Negara kita dikejutkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh media tempatan, berkait seorang wanita bernama Che Halimah Che Mood dari Pasir Mas, Kelantan yang memiliki misai dan janggut bak lelaki - tumbuh diwajahnya.

Sepanjang hidupnya sejak berusia 20-an, warga emas itu perlu menghabiskan masa untuk mencukur misai dan janggutnya yang tumbuh, sekurang-kurangnya 2 ke 3 kali seminggu. Semua ini berpunca daripada masalah ketidakseimbangan hormon dalam badannya yang mengubah rupa paras beliau.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda apakah abnormaliti tersebut yang boleh berlaku ke atas seseorang wanita, sehingga menjadikan mereka mempunyai ciri yang lebih mirip seorang lelaki walaupun mereka adalah seorang wanita tulen?

Abnormaliti pada ovari yang mengubah seorang wanita

pcos masalah cyst pada ovari

Majoriti wanita yang mengalami ketidakseimbangan hormon pada tahap tinggi, biasanya mempunyai sindrom yang dinamakan sebagai 'polycystic ovary syndrome' atau PCOS.

Sindrom PCOS ini peratusannya untuk terjadi kepada wanita agak tinggi boleh mencapai sekitar 26% di kalangan sesebuah komuniti, namun bukan semua penghidap sindrom ini akan menampakkan simptom ketara.

PCOS berlaku apabila wujudnya ketumbuhan (cyst) dalam bahagian ovari seseorang wanita, yang akhirnya menyebabkan bahagian tersebut mula menghasilkan hormon androgen berlebihan sehingga mengubah tahap hormon seseorang wanita.

Kebanyakan wanita penghidap PCOS hanya akan mengalami masalah kitaran haid tidak teratur atau masalah kulit berminyak dan berjerawat, sekiranya mereka mempunyai sindrom ini.

Dalam kes-kes lebih serius ekoran penghasilan hormon yang terlalu tinggi, wanita tersebut akan mula mengalami masalah berat badan dan ukuran pinggang yang agak besar berbanding tubuh.

Tetapi untuk sekelompok kecil wanita, simptom PCOS muncul secara tampak di mana dia mula mengalami pertumbuhan rambut di bahagian kaum lelaki biasanya mempunyai bulu dan rambut.

Ada juga wanita lebih malang - satu badannya naik rambut tetapi itu bab yang berbeza.

Wanita berjanggut, berjambang dan bermisai

harnaam kaur wanita berjambang

Satu ketika dulu ketika pemahaman kita terhadap abnormaliti genetik masih berkurangan, wanita yang mengalami masalah ini pernah dijadikan bahan pameran dan pertunjukan untuk tayangan umum disebabkan keganjilan mereka.

Wanita yang memiliki misai dan jambang dijaja ke seluruh negara, khasnya melibatkan negara-negara Eropah bagi mengaut keuntungan. Lebih malang, ketidakterbukaan minda masyarakat era tersebut mula melabelkan wanita-wanita ini sebagai 'freak.'

Bagaimanapun, penerimaan terhadap keganjilan ini semakin mendapat tempat di hati orang ramai oleh usaha individu yang mempunyai nasib serupa, tetapi tidak segan untuk mendidik masyarakat agar menerima mereka.

Penceramah terkenal Harnaam Kaur dari England misalnya, mengalami masalah PCOS sejak berusia 12 tahun sehingga mengakibatkan wajahnya mula naik jambang dan kumis. Ini menjadikan dirinya yang berketurunan Punjabi tampak seperti seorang lelaki Punjabi, walaupun Harnaam adalah seorang wanita tulen.

Dari istilah perubatan, apa yang dialami oleh Harnaam dikategorikan sebagai 'hirsutisme.'

Pada mulanya, Harnaam banyak menghabiskan masa bercukur ekoran rasa malu yang menimpa dirinya, sehinggalah dia menyedari apa yang telah berlaku kepadanya - perlu diterima sebagai sebahagian daripada dirinya yang normal dan tidak perlu diubah atau diperbaiki.

Dia kini diiktiraf sebagai wanita pertama termuda dunia berjaya menyimpan janggut penuh - sesuatu yang penulis serta ramai lelaki gagal lakukan, walaupun sudah bermacam petua telah kami cuba.

Sindrom Ambras - pertumbuhan rambut yang tidak lagi terkawal

barbara vanbeck

Dalam situasi yang lebih ekstrim, ada juga individu mengalami masalah yang dikenali sebagai 'hypertrichosis'; di mana rambut-rambut tumbuh dengan lebih ekstrim sehingga ada kalanya menutupi muka.

Perlu diperjelaskan - hirsutisme dan hypertrichosis tidak berkait antara satu sama lain.

Sindrom yang lebih dikenali sebagai sindrom Ambras ini boleh berlaku kepada kedua-dua jantina, disebabkan oleh kecacatan yang terjadi pada bahagian kromosom seseorang individu.

Dalam sejarah dunia, ada seorang selebriti bernama Barbara van Beck dari Jerman yang hidup sekitar abad ke 17 digambarkan mempunyai kondisi yang unik mempunyai rambut bukan saja di bahagian misai dan janggut tetapi di seluruh wajahnya.

Kondisi ini membuatkan van Beck menjadi terkenal, mula melakukan pertunjukan muzik di serta Eropah serta dijadikan bahan berita oleh wartawan. Selepas trend populariti beliau tamat, nama Van Beck mula sepi sebelum dipercayai meninggal dunia pada penghujung abad tersebut.

Gadis Thailand yang pernah disindir 'Chewbacca'

gadis thailand supattra sindrom ambras

Lebih dekat dengan era kita, seorang wanita dari Thailand bernama Supattra Sasuphan kini bergelar pemegang rekod sebagai wanita paling 'berbulu' mengalami masalah hypertrichosis ekstrim - sehinggakan seluruh badannya berbulu.

Dilaporkan kali pertama semasa wanita itu berusia 11 tahun pada tahun 2011, Supattra melangsungkan perkahwinan pada tahun 2018.

Ayahnya memberitahu anaknya itu masih berhadapan sindrom Ambras namun memilih untuk bercukur setiap hari bagi mengelakkan masalah yang akan terus membelenggu hidupnya terus berlaku - apatah lagi selepas bergelar isteri.

Malangnya, di saat ini tidak diketahui adakah Supattra telah bercerai secara rasmi atau tidak, kerana menurut status akaun Facebook beliau - beliau kini telah single.




Hakcipta iluminasi.com (2017)