Oleh pada 20 Aug 2019 kategori

Sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi, kami ingin kongsikan bersama anda tentang sejarah dan kisah mengenai Tugu Peringatan Negara. Monumen yang juga dikenali sebagai Tugu Negara itu dibina sebagai lambang penghormatan kepada perwira negara yang telah terkorban dalam menjaga keamanan Malaysia.

Sejarah pembinaan Tugu Peringatan Negara

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tugu Negara telah siap dibina pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan Darurat Malaya (1948-1960). Monumen itu terletak di kawasan Taman Tasik Perdana berhampiran bangunan Parlimen.

pembinaan tugu peringatan negara 768

Pembinaan Tugu Peringatan Negara

Tugu Negara yang asal merupakan sebatang tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur. Tiang asal yang dibina Pentadbir British itu kemudian dialihkan ke Kompleks Tugu Negara. Kini hanya asas tanahnya seluas 10 meter persegi sahaja yang tinggal.

Tugu Negara setinggi 15 meter itu diperbuat daripada gangsa dan direka oleh seorang pengukir Austria, Felix de Weldon. Tugu Negara yang pernah menjadi arca berkumpulan tertinggi dunia itu menelan belanja sebanyak RM 2.5 juta ketika itu. RM 1.245 juta daripada jumlah itu adalah sumbangan daripada orang ramai dan selebihnya ditampung oleh kerajaan.

tugu peringatan iwo jima

Tugu Peringatan Iwo Jima atau USMC

Felix juga bertanggungjawab dalam pembinaan Tugu Peringatan Perang United States Marine Corps (USMC) di Virginia, Amerika Syarikat. Tugu Negara telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman, yang mendapat inspirasi daripada Tugu Peringatan USMC atau dikenali juga sebagai Tugu Peringatan Iwo Jima ketika beliau melawat Amerika Syarikat sekitar tahun 60-an.

Tidak senang dengan pembinaan Tugu Negara

Walau bagaimanapun, langkah kerajaan membina Tugu Negara bagi memperingati pejuang bangsa itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pengganas Komunis yang mendakwa kononnya mereka juga adalah pejuang negara kerana menentang pendudukan tentera Jepun.

tugu negara diletupkan pengganas ejen mnlf

Tan Sri Ghazali Shafie bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Amin Osman melihat patung yang musnah. Sumber : utusan

Komunis ketika itu yang sememangnya bencikan kerajaan telah melakukan beberapa siri serangan dalam negara. Setelah berjaya membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim, pada 7 Jun 1974, mereka skali lagi membuat kekacauan dengan meletupkan Tugu Negara pada 26 Ogos 1975.

Serangan nekad yang berlaku pada jam 5 pagi itu telah menyebabkan berlakunya satu letupan kuat sehingga menggegarkan seluruh kawasan Taman Bunga berhampiran. Malah, letupan kuat itu turut didengari Tunku Abdul Rahman yang tinggal tidak jauh dari situ.

tugu negara musnah dibom pengganas

Tunku Abdul Rahman meninjau monumen yang musnah dibom pengganas

Pihak berkuasa mengesyaki serangan itu dilakukan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF). Berdasarkan siasatan awal, mereka dipercayai ingin meletupkan Tugu Negara pada jam 6 pagi ketika sesi tiupan trompet yang akan diadakan di situ. Cubaan mereka untuk membunuh semua peserta yang mengambil bahagian gagal.

Mengikut laporan Utusan Malaysia, salah satu patung gangsa seberat satu tan telah tercampak ke bawah manakala tiga lagi patung terputus kepalanya. Unit Pemusnah Bom Polis telah menemui dua butir bom lagi di tempat kejadian yang belum meletup serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera tetapi sempat melarikan diri.

Dalang diburu pihak polis

akhbar tugu negara diletupkan

Laporan akhbar 27 Ogos 1975. Sumber : utusan

Di tempat letupan, polis menemui dua topi keledar dan dua helai bendera komunis yang ditinggalkan suspek. Tidak lama selepas letupan berlaku, anggota polis terserempak dengan dua orang yang dipercayai dalang letupan menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Travers dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba menahan mereka sebelum menghilangkan diri. Pihak polis percaya bahawa salah seorang daripada empat suspek tercedera dalam letupan itu dan segera mengeluarkan arahan agar mana-mana hospital atau klinik yang didatangi individu yang cedera akibat letupan supaya segera menghubungi pihak berkuasa.

patung tugu negara runtuh

Polis kemudian melancarkan gerakan besar-besaran mengesan semua pengganas berkenaan. Sehari selepas letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu. 

Berdasar rekod polis, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos 1975. Walaupun tidak dapat disahkan sama motosikal itu digunakan pengganas tetapi jenisnya sama dengan laporan awal tentang motosikal yang digunakan dua pengganas yang melarikan diri setelah berbalas tembakan dengan pihak polis.

Pengkhianatan terhadap rakyat dan negara

tugu peringatan negara

Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Ghazali Shafie, menyifatkan peristiwa pengeboman itu sebagai satu pengkhianatan terhadap rakyat dan negara kerana ia merupakan harta rakyat yang menjadi lambang kemegahan bangsa dan negara.

Pada 5 September 1975, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, telah mengarahkan supaya diadakan kutipan derma untuk menampung perbelanjaan memperbaiki Tugu Peringatan Negara.

tugu negara 181

Kerja-kerja membaik pulih Tugu Peringatan Negara telah siap pada 11 April 1977 oleh Christopher B. Carney, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara (ITM). Beberapa model rakyat tempatan telah digunakan sebagai wajah baru dalam membina semulapatung-patung perajurit negara yang rosak.

Pada 11 November setiap tahun, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Peringatan Negara bagi memperingati perajurit dan pahlawan negara yang terkorban dalam mempertahankan tanah air tercinta.

Rujukan:

1. Komunis letupkan Tugu Peringatan Negara

2. Sejarah pembinaan Tugu Peringatan Negara

3. Tugu Negara pernah diletupkan pengganas Komunis




Hakcipta iluminasi.com (2017)