan itu diambil kerana beliau mempunyai masalah dengan Alif atau isteri Alif cemburu dengan kekerapan gandingan mereka, penyanyi Hatiku Milikmu itu bagaimanapun menafikan.

klik pengantin musim salju drama terakhir siti nordiana alif satar 2

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

"Saya sekadar mahu mencuba dan timba pengalaman berlakon dengan pelakon lain pada masa akan datang. Ia tidak ada kaitan langsung dengan sebarang masalah di lokasi dengan Alif.

"Sepanjang kerjasama saya dan Alif dalam drama Klik! Pengantin Musim Salju sangat profesional. Begitu juga hubungan baik saya dengan isteri Alif yang memahami tuntutan karier suaminya dan dia pun tak cemburukan kami langsung," katanya.

Mereka yang mendapat jolokan 'Kajol & Shah Rukh Khan Malaysia' kerana keserasian mula mendapat perhatian sejak menerajui drama fenomena Dia Semanis Honey pada 2016.

Peminat mengagumi gandingan yang berjaya dihidupkan tanpa sebarang babak romantik atau aksi bersentuhan.

Lanjutan itu, Nana dan Alif terus disatukan dalam Dia Semanis Honey versi teater dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada Januari tahun lalu, sebelum single duet sulung, 'Sebenarnya' dilancarkan baru-baru ini.

Klik! Pengantin Musim Salju arahan Hadith Omar untuk siaran 20 episod mengetengahkan kisah Kasih Lateefa (Nana), seorang jurufoto dalam penemuan cinta sejati bersama Adam Putra, seorang ahli perniagaan muda yang berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)