Kredit foto: Instagram Siti Nordiana & Instagram Alif Satar

Penyanyi Siti Nordiana melahirkan kesyukuran kerana hasratnya untuk menunaikan umrah akhirnya kesampaian.

Ini susulan jadual kerjaya seninya yang disifatkan bagai tersusun cantik untuk mengerjakan umrah awal Disember ini.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana memberitahu, dia bakal pergi bersama anak, Mohamad Rayyan Nakhaie, 9 dan dua lagi anggota keluarga.

"Alhamdulillah, apabila diundang Allah ke Tanah Suci, segala-galanya dipermudahkan. Buat masa ini, saya selesaikan dulu tugasan yang sudah dipersetujui, termasuk promosi lagu duet dengan Jaclyn Victor, disusuli pembikinan single solo baharu.

"Sekembali dari Makkah nanti, saya akan terikat pula dengan drama Pengantin Musim Salju yang berkemungkinan besar menjalani penggambaran di Korea Selatan," katanya menurut laporan portal BH Online.

Nana membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran Salima Skin Solutions di Kuala Lumpur.

selepas dia semanis honey lagi gandingan siti nordiana dan alif satar 2

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

Dalam pada itu, Nana dan aktor Alif Satar akan digandingkan sekali lagi dalam drama bersiri baharu arahan sutradara Michael Ang.

Selepas Dia Semanis Honey, penyanyi berusia 33 tahun itu akui tidak sabar menjayakan penggambaran drama berkenaan yang sebelum ini tertangguh disebabkan musim salji yang sudah berlalu, di samping tumpuan penuh yang diberikan kepada pementasan Dia Semanis Honey The Musical.

"Jika tiada aral, sebaik saja pulang daripada umrah pada pertengahan Disember, saya bakal terbang pula ke Seoul. Harap-harap semua urusan dipermudahkan dan berjalan lancar," dedahnya.

Mengenai perkembangan karier nyanyian, Nana menerusi lagu ciptaannya, Terus Mencintai akan bersaing dalam Separuh Akhir Muzik Muzik pada 5 November ini.

"Syukur apabila lagu saya mara untuk sama-sama merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32). Selepas 10 tahun, saya kembali lagi beraksi di pentas ini. Dulu pun pada 2007, saya menggantikan Syura untuk lagu Canda.

"Kalau ikutkan, persembahan di pentas separuh akhir nanti cukup istimewa kerana rasanya, inilah kali pertama saya tampil menyanyi solo selepas sedekad kerana beberapa penampilan sebelum ini pun banyak bersama-sama Achik," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)