Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

Penyanyi popular, Siti Nordiana memohon agar orang ramai berhenti membuat spekulasi berhubung kes suami penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang didakwa atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka, pada 25 Februari lalu.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana mahu penyanyi senior itu diberi ruang berdepan dengan detik sukar dalam hidupnya.

"Saya harap peminat faham dan netizen terutamanya jangan membuat kesimpulan sesuka hati. Hanya pihak terbabit tahu apa yang berlaku," kata Nana sebagaimana dilaporkan portal BH Online.

Apatah lagi, kata penyanyi Terus Mencintai ini, kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

"Lagipun, hal ini sudah menjadi kes mahkamah, jadi lebih baik kita hormati," tegas Nana sambil mengatakan Ziana adalah idolanya dalam dunia hiburan.

Bekas juara musim kedua Gegar Vaganza (GV2) ini akui sebagai ibu, dia memahami apa yang dirasai penyanyi bersuara lantang itu, justeru mendoakan agar beliau kuat.

Untuk rekod, Nana pernah menjayakan persembahan istimewa bersama Ziana di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-29, berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tahun 2016.

Terdahulu, Armin yang berusia 53 tahun ditahan pada 2 Mac susulan laporan polis dibuat Ziana pada 27 Februari lalu.

Beliau didakwa dua hari lalu di Mahkamah Majistret Shah Alam, atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anak lelakinya dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Denai Alam, jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.

Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Kes disebut semula pada 4 April ini.

Ziana atau nama penuhnya, Siti Roziana Zain mendirikan rumah tangga dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Sehingga kini, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.




Hakcipta iluminasi.com (2017)